20
Tue, Aug
29 Artikel Baru

Selamatkan tanah Felda dan maruah peneroka

Nasional
Typography

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) di gesa menyiasat dakwaan berlakunya pemindahan tidak sah empat lot tanah milik FELDA yang bernilai RM 270 juta di Jalan Semarak, Kuala Lumpur kepada Kuala Lumpur Vertical City Sdn. Bhd. (KLVC) yang di dakwa di lakukan secara tidak sah.

Lebih mengejutkan, setelah FELDA Investment Corporation (FIC) melantik pemaju (Synergy Promenade Sdn. Bhd.) pada 3 Jun 2014 dan memberikan Power Of Attorney (POA) untuk memajukan tanah tersebut, tanpa di ketahui tanah milik FELDA tersebut telah di pindah milik kepada syarikat milik pemaju Kuala Lumpur Vertical City Sdn. Bhd. (KLVC).

Pemindahan hak milik tanah kepunyaan FELDA tersebut seolah-olah FELDA mahupun FIC telah menjual lot tanah tersebut kepada Synergy Promenade Sdn. Bhd. sedangkan sebenarnya FELDA mahupun FIC hanya memberikan hak kepada pemaju untuk memajukan tanah tersebut tanpa melepaskan pegangan terhadap tanah tersebut. Maka pindah milik tanah kepunyaan FELDA kepada syarikat milik pemaju adalah salah dan seperti wujudnya unsur penipuan dalam urusniaga berkenaan.

Keputusan yang di buat FIC berkaitan lantikan pemaju untuk memajukan tanah milik FELDA itu juga hanya di laporkan kepada Lembaga Pengarah FELDA 3 bulan selepas melantik dan memberikan POA kepada pemaju. Ketika itu semasa Tan Sri Isa Samad menjadi Pengerusi FELDA, individu yang menduduki Lembaga Pengarah FELDA dan FIC adalah individu yang sama seterusnya menimbulkan keraguan dalam perjalanan transaksi dan kelulusan projek tersebut.

Menurut Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Samad, perkara tersebut di ketahui beliau selepas beberapa bulan mengambil alih jawatan Pengerusi FELDA serta setelah melakukan semakan dan siasatan terhadap status projek tersebut dan kepentingan FELDA di dalamnya. Menjadi persoalan bagaimana transaksi tersebut di lakukan FIC dan setelah Lembaga Pengarah FELDA dimaklum, mengapa ia tidak di lapor kepada Kerajaan memandangkan FELDA adalah agensi Kerajaan dan ia membabitkan transaksi mahupun pembangunan berskala besar bernilai ratusan juta ringgit.

PAS kekal berpendirian teguh bahawa satu Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) perlu di tubuhkan oleh Kerajaan untuk menyiasat serta mengaudit FELDA, agensi dan anak syarikat miliknya secara telus dan mendalam bagi memperincikan semula tata urus dan perjalanan operasi FELDA, agensi dan anak syarikat miliknya agar mematuhi prosedur serta piawaian yang di tetapkan. Ia juga dapat membongkar jika masih terdapat lagi kes seumpamanya yang masih terperosok  di dalam FELDA tanpa di ketahui oleh pengurusan tertinggi FELDA.

Setelah berlakunya banyak dakwaan salah laku yang sedang di siasat SPRM ke atas FELDA, agensi dan anak syarikat miliknya terutamanya semasa Tan Sri Isa Samad menjadi Pengerusi FELDA mahupun FIC, PAS secara tegas menggesa Kerajaan melihat penubuhan Suruhanjaya Siasatan Di Raja sebagai perkara yang serius untuk memastikan FELDA bersih dari individu mahupun kumpulan yang ingin mengambil kesempatan mengaut laba secara haram dan tidak beretika ke atas FELDA.

Tanpa Peneroka, Tiadalah FELDA.

WAN ROHIMI WAN DAUD
Pengerusi,
Lujnah Pembangunan Tanah, Perumahan, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat.
4 Rabiul Akhir 1439H / 22 Disember 2017. – HARAKAHDAILY 22/12/2017