Tumpu memberdaya sosioekonomi bumiputera, Melayu

Pimpinan
Typography

BAGI negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Kelantan, Pahang dan Terengganu mencatatkan kadar kemiskinan (2014) yang paling tinggi iaitu 0.9%, 0.7% dan 0.6% masing-masing berbanding negeri-negeri lain yang berada pada kadar 0.4% dan ke bawah.

Bagi peratus isi rumah berpendapatan kurang daripada RM6,000 sebulan (2014), negeri-negeri ini juga berada pada kedudukan yang paling tinggi iaitu 84.8%, 80.3% dan 77.1% masing-masing; selain Perak (81.1%), Perlis (80.3%) dan Kedah (79.1%).

Pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah (2016) bagi keenam-enam negeri ini pula berada antara RM3,079 hingga RM4,694 sahaja, lebih rendah daripada pendapatan penengah nasional iaitu RM5,228.

Jika dikelaskan mengikut kumpulan isi rumah, ia adalah termasuk dalam kategori 40% pertengahan (M40) dan 40% terendah (B40). Bagi kedua-dua kategori kumpulan isi rumah ini, Bumiputera adalah teramai iaitu 38.0% bagi M40 dan 17.0% bagi B40 berbanding kaum Cina dan India.

Berdasarkan data-data yang dinyatakan ini, kesimpulan yang boleh dibuat ialah Bumiputera – atau lebih tepat, Melayu – di negeri-negeri Pantai Timur (Kelantan, Pahang dan Terengganu) dan utara (Perak, Perlis dan Kedah) adalah golongan yang masih terpinggir pada aspek pembangunan dan kemajuan sosioekonomi terutamanya kumpulan isi rumah B40.

Sumber pendapatan kumpulan B40 ini selain daripada gaji atau upah yang hanya menyumbang 70% kepada pendapatan isi rumah, mereka juga bergantung sehingga 20% kepada pindahan tunai seperti zakat, bantuan pendidikan, BR1M dan bantuan tunai yang lain.

Sekalipun pendapatan kumpulan B40 naik sebanyak 5.8% setiap tahun sejak 2014, perbelanjaan pula meningkat pada kadar yang lebih cepat iaitu sebanyak 6%, menjadikan kumpulan B40 mempunyai wang yang sedikit untuk berbelanja.

Penduduk di negeri-negeri ini juga umumnya bergantung kepada sektor perikanan, penternakan dan perladangan dengan bekerja sebagai nelayan, pengusaha sawah padi, penoreh dan pekebun kecil getah untuk mendapatkan pendapatan bagi menyara kehidupan.

Secara puratanya nelayan di Semenanjung Malaysia memperoleh RM2,100 sebulan manakala Elaun Sara Hidup (ESH) yang diberikan pula hanya RM300 sebulan bagi nelayan zon A dan RM250 sebulan bagi nelayan zon B, C dan C2 kepada pemohon yang layak sahaja.

Pengusaha sawah padi pula amat bergantung dengan subsidi bernilai RM800 juta yang disediakan dan elaun RM200 sebulan yang diberikan kerajaan sebelum ini. Sekiranya ia dikurangkan atau ditiadakan, ia sangat menjejaskan golongan ini pada aspek hasil padi dan sumber pendapatan.

Penoreh dan pekebun kecil getah pula kini hanya memperoleh 30kg getah sehari bagi kebun seluas kira-kira 1.2 hektar berbanding sekitar 60kg hingga 70kg sehari sebelum ini memandangkan harga purata peringkat ladang getah sekerap di Semenanjung Malaysia berada pada paras RM2.10 sekilogram.

Sehingga kini, menteri dari Pakatan Harapan sama sahaja dengan BN sebelum ini turut menolak untuk menetapkan harga lantai bagi getah sebagaimana jawapan bertulis Menteri kepada saya pada 6 Ogos 2018. Sedangkan harga lantai itu bukan sahaja permintaan oleh PAS malah juga Pakatan Harapan ketika mereka menjadi pembangkang dahulu.

Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) sebanyak RM200 sebulan yang diberikan selama 3 bulan (November hingga Januari) melibatkan 440,000 pekebun getah sangat membantu. Malangnya dalam jawapan bertulis Menteri kepada saya pada 6 Ogos 2018, beliau memaklumkan BMT sedang diteliti semula. Saya bimbang ia tidak akan dilanjutkan.

Melihat kepada keadaan sosioekonomi golongan Bumiputera-Melayu di negeri-negeri Pantai Timur dan utara ini, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk memberikan lebih perhatian kepada golongan ini terutamanya menerusi penelitian semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Model Ekonomi Baru (MEB) yang akan dibuat dan semasa kongres masa depan Bumiputera yang mahu dilaksanakan pada September nanti.

Sekiranya ia dibiarkan tanpa ditangani secara komprehensif dan kolektif, dikhuatiri ia akan melebarkan lagi jurang sosioekonomi antara kaum di negara ini. Justeru, pengagihan ekonomi yang adil yang mahu dicapai juga seharusnya melihat kepada aspek kaum ini.

”Sejahtera Bersama Islam"

Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Rabu, 15 Ogos 2018 | 2 Zulhijjah 1439 – HARAKAHDAILY 15/8/2018