Maal Hijrah: Padukan tekad dan langkah cipta kejayaan

Pimpinan
Typography

"SESUNGGUHNYA orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (Surah Al Baqarah: 218)

Awal Muharram muncul lagi dan kita selalunya memperbaharui tekad. Bermula dengan semangat baru dan bersyukur terhadap illahi di atas kejayaan yang dapat diraih. Bermuhasabah terhadap pencapaian dan kelemahan gerak kerja yang lepas. Natijahnya dijadikan sebagai anjakan ke arah yang lebih baik dan juga sebagai ibrah agar kesilapan dan kesalahan lalu tidak diulang kembali. Yakin dan istiqamah memacu kemenangan.

salamDewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengucapkan salam Maal Hijrah kepada semua muslimin dan muslimat. Tingkatkan amal kebajikan dengan menteladani Rasulullah SAW sebaik-baik contoh teladan. Lengkapkan diri dengan pelbagai ilmu di dada, tambahkan kemahiran serta pengalaman untuk membina kerjaya yang lebih dinamik. Ubah gaya hidup yang jahiliyyah, tinggalkan perkara yang lagho dan teruskan memberi sumbangan sama ada berbentuk tenaga, masa, idea, kemahiran mahupun harta untuk kerja-kerja kebajikan di mana jua. Hindari diri dari sebarang kemungkaran yang akan membawa kepada kecelakaan dan kemurkaan Allah SWT.

Isilah masa 24 jam sehari anda dengan perkara yang memberi manfaat untuk diri dan ummah sejagat. Dunia kini semakin parah, semakin tenat dan tandus. Kemanusian sudah mula tergadai dimana generasi muda remaja semakin terjebak dengan pelbagai gejala yang menggemparkan, mengeri dan menakutkan. Perbatasan sempadan media baru yang terlalu terbuka mudah diakses mempengaruhi lagi aktiviti dan perkara yang diluar jangkaan. Kemungkaran sudah berada di hujung jari. “Barang siapa bertakwa kepada Allah maka Dia akan menjadikan jalan keluar baginya, dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak ia sangka, dan barang siapa yang bertawakkal kepada Allah maka cukuplah Allah baginya, Sesungguhnya Allah melaksanakan kehendak-Nya, Dia telah menjadikan untuk setiap sesuatu kadarnya” (Surah At-Thalaq: 2-3)

Ayuh! Bangkit bersama untuk melakar kejayaan dan kecemerlangan. Sejarah telah membuktikan umat Islam unggul di setiap dimensi ilmu. Lahirkan dan terus mengkader jiwa-jiwa anak bangsa 'ulul albab'. Didik mereka ke arah tamadun madani dari segala aspek ekonomi, syariah dan perundangan, teknologi, politik, kesihatan, pendidikan dan semua bidang agar jatidiri dan minda anak generasi muda sekarang dapat memimpin dan membina negara ke arah Malaysia yang lebih sejahtera, makmur dan sentiasa mengikut acuan Islam insyaallah. “Dan Al-Qur`an itu adalah kitab yang Kami turunkan yang diberkati, maka ikutilah dia dan bertakwalah agar kamu diberi rahmat.” (Surah Al An’am: 155)

Selamat menyambut Awal Muharram yang ke 1439 Hijrah daripada kami Dewan Muslimat PAS Malaysia. Semoga Allah sentiasa sematkan kesabaran, ketenangan dan kejayaan buat kita semua. Salam perjuangan serta beristiqamah memacu kemenangan.

"Sejahtera Bersama Islam”
"Muslimat Memacu Kemenangan"

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
30 Zulhijjah 1438 / 21 September 2017 – HARAKAHDAILY 21/9/2017