Penubuhan PAS Perlis: Kebangkitan Islam di utara

Pimpinan
Typography

PERLIS adalah antara negeri yang termuda dalam sejarah negeri-negeri di Malaysia. Pada asalnya, Perlis adalah sebuah daerah dalam jajahan kerajaan Kedah. Dikatakan, pada zaman Sultan Muhyidin Mansur Shah (1653-1661), Kota Sena telah dibina yang hari ini dikenali sebagai Kangar. Kemudian, putera baginda, Sultan Dhiauddin al-Mukarram Shah I (1661-1687) pula telah mendirikan Kota Indera Kayangan di Hilir Sungai Perlis. Pada zaman Sultan Dhiauddin al-Mukarram Shah II (1797-1803), baginda dikenali sebagai Duli Raja Muda Perlis dan Kedah dalam perjanjian-perjanjian dengan British. Bagindalah yang mengahwinkan puterinya, Tengku Sofiah dengan seorang pemimpin Arab, Syed Harun Jamalullail yang mengasaskan Arau. Ayah Syed Harun, Syed Ahmad Jamalullail berhijrah dari Yaman ke Kedah pada 1735 dan berkahwin dengan puteri diraja Kedah. Syed Harun dikurniakan wilayah Arau oleh Sultan Kedah dan menjadi penghulu di sana.

Pada 1825, setelah Syed Harun wafat, puteranya dengan Wan Fatimah binti Dato' Johan Lela Perkasa, Syed Hussein Jamalullail diangkat sebagai Penghulu Arau kedua, tetapi disebabkan oleh serangan Siam ke atas Kedah pada 1821-1838, Kedah telah tewas dan dipecahkan kepada empat wilayah iaitu Kedah (Saiburi), Perlis (Polit), Kubang Pasu (Kubang Pasu) dan Setul (Satun). Syed Hussein dilantik sebagai timbalan kepada Raja Long Krok, Gabenor Perlis. Kematian Raja Long Krok pada 1839 membolehkan Syed Hussein menjadi Gabenor Perlis, sebelum Raja Rama III melantik baginda sebagai 'Phya Polit' atau Raja Perlis mulai 20 Mei 1843. Sejak itu, Perlis berdiri sendiri sebagai sebuah negeri dan keturunan baginda memerintah hingga sekarang. Selepas Perjanjian Bangkok 1909, Perlis telah dipaksa menerima Penasihat British, Meadows Frost pada 1930, sebelum akhirnya menjadi sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu pada 1948.

Kebangkitan Islam di Perlis

Ketika pembentukan negeri Perlis sedang berjalan, di Sumatera telah berlaku gerakan Islah yang dipimpin oleh beberapa ulamak seperti Haji Miskin, Haji Abdul Rahman Paibong dan Haji Mohamad Arif, yang membawa kepada Perang Paderi (1803-1838). Pada asalnya berlaku pergeseran antara ulamak muda dengan masyarakat yang mengamalkan amalan khurafat dan bid'ah, selain tasawuf 'Martabat Tujuh' yang dianggap sesat. Sedangkan, golongan ulamak islah yang berkembang pengaruh mereka di Indonesia itu mahukan umat kembali kepada al-Quran dan Sunnah. Akhirnya, pada 1911, Haji Ahmad Dahlan menubuhkan Muhammadiyah untuk memurnikan Islam. Setelah itu, pengaruh mereka mulai berkembang di Tanah Melayu, khususnya Perlis selepas tersebarnya pemikiran A Hassan Bandung, pemimpin Persatuan Islam (Persis).

Pada dekad-dekad awal 1900, beberapa tokoh seperti Lebai Kechik dari Indonesia dan Syed Ibrahim dari Hadramaut telah mula mengembangkan aliran Sunnah di Perlis. Kemudian, muncul Haji Ahmad Muhammad atau Haji Ahmad Hakim, seorang Hakim Besar Perlis pada 1920-an yang mempelopori pembaharuan bersama Wan Ahmad Wan Daud dan Sheikh Ahmad Mohd Hashim. Selain 'Tiga Ahmad' ini, muncul pula Abdul Wahab Abdullah dan Sheikh Abu Bakar al-Asy'ari yang dibawa ke Perlis pada pertengahan 1930-an. Selain Madrasah Alawiyah, Masjid Alawiyah juga merupakan pusat kebangkitan mereka. Beberapa orang guru dari Mesir seperti Sheikh Taqiyuddin Qandil, Ustaz Abdul Hamid Mustafa al-Sisi Afandi, Ustaz Abdul Haq al-Jizar dan Ustaz Abdul Bar Ataullah telah memainkan peranan dalam menggerakkan islah di Perlis. Oleh sebab itu, Perlis tidak terikat dengan Mazhab Syafie, sebaliknya menjadi negeri Sunnah.

Politik Islam di Perlis

Kemunculan gerakan politik kepartian di Tanah Melayu, khususnya selepas Perang Dunia Kedua telah menyaksikan persaingan awal antara Umno dengan Hizbul Muslimin, tetapi kebanyakan tokoh agama di Perlis, terutama pendukung gerakan islah telah memilih bersama Umno. Tokoh-tokoh seperti Sheikh Ahmad Mohd Hashim, Wan Ahmad Wan Daud, Salleh Othman, Abu Bakar al-Asy'ari, Abu Bakar Hamzah dan lain-lain telah menjadi tokoh-tokoh Umno. Turut menyertai Umno ialah Ustaz Ahmad Long, Yang Dipertua Persatuan Imam-Imam Perlis. Bahkan, selepas Pilihan Raya Umum Negeri Perlis pada 20 Mei 1959, Sheikh Ahmad Mohd Hashim telah dilantik menjadi Menteri Besar Perlis, manakala Ustaz Salleh Othman pula dilantik oleh Umno sebagai Pengerusi Bahagian Agama Malaya pada 1949. Ustaz Abu Bakar Hamzah menjadi Ketua Pemuda Umno Perlis 1953-1955. Salah satu faktor utama mereka bersama dengan Umno ialah kerana Sheikh Ahmad dan Wan Ahmad Wan Daud dianggap tokoh utama islah di Perlis telah menjadi pemimpin Umno.

