Persidangan Persatuan Ulamak Malaya: PAS mendapat nama

Pimpinan
Typography

KETIKA Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua, 23 Ogos 1951 memutuskan untuk menubuhkan sebuah badan mereka sendiri yang bebas daripada Umno, para ulamak memberikan nama awal badan ini sebagai 'Persatuan Ulamak Malaya.' Ia hanya gambaran awal terhadap penyatuan para ulamak Malaya dalam memperjuangkan cita-cita Islam mereka. Selain memiliki Jawatankuasa Sementara Lima Anggota, persatuan ini belum memiliki apa-apa yang lain untuk melengkapkan ia sebagai sebuah pertubuhan yang baru. Persatuan ini belum mempunyai undang-undang tubuh atau perlembagaannya sendiri, selain belum melantik jawatankuasa kerjanya. Kedudukan ini telah meletakkan persatuan ulamak ini sebagai badan penaja yang belum memiliki sebarang kekuatan untuk bergerak di pentas perjuangan.

fadli ghaniDalam keputusan persidangan di Kuala Lumpur, Persatuan Ulamak Malaya diputuskan supaya mengadakan persidangan untuk menubuhkan persatuan ini secara rasmi di Pulau Pinang sebelum Disember 1951, Jawatankuasa Sementara Lima Anggota telah mengambil langkah ke arah penubuhannya. Pertama, menggubal draf undang-undang tubuh dan kedua, membentuk Jawatankuasa Sambutan Persidangan yang diketuai oleh Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein. Dalam mesyuarat jawatankuasa sambutan ini di Madrasah al-Khairiyah, Pokok Sena pada 12 Oktober 1951, mereka telah memutuskan supaya Persidangan Persatuan Ulamak Malaya diadakan di Kelab Melayu Bagan, Bagan Tuan Kechil (Butterworth) pada 24 November 1951 bersamaan 24 Safar 1371, dengan dirasmikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Putra.

Persidangan Persatuan Ulamak Malaya: Langkah bermula

Hasrat para ulamak untuk menjemput Raja Perlis membuka Persidangan Persatuan Ulamak Malaya tidak kesampaian, sebaliknya persidangan ini dibuka oleh Mufti Pulau Pinang dan Seberang Perai, Sheikh Abdullah Fahim. Persidangan pada 24 November 1951 yang tidak melibatkan Umno ini disertai 53 orang perwakilan, mewakili 23 pertubuhan Islam dari seluruh Malaya, 15 orang mewakili Bahagian-bahagian Umno dan 35 orang hadir sebagai wakil bebas. Selain 104 perwakilan ini, 45 orang yang lain hadir sebagai pemerhati.

Sehari sebelum persidangan, tokoh ulamak Seberang Perai, Haji Ahmad Badawi Abdullah Fahim telah mengeluarkan 'Manifesto al-Badawi' yang bertajuk "Ulamak ke Jalan Allah" bagi menyeru kebangkitan para ulamak. Persidangan ini telah dipengerusikan kemudiannya oleh Ustaz Haji Ghazali Abdullah, wakil Umno Perak. Pada asasnya, persidangan ini hanya membincangkan dua agenda sahaja, iaitu (1) membincang dan meluluskan Undang-undang tubuh Persatuan Ulamak Malaya dan (2) melantik jawatankuasa kerja persatuan ini berdasarkan undang-undang tubuh yang diluluskan.

Meluluskan Undang-undang Tubuh: PAS mendapat nama

Selepas persidangan dibuka, Pengerusi Persidangan telah memulakan persidangan dengan membahaskan usul undang-undang tubuh persatuan. Pada asasnya, semua fasal undang-undang tubuh ini diluluskan dengan mudah kecuali pada tiga perkara yang menjadi perbahasan panjang, iaitu:

1) Nama persatuan.
Fasal 1 mencadangkan nama persatuan ini ialah "Persatuan Ulamak Malaya," tetapi terdapat enam nama lain turut dicadangkan oleh perwakilan, iaitu Perikatan Ulamak Umno Se-Malaya, Persatuan Muslimin Tanah Air (Permata), Pertubuhan Islam Malaya (Pertama), Nahdatul Ulamak Malaya (Na'am), Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) dan satu nama lain. Nama PAS yang asalnya dicadangkan oleh Ustaz Othman Hamzah dari Persatuan al-Ihya as-Syarif, Gunung Semanggul telah dicadangkan semula secara rasmi oleh Ustaz Mohd Maasum dari Jemaah Madjid Telaga Air, Seberang Perai, kemudian dipilih oleh persidangan sebagai nama rasmi persatuan ini. Nama 'Persatuan Islam Se-Malaya' ini pertama kali dicadangkan oleh seorang pembaca Warta Negara pada 22 November 1951 atas alasan supaya keahliannya terbuka kepada semua umat Islam di Malaya;

2) Tujuan-tujuan persatuan.
Pada asalnya, Fasal 2 ini dicadangkan tiga tujuan yang bersifat badan kebajikan dan penyelaras pentadbiran agama, telah dipinda kepada tujuan-tujuan baru dengan empat tujuan yang bersifat politik, persaudaraan dan penyelarasan pentadbiran Islam; dan

3) Disiplin parti.
Fasal 22 adalah fasal baru yang dicadangkan oleh persidangan ini bagi mewujudkan disiplin parti, iaitu untuk menghalang mana-mana ahli jawatankuasa kerja yang dilantik memimpin persatuan ini menganggotai parti lain serentak.

Selain dari tiga perkara ini, fasal-fasal lain yang dikemukakan dalam draf asal undang-undang tubuh persatuan telah diluluskan tanpa sebarang perbincangan yang panjang. Dengan lulusnya Undang-undang Tubuh PAS 1951 ini, maka persatuan ini telah mempunyai perlembagaan yang sah dan sekali gus menukar tujuan persatuan ini daripada sebuah badan kebajikan dan pentadbiran Islam, menjadi sebuah badan politik, dakwah dan pentadbiran Islam yang menggantikan Hizbul Muslimin sebelumnya. Pemilihan jawatankuasa kerja yang berlangsung selepas itu, walau bagaimanapun menjadi kecoh disebabkan oleh sekatan disiplin parti yang diputuskan dalam Fasal 22 tersebut.

MOHD FADLI GHANI
Head House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS – HARAKAHDAILY 31/5/2019