24
Sat, Aug
21 Artikel Baru

DAP rasa terancam hadapi cadangan Salamiah?

Nasional
Typography
LAPORAN polis oleh DAP yang mahu mengheret Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Salamiah Mohd Nor kepada Akta Hasutan hanya menyerlah sisi kuku besi dan menyeringainya taring kuasa mereka. Itulah sikap DAP atas kekuasaan yang sebenarnya membawa ciri-ciri keangkuhan, menzalimi dan menindas ke atas lawannya.
 
Ianya sama sekali jauh dari nama parti itu yang kononnya membawa demokrasi dan sosial. Hakikat telah membuktikan mereka adalah pihak yang tidak boleh berada di medan perbincangan atau wacana. Apatah lagi seandainya perkara dikemukakan itu tidak selari dengan agenda untuk meraih sokongan dan mengukuhkan punca kuasa.
 
DAP hanya mahu semua pihak seia sekata atau tunduk dengan desakannya yang melampau, ekstrem, radikal bahkan tidak beretika serta berhemah, selain tidak menghormati juga banyak pihak. Merekalah sebenarnya mahu terus melihat perpecahan rakyat Malaysia pelbagai bangsa dengan mempertahankan pendidikan berasaskan kaum.
 
Kerana hal ini sangat berkait dengan survival politik dan kuasa DAP. Sedangkan agenda penyatuan rakyat Malaysia boleh sahaja berawal dengan bahasa dan pendidikan. Maka, mereka menyekatnya supaya masing-masing terus terikat dan membudayakan semangat perkauman secara terpisah dengan kaum lain dan membibit prasangka.
 
Walhal sekolah vernakular bukan sahaja tiada dilindungi oleh perlembagaan, malah ianya terbukti menyebabkan jurang antara rakyat pelbagai kaum, apatah lagi dengan curahan api perkauman oleh DAP yang kini sebahagian pemerintah Malaysia. Oleh itu, cadangan pemansuhan sekolah ini adalah wajar dengan usia negara ini yang sudah lebih 60 tahun merdeka.
 
Rakyat pelbagai kaum boleh terus menutur bahasa ibunda masing-masing termasuk mengamalkan agama mereka secara aman dan bebas di negara ini. Malah, Presiden PAS antara yang terawal menegaskan betapa bahasa ibunda adalah terpenting kepada pendidikan awal murid-murid sekolah rendah. Ini juga pendirian semua pimpinan PAS.
 
Pengajaran dan pembelajaran bahasa ibunda perlu terus menjadi mata pelajaran untuk pelajar bagi kaum Cina dan India serta mereka yang berminat di sekolah rendah. Namun, bahasa kebangsaan wajib dipelajari demi ke arah penyatuan rakyat negara ini. Oleh itu, DAP tidak perlu menegakkan hujah yang dangkal dan menyerlah kedunguan.
 
Perkara dikemukakan Salamiah adalah berbentuk cadangan, penyelesaian dan penegasan semula kepada banyak suara yang sama pernah dinyatakan ramai pimpinan, tokoh dan pihak dalam negara ini. Ia bukan penghapusan kaum, melainkan membendung perpecahan dan kegagalan mencapai perpaduan kaum yang dihasratkan.
 
Tidak ada pihak sepatutnya menggelupur kepanasan dengan cadangan murni ini, melainkan mereka itu mempunyai motif dan agenda disebaliknya. Kini terserlah nyata, DAPlah sedang tidak tentu arah, gusar, paranoid dan terancam. Kami dengan ini menyatakan sokongan dan berdiri teguh bersama Salamiah Mohd Nor serta menyeru solidariti menghadapi keegoan DAP.
 
"Islam Memimpin Perpaduan"
"Islam Memimpin Wanita Sejahtera"
"Muslimat Istiqomah Memacu Kemenangan"
 
YUSMA YUSOF
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang - HARAKAHDAILY 25/6/2019