Bantah sebarang penganjuran berkaitan arak

Nasional
Typography

POLEMIK penganjuran berkaitan arak seperti Oktoberfest adalah tetap dibantah sama ada ia bersyarat atau tidak. Ini kerana penganjuran atas jenama pesta sekalipun diadakan secara tertutup dan tidak melibatkan orang Islam adalah satu perkara yang tidak menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini sebagai rakyat yang majoriti dan juga agama Islam itu sendiri sebagai agama rasmi persekutuan.

Isu hak non-Muslim dalam meminum arak adalah jelas berbeza dengan isu penganjuran berkaitan arak. non-Muslim tidak terikat dengan hukum taklifi iaitu pengharaman minum serta jual beli arak namun ia bukanlah menjadi lesen sehingga boleh diadakan sesuatu program, pesta atau apa jua namanya yang melibatkan penganjuran berkaitan arak. Isu yang jelas adalah sensitiviti ummah mesti dipertahankan. Ini adalah tanggungjawab non muslim dalam sebuah negara yang majoriti masyarakat muslim sebagaimana yang dinyatakan oleh Prof. Dr. Syeikh Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya “غير المسلمين في المجتمع الإسلامي”.

Dalam situasi yang biasa pun, umat Islam ditegah untuk berada di tempat-tempat yang diadakan padanya minuman arak secara sendirian atau skala kecil, maka apatah lagi jika umat Islam pula boleh bersetuju dalam membenarkan penganjuran yang berkaitan arak berskala besar. Ia adalah sesuatu perkara yang termasuk dalam keadaan “berada bersama” dalam perkara yang tidak dibolehkan. Sebab itu, Allah SWT ada menegaskan:

{وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ ۚ إِنَّكُمْ إِذًا مِثْلُهُمْ ۗ …}

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka…” [An-Nisaa’: 140]

Walau apapun alasan dalam hendak membenarkan Oktoberfest ini, hakikatnya, ingatlah arak disebut sebagai ibu maksiat “أم الخبائث” kerana mendatangkan mudharat serta kejelikannya yang menghilangkan kewarasan manusia dalam berfikir. Malah, jelas apabila Nabi Muhammad SAW menafikan tanggapan seorang lelaki yang bertanya kepada Baginda SAW untuk menggunakan arak sebagai ubat, lantas dibangkang oleh Baginda SAW dengan bersabda:

«إِنَّهُ لَيْسَ بِدَوَاءٍ وَلَكِنَّهَ دَاءٌ»

Maksudnya: “Sesungguhnya ia (arak) bukanlah ubat tetapi ia merupakan penyakit (membawa mudharat).” [Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud dan at-Tirmizi]

Tambahan pula, terdapat kes-kes kemalangan akibat mabuk arak yang berlaku sebelum ini menguatkan lagi bahawa arak sememangnya mengundang bahaya dan mudharat, bukan sekadar diri sendiri malah kepada masyarakat umum. Sebab itu, bantahan ke atas penganjuran Oktoberfest ini jelas kerana ia:

i. Tidak menghormati sensitiviti umat Islam kerana bersifat komersial dengan penganjurannya.

ii. Mengundang mudharat umum akibat kemabukan terutama selepas pesta.

iii. Bukan termasuk nilai dan budaya umum masyarakat di Malaysia menganjurkan pesta arak.

iv. Jika ia terus dilaksanakan, ia menjadi syiar kemungkaran sedangkan banyak mudharat yang timbul kesan daripadanya.

Justeru, Dewan Ulamak PAS Pusat tetap bertegas dengan pendirian bahawa Oktoberfest ini tidak boleh dianjurkan dan mesti dibantah sekeras-kerasnya. Tidak kira apa syarat yang ditetapkan demi membolehkannya, ia tetap tidak boleh diterima. Jika non muslim ingin minum arak, silakan di kediaman mereka tanpa mempromosinya dan tanpa membuat penganjuran pesta berskala besar.

“Islam Memimpin”
“Islam Jalan Penyelesaian”

USTAZ DATO’ DR MAHFODZ MOHAMED
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
7 Safar 1440 / 16 Oktober 2018 - HARAKAHDAILY 16/10/2018