Malas, berfoya-foya undang penyakit

Foto hiasan.

Gaya Hidup
Typography

JIKA saya tulis fakta berkaitan kehidupan yang malas dan berfoya-foya boleh mendatangkan risiko penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung, sudah pasti ramai yang akan terkejut. Tidak kurang juga antara mereka akan menidakkannya kerana kehidupan mereka yng sedemikian cuba dirasionalisasikan oleh nafsu mereka sendiri yang suka bermalasan dan kehidupan berfoya-foya.

Istilah kehidupan sedentari adalah paling tepat digunakan dalam ilmu perubatan bagi menggambarkan sesetengah manusia yang hidup mereka bermalasan untuk membuat aktiviti fizikal seperti bersenam dan suka berfoya-foya serta mengamalkan makanan yang tidak banyak zat.

Kehidupan sedenteri boleh menyebabkan kegemukan dan kencing manis. Sudah banyak kajian yang telah dikemukakan oleh para pengkaji. Apabila saya menulis sebegini, saya mohon para pembaca budiman sekelian berhenti seketika. Lihatlah pada diri dan aktiviti kita hari ini atau ketika ini. Adakah kita tergolong daripada kategori kehidupan sedentari?

Kajian mendapati tiga daripada empat orang penduduk Malaysia hidup secara bermalasan dan berfoya-foya. Suka berada depan TV atau bermain denga gajet kesayangan, bermain 'game' komputer atau telefon pintar sambil mulut mengunyah sesuatu. Kekadang apa yang dimakan oleh si sedentari ini adalah makanan ringan serta makanan diproses segera yang kurang berzat.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kehidupan sedentari adalah salah satu daripada sepuluh penyebab kematian yang tertinggi. Pada tahun 2004, kajian dari Universiti Hong Kong mendapati manusia lebih ramai mati akibat tidak menjalani kehidupan cergas berbanding merokok.

Walau kita tidak menafikan bahawa merokok itu adalah ibu kepada segala penyakit, tetapi tidak menjalankan aktiviti cergas, hidup bersenang lenang dan malas boleh menjadi pencetus kepada kematian tanpa kita sedari.

Lebih mengejutkan daripada kajian berkenaan bahawa 92 peratus lelaki dan 75 peratus wanita mempunyai risiko yang tinggi mati akibat daripada masalah pernafasan kerana kehidupan sedentari berbanding dengan kegagalan paru-paru akibat merokok.

Manakala satu kajian lagi dalam negara kita mendapati sembilan daripada sepuluh pekerja pejabat mempunyai tabiat kehidupan sedentari ini. Para pekerja ini akan berada di kerusi tempat kerja sehari-hari tanpa banyak pergerakan sekurang-kurangnya enam jam sehari.

Kajian tersebut juga mendapati separuh dari pekerja berkenaan mangamalkan makan di meja tempat kerja. Lebih membimbangkan 86 peratus para pekerja di Malaysia ini tidak mengamalkan gaya hidup sihat seperti yang disarankan; iaitu menjalankan senaman kesihatan dengan intensiti senaman minimum 30 minit tiga kali seminggu. Hatta senaman ringan di tempat kerja pun tidak diamalkan oleh mereka.

Pelbagai faktor lain lagi yang boleh mempengaruhi tabiat yang tidak sihat ini. Jika kehidupan sebegini berterusan sehingga menjadi satu budaya iaitu malas untuk mengamalkan gaya hidup sihat, maka risiko penyakit-penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, sakit jantung dan sebagainya akan meningkat berkali-kali ganda.

Banyak nasihat yang boleh doktor berikan. Cuma pada penulisan kali ini saya ini kongsikan satu tabiat yang selalu digemari oleh orang Malaysia; iaitu makan malam. Adakah ianya elok untuk kesihatan tubuh badan atau sebaliknya? Tidak lain, tabiat makan waktu malam ini juga berpunca daripada kehidupan dan budaya sedentari.

Kawan-kawan selalu berseloroh sebaik sahaja saya mengadap meja makan selepas mesyuarat malam.

“Doktor marah makan malam...”

“Doktor pun makan juga...” sampuk seorang lagi rakan.

Kemudian kami sama-sama ketawa sambil menikmati juadah lewat malam. Biasanya makanan kegemaran adalah sup tulang, sup belut, telur dadar, kailan ikan masin dan lamb chop.

Pakar pemakanan Adele Davis pernah mengeluarkan satu nasihat popular “eat breakfast like a king, lunch like a prince and dinner like a pauper.” Bermaksud: Sarapan pagi (saiznya) seperti raja, makan tengahari seperti permaisuri dan makan malam seperti si miskin.

Mungkin nasihat ini juga memberi gambaran kepada kita bahawa makan malam itu perlu sedikit jumlahnya, hidangan di awal pagi bersaiz besar kerana tumpuan tenaga untuk digunakan sepanjang hari bekerja. Tetapi bilakah waktu sesuai makan malam si miskin itu? Awal malam atau lewat malam?

Sempat saya membaca beberapa tulisan jurnal berkaitan kesan makan lewat malam ini.

Jurnal Obesity membuat satu laporan kajian ke atas tikus perbandingan antara pengambilan kalori harian berlebihan atau makan berlebihan di waktu malam yang memberi impak kepada kenaikan berat badan.

Para pengkaji dari Universiti Northwestern itu mendapati makan malam berlebihan penyebab dua kali ganda kegemukan walaupun jumlah kalori seharian sama. Kajian sama tidak diteruskan ke atas manusia kerana tidak kena dari sudut etika. Manusia mana sanggup jadi subjek kajian menjadi gemuk? Umum mengetahui bahawa gemuk itu berisiko apa sahaja penyakit ditambah lagi dengan kehidupan sedentari.

Majoriti pakar pemakanan menggunakan konsep keluar masuk kalori bagi menentukan pengurusan berat badan. Julat normal kalori bagi lelaki adalah sekitar 1,800-2,000 kcal, manakala wanita 1,500-1,800 kcal.

Bagi individu yang berpenyakit seperti kencing manis disarankan hanya 1,300 kcal sahaja. Jika kalori yang kita makan seharian tidak digunakan untuk tenaga pergerakan seoptimum mungkin, lebihan kalori tadi akan disimpan dalam bentuk lemak. Penyimpanan ini berlaku di perut, paha, pinggul dan bahu.

Oleh yang demikian, kita akan semakin gemuk. Justeru pengawalan pengambilan kalori makanan ini perlu diambil perhatian khusus. Tambahan pula kajian di atas tadi mengaitkan makan lewat malam penyebab kegemukan.

Mungkin antara alasan berlaku demikian kerana kalori yang besar diambil lewat malam itu tidak dibakar sebagai tenaga. Maklumlah lepas makan lewat malam, terus balik tidur. Proses penyimpanan lemak dan kolesterol berlaku pada waktu tidur.

Dicadangkan waktu makan malam lebih awal seboleh-bolehnya tiga hingga empat jam sebelum waktu tidur. Kaedah ini memberi kerehatan kepada perut untuk memproses makanan berat yang diambil terutamanya bagi pesakit yang sukar menghadam atau gastitis.

Persatuan Jantung Amerika juga menyokong waktu makan malam diawalkan. Walaupun kajian tidak konklusif mengaitkan makan lewat malam punca penyakit kardiovaskular, tetapi masa makan ini penting bagi mengelakkan kemungkinan risiko yang lebih teruk berlaku.

Andai kata kita mahu makan lewat malam, rancang awal pada hari tersebut supaya jumlah kalori tidak melebihi yang disarankan. – HARAKAHDAILY 26/12/2018