21
Mon, Aug
22 Artikel Baru

Gara-gara budak Armada bersih politik

Kolumnis
Typography

MEMANG dikira ajaib mengenangkan budak-budak Armada parti Bersatu yang ada jawatan dalam parti mengugut keluar parti jika dua pimpinan utamanya – Tun Dr Mahathir, pengerusi dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presidan – gagal memberi penjelasan terhadap tular yang diviruskan kepada mereka.
       
Kedua-duanya diserang dikatakan tidak bersih semasa menjadi Perdana Menteri dan tidak berperangai baik semasa memerintah Johor. Ia adalah virus bagi politik dan orang politik. Dijelas susah dan tidak dijelas pun susah.
      
Ia adalah perangkap musuh seperti yang ulas oleh Ketua Penerangan Bersatu, Kamarudin Mohd Nor dan mengapa ahli parti melayannya dalam publik pula. Orang parti tegas seboleh-bolehnya mempertahankan atau tidak melayan. Jika ia tohmah sekalipun, bila dilayan seperti memberi penjelasan, belum tentu penjelasan memuaskan. Akan kencang lagi fitnahnya.
       
Ia adalah masalah bagi orang politik yang sudah tidak berkuasa cuba membongkar keburukan orang yang sedang berkuasa. Mahathir dan Muhyiddin sudah tidak berkuasa lagi. Semasa berkuasa segala yanag disoksekkan akan dihampaskan saja. Isunya akan dialihkan dan ia mati begitu saja.
     
PM Najib tidak sekadar dihadapkan dengan tular tetapi dakwaan demi dakwaan yang berat-berat termasuk pendedahan oleh kerajaan Amerika, oleh perundangan Perancis, Switzerland dan lain-lain. Kerana ia terhadap orang yang berkuasa, ada kekebalan melindunginya. Mahathir pun tahu dia pernah merasa kekebalan.
        
Tetapi sesudah tidak berkuasa, sekalipun namanya besar dan kulitnya tebal, kerana tidak kebal, maka tular  mengenainya menyebabkan budak-budak Armadanya mencabarnya supaya melayan apa ditularkan. Jika tidak dibersihkan semua dakwaan itu mereka mengugut keluar parti.
       
Sekalian budak-budak yang berjaya dipolitikkan dan tegar politik, baik betul atau tidak, mereka akan pertahankan apa jua yang dikatakan terhadap Najib. Mat Over akan tampar. Budak di Kluang usir orang DAP yang mengedarkan sesuatu di pasar.  Datuk Jamal Yunus akan hantar sekuadnya terhadap siapa saja yang kata bukan-bukan pada Najib.
      
Budak muda DAP akan buat macam-macam kalau ada yang mengancam Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng. Budak-budak muda PKR akan penuh jalan raya apabila DS Anwar Ibrahim dipenjara atas tohmah yang memalukan. Mereka pertahan dia sekalipun mahkamah memutuskan sesuatu terhadapnya.
      
Ia adalah disebabkan oleh budak-budak politik itu sudah dipolitikkan dan mereka pun ada politiknya. Anwar sendiri jenuh menghadapi budak-budak politik jadian. Tetapi budak Anwar itu ramai, sekalipun yang pergi ramai, yang tinggal pun ramai juga.
       
Adapun budak-budak Armada ada juga tegarnya seperti Tuan Syed yang jadi ketuanya. Tetapi ada juga beberapa orang tak tahan dengan apa yang dikatakan terhadap Mahathir dan Muhyiddin, lalu mereka mengugut keluar parti kalau tohmah tidak dibersihkan.
      
Mengapa jadi begitu? Antara masalahnya ialah mereka anak muda yang tidak terlibat dengan politik tetapi ada kecenderungan mahu diwujudkan politik yang bersih. Bersatu pun dirancang bagi membersihkan politik dan kerajaan yang sudah kucar kacir.
       
Atas cenderung kepada yang bersih itu mereka bersama menubuhkan parti itu. Pengalaman politiknya belum ada. Latihan politik kosong. Ideologi politik pun tidak diketahui. Yang diketahui ialah mereka mewakili anak muda yang tidak terikat, mahu dan cenderung supaya diwujud iklim politik yang bersih.
      
Bila mereka masuk ke dunia politik dengan pengalaman kosong, mereka disogokkan dengan yang mengelirukan tentang kebersihan berpolitik. Mereka hendakkan penjelasan. Maka naik darah mereka.
      
Kerajaan kira-kira ada menyimpan apa dikira rahsia orang politik. Betul atau tidak, bila ditularkan orang pun keliru. Tapi kalau berkuasa, rahsia itu dikunci. Bila hilang kuasa, kalau ganggu kerajaan rahsia pun meleleh. – HARAKAHDAILY 18/6/2017