Penubuhan Dewan Ulamak PAS Kawasan kukuhkan dakwah Islam

Pimpinan
Typography

MUKTAMAR Tahunan PAS Kali Ke-65 di Indera Mahkota, Kuantan pada 21-23 Jun 2019 telah menyaksikan Perlembagaan PAS (Pindaan) 2011 telah dipinda lagi bagi membolehkan beberapa perubahan struktural dan teknikal dilakukan. Antara perubahan terbesar pada struktur parti ialah mewujudkan Dewan Ulamak PAS Kawasan bagi menggantikan Jawatankuasa Urusan Ulamak PAS Kawasan yang wujud melalui Perlembagaan PAS (Pindaan) 2010.

Fadli2Sebelum itu, Perlembagaan PAS (Pindaan) 1973 menetapkan kewujudan Dewan Ulamak PAS hanya di peringkat Pusat dan Negeri sahaja. Perubahan Perlembagaan PAS ini adalah untuk membolehkan Dewan Ulamak PAS Kawasan ditubuhkan, dan ia merupakan satu langkah besar bagi memperkasakan organisasi dan meningkatkan peranan Dewan Ulamak PAS secara keseluruhannya.

Dewan Ulamak PAS pada asalnya merupakan sayap tertinggi PAS yang berperanan untuk memandu, mengawal dan menasihati PAS dari sudut hukum dan dasar perjuangan. Oleh sebab itu, ia dianggotai oleh para ulamak dan guru-guru pondok yang memiliki pengetahuan mendalam tentang pelbagai cabang keilmuan Islam, sehingga dapat merumuskan hukum-hukum semasa khususnya dalam dunia politik.

Pada peringkat awal penubuhannya, Dewan Ulamak PAS wujud seperti dewan-dewan yang lain dengan struktur tiga tingkat, iaitu Pusat, Negeri dan Cawangan (sekarang Kawasan). Tetapi, pada 1962, kerana menentukan fungsi Dewan Ulamak PAS sebagai badan hukum syariat, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah berpandangan supaya Dewan Ulamak PAS hanya perlu diwujudkan di peringkat Pusat sahaja, tetapi kemudiannya, mereka bersetuju dengan pandangan ulim-ulamak PAS supaya Dewan Ulamak PAS Negeri juga ditubuhkan.

Asal Mula Penubuhan Dewan Ulamak PAS

PAS adalah parti politik Islam yang ditubuhkan oleh Persidangan Alim Ulamak Se-Malaya Kedua di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951. Setelah Jawatankuasa Kerja Agung PAS dibentuk dalam Persidangan Persatuan Ulamak Se-Malaya di Bagan Tuan Kechil, Seberang Perai pada 24 November 1951, PAS telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS kali pertama pada 3 April 1952. Dalam mesyuarat itu, Jawatankuasa Kerja Agung PAS bersetuju menubuhkan sebuah lajnah yang dinamakan sebagai Dewan Ulamak PAS, diketuai oleh Mufti Pulau Pinang, Sheikh Abdullah Fahim.

Pada 3 Januari 1953, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama di Kepala Batas telah memutuskan supaya PAS menubuhkan Dewan Ulamak PAS sebagai sebuah sayap PAS, tetapi malangnya proses penubuhannya tidak dapat dilaksanakan sehingga merdeka. Selepas Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Keenam pada 24-25 Ogos 1957, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah berjaya mengadakan Kongres Ulamak PAS pada 13 Disember 1957 di Madrasah al-Ulum as-Syar’iyah, Bagan Datoh, Perak.

Dalam kongres ini, Dewan Ulamak PAS telah berjaya ditubuhkan dengan Mudir Madrasah Yahyawiyah, Padang Rengas, Tuan Guru Haji Abdul Samad Nuh dipilih sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat yang pertama antara 1958-1960. Selepas itu dan Tuan Guru Haji Hussein Rahimi Mat Saman (1960-1962 dan 1966-1968) dan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein (1962-1964) bergilir-gilir memimpin Dewan Ulamak PAS Pusat sehingga 1968.

