15
Sun, Sep
29 Artikel Baru

Pemuda PAS tempelak ucapan Rafidah Aziz

Nasional
Typography
DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menempelak ucapan Tan Sri Rafidah Aziz dalam program Bicara Minda anjuran Sinar Harian yang melabelkan ‘klepto berserban’ sebagai punca kerosakan negara. 
 
DPPM mencabar beliau untuk melaporkan salah guna kuasa yang telah dilakukan oleh PAS kepada pihak SPRM untuk disiasat. Ucapan beremosi tanpa fakta hanya sekadar retorik untuk menanamkan kebencian rakyat kepada PAS. 
 
Sebenarnya, Tan Sri Rafidah Aziz mesti sedar, satu laporan polis pernah dibuat oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh pada tahun 1999 yang merujuk kepada dokumen dari Pejabat Peguam Negara mengenai wujud prima  facie untuk mendakwa beliau atas lima tuduhan rasuah. 
 
Beliau boleh merujuk hal ini kepada Ahli Parlimen Port Dickson dan Ahli Parlimen Iskandar Puteri yang pernah membuat ucapan ini di Dewan Rakyat. Semua mereka telah menjadi anggota kerajaan hari ini. Perkara ini lebih penting supaya segala dakwaan-dakwaan yang timbul boleh diselesaikan secara adil.  
 
Dalam isu-isu seperti ini, PAS telah menyatakan prinsip secara konsisten supaya satu suruhanjaya siasatan khas ditubuhkan untuk menyiasat segala dakwaan korupsi dan skandal kewangan yang telah dilakukan oleh BN termasuk dalam tempoh pentadbiran beliau sekitar 20 tahun dalam kabinet. 
 
Sekiranya wujud bukti yang munasabah, maka semua pihak yang didakwa mesti diadili di mahkamah. Tan Sri Rafidah Aziz yang muncul menjelang PRU14 yang lalu untuk menyokong PH harus mendesak penubuhan suruhanjaya siasatan ini. Perkara ini juga termaktub dalam manifesto dan kenyataan-kenyataan pemimpin utama PH.
 
IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
27 Rejab 1440 | 3 April 2019 - HARAKAHDAILY 3/4/2019