Dakwaan Deepak: Muhyiddin dirayu selamatkan Umno?

| .

KUALA LUMPUR: Sumber Harakahdaily di Umno muncul kembali di 2013, kali ini dengan menyatakan bahawa parti terbesar Melayu itu kini amat tertekan dengan dakwaan peniaga permaidani Deepak Jaikishan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.

“Kami tidak boleh bersuara dalam isu (dakwaan Deepak). Kami diarahkan tidak boleh berkata apa-apa. Malah semua media pro-kita tidak boleh melaporkan mengenai dakwaan Deepak. Kami tertekan kerana tahu isu ini adalah bom C4 buat Umno di PRU13,” kata sumber itu kepada Harakahdaily hari ini.

Sumber yang rapat dengan pemimpin tertinggi Umno berkata, ramai dalam Umno kini memohon Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bertindak menyelamatkan Umno daripada ditenggelamkan oleh Najib dan isterinya.

“Masalah ada pada wanita tersebut… yang lelaki itu ok, tapi apa nak buat, mereka suami-isteri. Jadi, kalau nak buang wanita, kena buang yang laki bersama. Kami dok doa Muhyiddin akan bersuara untuk memanggil Najib turun takhta demi survival Umno,” kata beliau.

Ditanya samada beliau mempercayai dakwaan Deepak, sumber itu berkata “ada perkara yang boleh dipercayai” terutamanya mengenai bahagian-bahagian mengenai Rosmah.

“Tapi kebenaran dalam isu itu bukan lagi pokok yang dibimbangi oleh ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin Umno. Mereka bimbang isu ini menjadi bom C4 yang meletup di muka Umno-BN menjelang PRU13 lagi. Sekarang pun dah hangat, walaupun tak lapor, semua sedang mencari-cari buku yang Deepak keluarkan,” katanya lagi.

Isnin lepas, buku 'Black Rose 1.0' mula diedarkan kepada umum. Buku setebal 26 muka surat sahaja itu penuh dengan pendedahan.

Namun ketika dihubungi Harakahdaily, Deepak enggan mengesahkan beliau yang menulis dan menerbitkan buku itu.

Sumber Umno itu seterusnya memberitahu, Umno cuba menutup isu Deepak dengan isu Amanat Haji Hadi yang sedang diperbesarkan dan disensasikan, supaya orang Melayu lebih tertumpu pada isu yang sudah 31 tahun berlalu itu mengenai Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang daripada dakwaan Deepak.

“Isu Amanat Hadi ini sengaja dibesarkan – tapi apabila Haji Hadi minta jawab secara live semua kalut, tak tahu nak respon – jawapan berterabur. Tapi mereka akan terus main sehingga Deepak dapat disenyapkan,” kata beliau.

Ditanya apakah Umno percaya isu Amanat Hadi ini akan membawa undi pada mereka, sumber itu ketawa – “Ini untuk tutup isu Deepak sahaja, yang lain mereka tak pernah fikir pun.”

“Sekarang kami berharap Tan Sri Muhyiddin akan mengorak langkah, diharap beliau mendapat sokongan daripada bekas PM Tun Dr Mahathir. Kalau tak, Umno dalam bahaya. Tak berbaloi jika Umno jatuh kerana satu wanita yang…. “ kata sumber itu.

Ditanya apakah sambungan pada ayat tersebut, sumber itu berselorah, “Lu fikirlah sendiri.”

“Ahli-ahli Umno sekarang berharap Muhyiddin yang menerajui Umno ke PRU13. Masa ada 6 bulan sahaja lagi. Sempat jika Muhyiddin bergerak sekarang, beliau akan dapat sokongan padu jika beliau berani bersuara. Rasanya Tun Dr Mahathir pun dah terima siapa  liabiliti sebenar buat Umno-BN masa kini,” tambah sumber itu lagi.

Ditanya apakah strategi Umno menjelang PRU13, sumber itu berkata, “Apa lagi? Serang PAS habis-habisan sehingga PAS keluar Pakatan Rakyat. Kemenangan mutlak Pakatan bergantung sepenuhnya pada PAS. Jika PAS gagal tawan undi Melayu, Umno kekal menjadi kerajaan. DAP dan PKR bukan lawan Umno sebenar. Anwar Ibrahim tidak boleh menjadi Perdana Menteri kalau PAS tewas. PKR, DAP boleh menang lawan MCA dan MIC tapi Umno mesti tidak boleh kalah pada PAS. Jika tewas, BN akan jadi pembangkang.”

Harakahdaily turut cuba mengusik sumber apakah nasihat yang beliau ada untuk PAS.

“Bertahan dan jangan masuk perangkap seperti isu kalimah Allah. Penjelasan (Ketua Penerangan PAS) Tuan Ibrahim matikan satu senjata Umno terhadap PAS. Kini isu Amanat Hadi, Haji Hadi bertahan bagus untuk PAS, kerana dah nampak semua peringkat ahli dan pemimpin PAS kini rally (bersatu) di belakang presiden mereka untuk melawan Umno. Umno selama ini harapkan PAS berpecah dengan menggunakan si Jati dan kawan si Jati yang masih dalam PAS, tapi disebabkan nak tutup isu Deepak, kini mereka terpaksa guna isu amanat Haji Hadi, yang sebaliknya, telah menyatukan PAS semula,” katanya.

Ditanya samada beliau mengharapkan Umno akan tewas di PRU13, “Untuk negara, naluri saya kata ya. Demi diri sendiri, tidak. Sini tempat cari makan saya,” katanya sebelum beredar.

Share on Myspace