Gangguan samseng: Ceramah dihenti untuk keselamatan

Hazayani Zakaria | .

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) kecewa terhadap pihak polis yang tidak menghalang gangguan sekumpulan samseng dalam program ceramah malam tadi.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, pihak polis hanya memerhati tanpa melakukan apa-apa sewaktu kira-kira 100 orang dipercayai ahli Umno dan Perkasa mengganggu ceramahnya di Felda Sungai Tengi, Hulu Selangor malam tadi. (Gambar dari blog Omak Kau!)

"Saya kecewa polis hanya berdiri di tepi dan membiarkan samseng ini membaling kerusi dan merempuh benteng pasukan Unit Amal. Waktu itu saya baru sahaja naik ke pentas dan memberi salam.

"Polis kata ceramah itu program politik dan mereka tak mahu campur," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Mazlan berkata, akibat gangguan melampau itu, pihak penganjur membuat keputusan menghentikan ceramah serta merta bagi menjamin keselamatan orang ramai yang hadir.

"Pihak penganjur terpaksa menghentikan program sebab kami risau keselamatan orang hadir. Ada yang bawa keluarga termasuk anak-anak," katanya.

Ekoran kejadian itu, pihak penganjur membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor jam empat pagi tadi.

Menurut Mazlan lagi, sekatan jalan raya sudah dibuat bermula petang semalam bagi menghalang kenderaan luar masuk ke kawasan Felda.

"Mereka dah mula sekat laluan sejak petang sehingga maghrib dan apabila malam, seramai ramai samseng datang buat kacau," katanya.

Tak sampai 10 jam adu polis

Sementara itu, Mazlan juga kesal kerana peristiwa itu berlaku dalam masa tidak sampai 10 jam selepas perbincangan dengan pihak polis Bukit Aman petang semalam.

Memorandum turut diserahkan kepada Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli Mohamed Yoosuf yang menyatakan bantahan terhadap sekatan dan halangan masuk ke dalam kawasan Felda untuk sebarang aktiviti termasuk ceramah dan ‘Kembara Oren’.

"Tak sampai 10 jam kami adu dan minta kerjasama polis, gangguan ini berlaku lagi. Sedangkan kami dah maklumkan kepada polis setiap program yang akan dilakukan," katanya.

Share on Myspace