24
Sat, Aug
21 Artikel Baru

Molek doh, tapi...

Nasional
Typography

APAKAH Kerajaan Umno Terengganu tak yakin dengan paparan pelbagai kisah kejayaan pembangunan Terengganu untuk mengamit kehadiran pengunjung ke Ekspo Terengganu 2018 sehingga terpaksa menawarkan hadiah satu unit apartment, satu lot tanah kediaman dan satu lot tanah pertanian sebagai umpan menarik kehadiran rakyat.

Ini belum dikira pelbagai lagi tawaran hadiah menarik. Mungkin rakyat Terengganu yang sekian lama berhajat kepada tanah dan kediaman akan berbondong-bondong menyerbu Stadium Tertutup Gong Badak. Nasib baik boleh dapat apartment dan tanah!

'Terengganu Molek Doh' itulah tema ekspo yang diangkat. Memang kita akui Terengganu molek doh. Tapi Umno Terengganu yang telah mencalarkan segala 'kemolekan' ini.  

Molek-molek Terengganu ada Royalti minyak, Umno Terengganu sendiri yang cadang supaya Kerajaan Pusat tarik. Sampai sekarang royalti tak dikembalikan. Yang tinggal hanya Dana Khas.

Molek-molek Kerajaan PAS Terengganu bagi tanah kediaman dan pertanian kepada rakyat sampai berpuluh ribu lot, mari Umno rampas balik.

Molek-molek ada KUSZA milik kerajaan dan rakyat Terengganu, Umno serah kepada Kerajaan Pusat. Sepatutnya nak naikkan taraf KUSZA jadi universiti, silakan dan itulah yang terbaik.

Tapi kekalkan ia jadi milik negeri dengan rakyat Terengganu mempunyai keistimewaan untuk memasukinya. Bila diserah kepada Pusat, maka hilanglah hak negeri. 

Molek doh Terengganu ada lebuh raya. Yang dok moleknya, kenapa guna duit negeri sampai RM1.8 bilion untuk buat lebuh raya sedangkan itu projek Kerajaan Pusat.

Molek doh ADUN BN Terengganu dapat peruntukan tahunan RM1 juta, lebih tinggi dari peruntukan ADUN Selangor negeri termaju dalam Malaysia. Tapi sebab apa jalan dalam kampung masih banyak yang dok molek. Berselut di musim hujan dan berdebu di musim kemarau. 

Dulu molek-molek ada kerajaan negeri boleh hantar anak Terengganu pergi belajar ke luar negara. Lening tak dok habih doh. Walau Bajet tahunan dekat 2b. Kelantan dengan Bajet hanya 600 juta lebih mampu hantar anak Kelantan mengaji ilmu di luar negara. 

Molek doh Bajet negeri kita banyak. Tapi sebab apa KDNK negeri kita bagi tahun 2016 hanya 3.1 peratus lalu berada di kedudukan ketiga terakhir. Kelantan dengan Bajet yang sedikit boleh berada di kedudukan tiga teratas dengan KDNK 4.8 peratus. Kita modal besar hasil sikit. Kelantan modal sikit hasilnya besar.

Kadar kemiskinan kita di Terengganu lebih tinggi dari Kelantan walau Umno dakwa molek doh mereka jaga rakyat.

Molek doh lapangan terbang kita besar. Tapi sebab apa jumlah penerbangan harian hanya 7 kali sehari. Malu dengan jiran kita Kelantan. Di Kota Bharu ada 47 kali sehari kapal terbang turun naik. 

Molek doh kita duduk di negeri cantik budaya menarik. Tapi sedarkah Umno bahawa Kuala Terengganu adalah antara tempat di mana kos hidupnya paling tinggi di Malaysia. 

Molek doh bila macam-macam projek pembangunan naik. Yang dok moleknya banyak juga yang jadi gajah putih. Pitih habih banyok, ada yang tak siap dan manfaatnya tiada. Kita ada senarai panjang projek terbengkalai dan projek gajah putih.

Molek doh Terengganu negeri yang memiliki pesisir pantai terpanjang di Malaysia. Tapi harga ikan di Terengganu, masyaAllah!! Ikan dah jadi menu hidangan orang berduit. Walaupun memiliki keluasan laut dan pesisir pantai Terengganu, pusat pendaratan ikan terbesar di Malaysia berada di Tok Bali, Kelantan dan bukannya di Terengganu.

Kemolekkan Terengganu akan terus punoh kalu lok ko Umno. Lok koho punoh.

DR AZMAN IBRAHIM
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat
HARAKAHDAILY 5/2/2018