Konflik: Antara tugas dan jualan MLM

Gaya Hidup
Typography

SAYA pernah sewaktu awal karier kedoktoran dahulu terlibat dalam jualan MLM. Sempat bertahan lima bulan sahaja kerana merasakan konflik kepentingan. Pada waktu itu saya bekerja di jabatan surgeri (pembedahan).

Saya mengaku, semasa konsultasi bersama pesakit, saya agak bias untuk menawarkan produk pemakanan kesihatan MLM yang saya ceburi. Tetapi saya tidak berjaya meraih keuntungan kerana pemikiran saya sendiri berkecamuk antara laba untung dengan evidence based medicine (EBM).

Produk MLM tersebut hanya berdiri atas testimoni. Kekadang sengaja direka-reka untuk memberi keyakinan kepada pesakit supaya terus melabur dalam pembelian produk.

Saya menyesal! Terus berhenti tanpa beritahu alasan kepada 'upliner'. Harap mereka faham apa gejolak yang bermain dalam jiwa saya.

Kini, saya lihat segelintir doktor yang terjebak dalam lorong yang pernah saya lalui dahulu. Menyedihkan juga adalah kawan-kawan yang pernah saya bekerja bersama.

Saya segan untuk menegur mereka atas rasa hormat ilmu yang mereka sendiri berikan berkaitan dengan EBM sehinggakan saya bergelar pakar. Akan tetapi saya runsing tenaga mereka hanya digunakan oleh upliner tertentu untuk melariskan jualan produk.

Apa harus saya lakukan. Tolong nasihati saya. – HARAKAHDAILY 6/9/2018