Keluarga bimbang pelajar Darul Anuar berkurang

Berita
Typography

KOTA BHARU: Ketika Maahad Darul Anuar diambil alih Keluarga Besar Nikmatillah daripada Yayasan Islam Kelantan (Yik) pada 2009, jumlah pelajar seramai 1,200 orang.

Malangnya sekarang jumlah pelajar tidak sampai 100 orang.

Ahli Lembaga Pengarahnya, Nik Din Nik Mat berkata, mengambil kira masalah tersebut pihaknya bersetuju menyerah semula sekolah berkenaan kepada Yik.

Katanya, sejak 2016 Lembaga Pengarah Maahad Darul Anuar berharap penyerahan itu terlaksana.

“Keluarga bermesyuarat untuk mengambil ketetapan baru terhadap nasib sekolah tersebut.

“Akhirnya satu pencapaian diambil sebulat suara bersetuju untuk menyerahkan semula Maahad Darul Anuar diurus Yik,” katanya ketika ditemui di sini.

Baru-baru ini Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah memberitahu Yik bersetuju untuk mengurus semula sekolah terbabit bermula sesi 2019.

Nik Din juga berkata, keputusan Yik untuk mengurus semula Maahad Darul Anuar begitu mengujakan Keluarga Besar Nikmatillah.

“Keputusan berkenaan turut disambut gembira bekas pelajar dan tenaga pengajar sekolah terbabit.

“Keputusan itu juga turut mengembirakan pewakaf tanah seluas lima ekar setengah yang seramai tujuh orang,” ujarnya.

(Ikuti pendedahan lanjut dalam Harakah cetak keluaran akan datang)