20
Tue, Aug
28 Artikel Baru

Berkat Ramadan, kembali fitrah dan hidup sejahtera

Fikrah
Typography
PERSIAPAN menyambut sememangnya dituntut bagi menyatakan rasa syukur kita kepada Allah S.W.T setelah berjaya beramal ibadat semaksimun mungkin sepanjang bulan Ramadan Al-Mubarak. Kini tiba untuk meraikan Syawal atas keberkatan Ramadan dengan kembali kepada fitrah.
 
Namun begitu, dalam keghairahan melakukan persiapan menjelang hari raya, bersederhanalah dalam sesuatu perkara sebagaimana para alim ulamak yang telah banyak mengajarkan kita amalan Rasulullah S.A.W agar keimanan dan ketakwaan dijelmakan dalam hidup sejahtera. 
 
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan) baik hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
(Al-Ahzab: 21)
 
Apa yang menjadi kerisauan kita hari ini, masih terdapat segelintir masyarakat yang memandang enteng soal silaturrahim sesama manusia. Sedangkan dalam Riwayat al-Bukhari dan Muslim, daripada Abu Ayyub Khalid bin Zaid al-Ansari RA bahawasanya seorang lelaki berkata “Wahai Rasulullah, beritahu daku tentang amalan yang membolehkan aku masuk syurga.” Jawab Rasulullah, “Beribadatlah kepada Allah, janganlah menyekutukan dengan sesuatu, dirikan sembahyang, keluarkan zakat dan eratkan hubungan silaturahim.”
 
Firman Allah SWT dalam surah An Nisa', ayat 1:
"Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu."
 
Pesanan penting buat mereka yang sudah lama tidak balik kampung, pulanglah bertemu dan berziarah khususnya ibu bapa dan sanak saudara. Nescaya besar pahala memuliakan mereka. Fitrah kehidupan kita yang diciptakan Allah adalah saling lengkap melengkapi antara satu sama lain dan itulah hikmah kejadian manusia sebagai khalifah di muka bumi.
 
Lebih dahsyat lagi ada yang membenci ibu bapa sendiri dek kerana peristiwa yang nampak di mata kita seolah-olah ibu bapa pilih kasih terhadap kita yang akhirnya tidak bertegur sapa adik beradik. Ambil lah peluang Ramadan yang masih berbaki dan Syawal ini untuk saling bermaafan agar hidup kita lebih bermanfaat dan rezeki bertambah berkat. 
 
"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)."
(Al-Isra': 23)
 
Islam itu indah apabila dijaga hablun minallah (hubungan dengan Allah) dan hablun minannas (hubungan sesama manusia) dengan sempurna. Kebahagiaan hidup sebenar adalah apabila hadirnya ketenangan saat kita melakukan amal ibadat dan ketika berurusan dengan manusia. 
 
Dalam pada itu, di samping menziarahi ibu bapa, adik beradik, sanak saudara mahupun sahabat handai, perlulah kita bijak mengatur masanya yang bersesuaian yang tidak menyulitkan tuan rumah. Ada waktu tertentu yang dilarang dalam Islam sebagaimana dinyatakan bahawa, sesungguhnya kebiasaan Rasulullah S.A.W mengunjungi para sahabat pada waktu pagi dan petang. Kita dilarang berkunjung pada tiga waktu iaitu pertama sebelum masuknya waktu Subuh, keduanya sebelum masuknya waktu Zohor (waktu tidur siang di tengah hari) dan selepas solat Isyak.
 
Seperkara lagi apabila memasuki Syawal, diingatkan agar kita menghormati waktu solat khususnya dalam penganjuran majlis sambutan hari raya di pejabat atau peringkat komuniti serta majlis rumah terbuka. Seringkali  pihak penganjur seolah-olah tidak cakna apabila membuat jemputan atur cara pukul 7.30 malam atau pukul 1.00 petang sedangkan sudah hampir masuk waktu solat. 
 
Berilah ruang masa secukupnya untuk menyempurnakan tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya. Sesungguhnya setiap pada kita mempunyai masa yang sama iaitu 24 jam yang mana satu pertiga daripadanya mestilah disediakan masa berkialiti untuk Allah S.W.T, Tuhan pencipta sekalian alam. Sama-samalah kita bina kehidupan sejahtera dengan mengamalkan Islam secara menyeluruh, Insya-Allah. - HARAKAHDAILY 4/6/2019