Agak menarik, ketika para pemimpin gerakan islah giat mengembangkan Umno, tokoh-tokoh ulamak pondok di Perlis tidak aktif bersama Umno sehingga PAS ditubuhkan pada pertengahan 1952 di Perlis. Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi Bukit Besar, Kedah yang berasal dari Perlis adalah antara yang terawal memberi sokongan kepada PAS, diikuti Tuan Guru Haji Hussin Che Dol, Pengerusi Perhubungan Umno Kedah. Ayah Tuan Guru Haji Othman Bukit Besar, Tuan Guru Haji Yunus Salleh (m. 1946) mempunyai pondok di Mata Air. Beliau juga berpengaruh di kawasan Bohor, Paya, Guar Sanji dan Sanglang. Beberapa ulamak pondok seperti Tuan Guru Lebai Adnan Abdullah, dari Pondok Sungai Padang dan Ustaz Ismail Naim, Mudir Madrasah Islahiyah, Bohor Mali telah aktif bersama PAS. Selepas itu, pengaruh PAS mulai berkembang di Perlis, apabila Sheikh Taqiyuddin Qandil, bekas Setiausaha Ikhwanul Muslimin Kaherah telah menggerakkan tarbiyah dan perkaderan PAS di Perlis dan Kedah. Antara tokoh islah yang awal menyertai PAS di Perlis ialah Ustaz Ahmad Long. Kemudian, Ustaz Abu Bakar al-Asy'ari turut berbuat demikian, diikuti oleh Ustaz Abu Bakar Hamzah.

Penubuhan PAS Perlis: Kebangkitan baru gerakan Islam

Ketika Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua berlangsung di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951 yang menubuhkan PAS, Bahagian Agama Umno Perlis telah menghantar wakilnya, Ustaz Mokhtar Ismail. Tetapi dalam persidangan di Bagan Tuan Kechil pada 24 November 1951, Umno Perlis tidak hadir, sebaliknya Perlis diwakili oleh Ustaz Ahmad Long dan Ustaz Abu Bakar al-Asy'ari atas nama Perikatan Imam-imam Perlis. Selepas persidangan ini, Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan telah melantik Ustaz Haji Ahmad Long sebagai Ahli Jawatankuasa Agung PAS sesi yang pertama, sedangkan Tuan Guru Haji Hussin Che Dol telah terpilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS mewakili zon utara dan pantai timur, yang Perlis termasuk di dalamnya. Ketika PAS sedang giat menubuhkan cawangan-cawangannya, kedua-dua tokoh ini berusaha meluaskan pengaruh PAS di Perlis. Akhirnya pada 8 Mei 1952, PAS Cawangan Perlis telah ditubuhkan sebagai cawangan PAS yang kelima.

Perjumpaan yang diadakan pada 8 Mei 1952 di Sekokah Perempuan Melayu Kangar ini telah dihadiri oleh 30 orang umat Islam dan dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis. Setiausaha Kerajaan Perlis itu telah menganggap PAS Perlis sebagai pertubuhan yang mempunyai kesedaran untuk memajukan agama dan bangsanya. Setelah berhasil menubuhkan PAS Cawangan Perlis, Lebai Adnan Abdullah dilantik sebagai Yang Dipertua PAS Cawangan Perlis, manakala Syed Omar Syed Hussein dan Syed Ahmad Syed Alwi al-Hadad masing-masing dilantik sebagai Setiausaha dan Penolong Setiausaha. Tuan Guru Ismail Naim Salim, Mudir Madrasah Islahiyah, Bohor Mali turut dilantik sebagai ahli jawatankuasanya. Pada peringkat awal ini, Pondok Bohor Mali dan Pondok Sungai Padang menjadi kubu utama PAS, sedangkan Madrasah Islahiyah Bohor Mali menjadi markaz PAS terawal di Perlis.

Pada peringkat awal ini, PAS telah melantik Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi sebagai Pesuruhjaya PAS Daerah Kedah-Perlis pada 1954, sebelum Ustaz Ahmad Long dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Perlis mulai awal 1956. Pada 1958, PAS Perlis telah menubuhkan Dewan-dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimatnya dengan Lebai Adnan Abdullah, Ahmad Salleh dan Ramlah Ismail masing-masing dilantik mengetuai dewan-dewan tersebut. Antara tokoh yang dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Perlis selepas ialah Ustaz Ahmad Long (1955-1965 dan 1973-1978), Haji Mahmud Mohd Noor (1965-1966, 1968-1971 dan 1985-1987), YB Cikgu Tahrim Ariffin (1966-1968), Ustaz Hashim Jasin (1971-1973 dan 1991-2013), Ustaz Omar @ Abdul Halim Ismail (1978-1985) dan Mohd Shukri Ramli (2013-2019). Kini PAS Perlis boleh berbangga kerana melahirkan dua daripada empat Mursyidul Am PAS iaitu Tuan Guru Prof Datuk Dr Haron Din dan Tuan Guru Haji Hashim Jasin.

MOHD FADLI GHANI
Head,
House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
28 Syawal 2019 / 2 Julai 2019 – HARAKAHDAILY 3/7/2019