15
Sun, Sep
32 Artikel Baru

Premis PAS diarah kibar Jalur Gemilang

Takiyuddin memasang Jalur Gemilang di sebuah kereta.

Berita
Typography

KOTA BHARU: Semua premis parti di negara ini perlu mengibarkan Jalur Gemilang menjelang sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos.

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan, berkata pada masa yang sama ahli PAS juga digalak menaikkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing.

Katanya, gesaan itu dibuat bagi menyatakan rasa kecintaan kepada negara.

“Lebih-lebih lagi dalam suasana sekarang mungkin ada pihak yang menjalankan usaha secara tidak langsung untuk mengurangkan rasa kecintaan terhadap negara.

“Saya rasa usaha ini perlu diperhebatkan semua rakyat di negara ini termasuk penyokong-penyokong PAS,” ujarnya pada kempen kibar Jalur Gemilang di hadapan Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu di sini petang semalam.

Beliau juga berkata, PAS bersedia menghadiri program sambutan kemerdekaan dianjurkan kerajaan Persekutuan atau di peringkat egeri sekiranya ada jemputan.

Menurutnya PAS akan bersama dengan kerajaan di seluruh negara atau di peringkat kebangsaan.

“Kami juga bersedia menyumbang lebih 1,000 Jalur Gemilang kepada warga bandar yang melalui Pusat Khidmat Parlimen Kota Bharu,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu. – HARAKAHDAILY 28/8/2019