15
Sun, Sep
29 Artikel Baru

Felda Selasih A juara Piala Adun Jabi

Berita
Typography

BESUT: Menepati ramalan sebagai pasukan pilihan, Felda Selasih A FC muncul juara Kejohanan Bolasepak Piala Adun Jabi 2018 setelah mengenepikan cabaran Tok Dor FC.

Persaingan itu akhirnya menyaksikan Tok Dor FC terpaksa akur menerima kekalahan menerusi penentuan sepakan penalti berkeputusan 5 - 4 setelah kedudukan penuh masa perlawanan berkesudahan seri 1-1.

Kejohanan Bolasepak yang telah membuka tirai pada 11 Ogos lepas dengan penyertaan 20 pasukan dari seluruh Dewan Undangan Negeri Jabi itu ditutup dengan perlawanan akhir di Padang Bola Kampung Kerandang, di sini semalam.

Menurut Adun Jabi, Dr Azman Ibrahim, dalam tempoh sebulan setengah, padang bola Kampung Apal dan Kampung Kerandang yang menjadi gelanggang perlawanan sentiasa meriah dengan kehadiran penonton dari segenap lapisan masyarakat.

"Inilah medan untuk anak muda Jabi mengembangkan bakat dan meneruskan cara hidup sihat yang jauh dari gejala negatif. Agenda belia dan sukan akan terus menjadi keutamaan kita.

"Jabi merupakan Dun yang terawal menganjurkan kejohanan seumpama ini pasca PRU14 di seluruh negeri Terengganu. Kejohanan ini akan terus menjadi acara tahunan dalam kalendar di tahun akan datang," ujarnya yang juga Exco Kerajaan Negeri. -HARAKAHDAILY 18/9/2018