Selepas itu, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat memimpinnya selama 28 tahun sehingga 1995, sebelum Tuan Guru Dato’ Haji Harun Taib (1995-2005 dan 2007-2014), Tuan Guru Dato’ Mohammad Daud Iraqi (2005-2007), Ustaz Dato’ Ahmad Yakub (2014-2015), Prof Dr Mahfudz Mohamed (2015-2019 ) dan Ustaz Dato’ Dr Nik Zawawi Salleh (mulai 2019) mengambil alih kepemimpinan Dewan Ulamak PAS Pusat.

Perubahan Struktural Dewan Ulamak PAS

Ketika Dewan Ulamak PAS ditubuhkan oleh Kongres Ulamak PAS, para ulamak telah meluluskan Peraturan Dewan Ulamak PAS 1957 sebagai undang-undang kecil untuk mengendalikan dewan ini. Dewan ini dibentuk dengan tiga tingkat iaitu Pusat, Negeri dan Cawangan (Kawasan), tetapi Peraturan Dewan Ulamak PAS kemudiannya dipinda untuk memansuhkan Dewan Ulamak PAS Cawangan berasaskan peranan Dewan Ulamak PAS sebagai badan rujukan hukum.

Kewujudan Dewan Ulamak PAS Cawangan telah diperuntukan asalnya oleh Fasal 19 dan 20 Undang-undang Tubuh PAS (Pindaan) 1954, tetapi dimansuhkan oleh Undang-undang Tubuh PAS (Pindaan) 1963, kerana PAS hanya mewujudkan Dewan Ulamak PAS Pusat dan Negeri sahaja. Undang-undang Tubuh PAS (Pindaan) 1963 telah memperuntukkan kedudukan wakil Dewan Ulamak PAS sebagai ahli Mesyuarat Agung Tahunan / Khas PAS, sedangkan seluruh hal yang berkaitan struktur Dewan Ulamak PAS tercantum di dalam Peraturan Dewan Ulamak PAS.

Kewujudan Akta Pertubuhan 1966 yang mewajibkan semua cawangan parti politik didaftarkan, telah menyebabkan Dewan Ulamak PAS Pusat turut didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 12 April 1967. Penyusunan semula organisasi PAS di bawah Akta Pertubuhan ini turut melibatkan kepada Peraturan Dewan Ulamak PAS, di mana pindaan yang dikemukakan pada 1971 telah menghapuskan Peraturan Dewan Ulamak, lalu semua peruntukan berkaitan dimasukkan ke dalam Fasal 28 Perlembagaan PAS (Pindaan) 1973.

Keadaan organisasi Dewan Ulamak PAS ini berkekalan sehingga 1983, di mana ketika konsep Kepemimpinan Ulamak diperkenalkan, penubuhan Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil alih peranan Dewan Ulamak PAS sebagai dewan tertinggi yang menasihatkan Jawatankuasa Kerja Agung PAS “dalam hal-hal berkenaan hukum-hukum Islam,” menjadikan peranannya lebih kepada untuk menyatukan ulamak dan menggerakkan tarbiyah. Majlis Syura Ulamak PAS telah diberi peranan untuk menafsir Perlembagaan PAS, mengawal dasar dan tatatertib parti oleh Perlembagaan PAS (Pindaan) 1987.

Pada tahun 2005, Dewan Ulamak PAS Pusat dalam menyusun langkah mengukuhkan organisasinya, telah mengusulkan supaya organisasi Dewan Ulamak PAS di peringkat Kawasan diwujudkan semula. Hasilnya, Jawatankuasa Urusan Ulamak PAS Kawasan yang diketuai oleh Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan telah berjaya dibentuk melalui Perlembagaan PAS (Pindaan) 2010.

Setelah hampir sedekad ia bergerak, dalam tahun 2019, Jawatankuasa Urusan Ulamak PAS Kawasan telah diperkemaskan dan diperkasakan melalui pengwujudkan organisasi Dewan Ulamak PAS Kawasan di dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-65 di Kuantan. Pemerkasaan ini adalah sebahagian daripada evolusi dan dinamisme Dewan Ulamak PAS semenjak kemunculannya pertama kali 1952. Perubahan ini akan membantu meningkatan peranan ulamak dalam masyarakat di peringkat terbawah untuk meluaskan dakwah Islam.

MOHD FADLI GHANI
Institut al-Balaghul Mubin
13 Zulkaedah 1440H / 16 Julai 2019 – HARAKAHDAILY 17/7/2019