Kase, Juham teruskan usaha hingga AES dimansuh

Harakahdaily | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) meminta jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) serta Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) terus komited dalam usaha mendesak kerajaan menghapuskan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

 

Timbalannya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, keputusan terbaru yang dikeluarkan oleh Pejabat Peguam Negara dengan mengarahkan supaya semua prosiding kes saman di mahkamah melalui AES digantung serta merta kerana timbul pelbagai masalah yang lain, meskipun saman yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah sah.

 

“DPPWP menganggap keputusan ini adalah kejayaan awal Kase dan Juham dalam memperjuangkan hak rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

 

Tambahnya, ternyata perjuangan berterusan untuk kepentingan orang ramai tanpa rasa jemu akan membuahkan hasil sehingga kerajaan tunduk kepada tekanan yang diberikan.

 

Katanya, kelemahan dan kepincangan di sebalik sistem AES serta pihak tertentu yang bakal mengaut keuntungan dari keperitan rakyat perlu terus didedahkan supaya rakyat mengetahui nawaitu sebenar pelaksanaan AES ini.

 

Dalam pada itu, kata beliau DPPWP menyokong gesaan kerajaan Pulau Pinang supaya Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Chong Ha membatalkan 300,000 saman yang dikeluarkan oleh AES.

 

Beliau berkata, dengan keputusan yang dikeluarkan Pejabat Peguam Negara semalam, amat wajar Menteri Pengangkutan mengarahkan JPJ membatalkan saman yang dikeluarkan serta merta,” ujarnya.

 

“Pengumuman Pejabat Peguam Negara semalam ibarat suatu tamparan hebat kepada kredibiliti beliau selaku pemimpin yang bertanggungjawab dalam projek ini, dan bagi memikul kesilapan ini sepatutnya beliau memohon maaf kepada rakyat Malaysia khususnya mangsa AES dan seterusnya meletakkan jawatan,” katanya lagi.

Share on Myspace