Muliakan Ramadan dan Islam, jangan ambil kesempatan

Pimpinan
Typography

RAMADAN ini sepatutnya kita gunakan sepenuhnya untuk beribadah dan berbuat amal soleh. Ramadan ini juga sebaik-baik peluang untuk kita pamerkan kebaikan Islam dan umatnya, memperbetulkan kembali naratif buruk dan tanggapan negatif yang selama ini dilemparkan ke atas Islam dan umatnya yang kita kenali sebagai Islamofobia.

Menjadi kewajipan bagi kita umat Islam untuk mengajak orang bukan Islam untuk mengenali Islam dengan betul dari segi hukumnya, dasarnya, matlamatnya, kebaikannya malah kebajikannya yang bukan sahaja untuk umat Islam namun untuk semua umat manusia. Namun adakalanya disebabkan kita ghairah tanpa terlebih dahulu bertanya malah menyelidik dari sumber yang betul, tanpa kita sedar kita telah melebihi malah melanggar adab dan tatasusila Islam itu sendiri.

Ada banyak cara dan kaedah kita boleh meraikan orang bukan Islam dalam bulan Ramadan dengan tujuan untuk mendidik malah memperkenalkan Islam lebih dekat kepada mereka agar tidak ada was-was mahupun salah anggap terhadap Islam. Namun dalam usaha tersebut, jangan kita melangkah lebih jauh dari apa yang telah lazim diamalkan sejak dahulu lagi.

Saya berpendapat YB Akmal Nasurullah perlu mengambil pengajaran setelah apa yang berlaku. Seharusnya sebagai seorang pemimpin politik, pelbagai pandangan dan pertimbangan harus diambil kira terutamanya dari alim ulama sebelum membuat keputusan untuk menghadiri program berbuka puasa di rumah ibadat bukan Islam.

Sebagai seorang Islam, setiap perbuatan kita ada batasnya yang telah ditetapkan oleh syariat agar kita tidak terpesong akidah mahupun iman. Apa yang nampak pada umum, YB Akmal Nasrullah cuba mengambil kesempatan untuk menarik sokongan orang bukan Islam dengan menghadiri majlis berbuka puasa di sebuah kuil Sikh. Malah pada pandangan umum, perbuatan tersebut salah serta melampaui batas sebagai seorang Islam.

Teguran pelbagai pihak, para alim ulama termasuk Mufti Wilayah Persekutuan perlu dijadikan pedoman. Sebagai pemimpin, jangan sangka semua perbuatan kita betul dan terimalah pandangan apabila ditegur. Namun hari ini apabila AJK Kuil tersebut mengatakan mereka sendiri tidak tahu menahu tentang program tersebut, sudah lain pula jadinya cerita ini. Apakah Ramadan digunakan untuk kepentingan politik atau apa saja jadi dan digunakan asal kepentingan politik tercapai ?

Cukuplah Islam diburukkan dan umatnya di pandang hina dan keji, jangan kita tambah lagi kehinaan tersebut.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 31/5/2019