Rawatlah kencing manis anda

Gaya Hidup
Typography

SAHABAT bertanya, adakah benar kenyataan seperti berikut: kombinasi sayur-sayuran dan buah-buahan boleh menjadi alternatif menggantikan ubat. Kami di bidang perubatan senantiasa dilatih agar mendapatkan sumber sahih sesuatu berita yang meragukan seperti itu.

Ini kerana ianya tidak disandarkan kepada mana-mana sumber yang autentik. Ia mungkin pengalaman pihak tertentu yang tidak boleh digeneralisasikan kepada umum.

Sebagaimana yang kita ketahui bersama bahawa kencing manis adalah satu penyakit yang kronik. Buat ketika ini tiada satu pun ubat yang menyembuhkan kencing manis sepenuhnya.

Segala ubatan yang diberikan di premis perubatan moden adalah bertindak sebagai pengawal kepada kandungan gula dalam darah agar tidak meningkat.

Ubat kencing manis atau insulin hanya boleh mengawal supaya gula tidak naik. Tiada ubat setakat ini boleh menyembuhkan kencing manis. Mungkin hasil teknologi dan kepesatan perubatan pada masa depan dijumpai ubat untuk menyembuhkan kencing manis.

Peranan ubat tersebut boleh berlaku dalam pelbagai mekanisma:

1) Jenis cucuk Insulin: Ianya bertindak secara terus menggantikan insulin semula jadi yang sudah tiada dalam badan. Bagi individu normal, insulin akan dirembeskan oleh kelenjar pankreas. Kelenjar ini bertindak sebagai kilang pengeluaran insulin. Apabila paras gula dalam badan meningkat, pankreas akan merembeskan insulin bagi tindak balas untuk mengurangkan gula. Justeru insulin luaran yang dicucuk akan mengambil fungsi yang sama dengan insulin yang dirembeskan oleh pankreas. Terdapat sebaran dari pihak yang tidak bertanggungjawab menuduh insulin yang berada dalam pasaran negara kita adalah daripada khinzir. Suka saya tegaskan di sini bahawa insulin adalah bebas daripada sumber khinzir. Kaedah pembuatan secara teknologi kini sudah tidak melibatkan penggunaan unsur khinzir dalam pemprosesannya.

2. Tablet Metformin/gliclazide: Meningkatkan rembesan glukokortikoid, sejenis hormon alternatif bagi insulin untuk mengurangkan paras gula. Ubat metformin ini adalah paling banyak digunakan oleh seluruh doktor yang merawat pesakit kencing manis. Ia adalah ubat utama yang digunakan kerana berbentuk biji dan sesuai kepada semua peringkat manusia.

3. Tablet Acarbose: Menghalang serapan gula dalam salur usus. Mekanisma ubatan jenis ini sesuai kepada individu pesakit yang tertentu sahaja.

4. Tablet DP4 inhibitor: Merencat pencernaan glukosa dalam darah melalui tindakan hormon. Ubat terbaharu jenis ini adalah hasil daripada kajian dan perkembangan teknologi.

Terdapat dalam kalangan pesakit saya yang mempersoalkan kenapa para doktor tidak mengkaji makanan untuk menggantikan ubat-ubatan. Kita lupa sebenarnya perubatan moden ini juga adalah hasil kajian daripada herba serta unsur semula jadi yang berada di sekeliling kita.

Ubat Metformin yang saya sebutkan di atas tadi, adalah asalnya daripada sejenis tumbuhan bernama Galega Officinalis. Setelah mendapati orang zaman dahulu mengambil tumbuhan ini bagi mengubati penyakit kencing manis mereka, maka para doktor terus melakukan kajian dan mengekstrak bahan aktif yang terdapat dalam tumbuhan tersebut untuk dijadikan pil.

Lebih daripada 52 peratus ubat-ubatan dalam senarai ubatan perubatan moden di dunia adalah berasal daripada herba. Kajian yang mengikut kaedah dilakukan terhadap tumbuh-tumbuhan tersebut, akhirnya terbentuk ubat yang dijenamakan sebagai ubat moden.

Bagaimana pula dengan pesakit yang hanya ingin mengawal makanan sahaja untuk menyembuhkan kencing manis? Ya, makanan berzat dan baik boleh membantu mengurangkan kandungan gula dalam darah. Tetapi ianya bukan kaedah yang khusus. Pengawalan makanan ini juga senantiasa dinasihatkan oleh doktor setiap kali sesi rawatan di klinik.

Mungkin sesetengah orang yang mampu menggunakan kaedah paling ekstrem pemakanan iaitu dengan menghadkan mengambil makan sebanyak 600 kcal sehari. Memang paras gula akan berkurangan tanpa mangambil ubat hospital. Tetapi ingat! Tahu tak anda berapa saiz makanan seumpama 600 kcal itu? Anggarannya sebanyak dua keping roti canai sehari. Boleh tahan tak kita makan roti canai sepanjang hidup sebanyak dua keping sehari?

Pesakit kencing manis dalam negara setakat ini seramai 4.38 juta orang, adakah mereka semua setuju untuk amalkan diet yang ketat? Memang terlalu sukar. Mereka yang menjaga pemakanan ekstrem ini boleh mengawal gula tetapi tidak boleh menyembuhkan kencing manis sepenuhnya. Malah kajian terbaharu melarang pemakanan yang ekstrem kerana mudarat lain pula akan timbul.

Bagaimana pula dengan pemakanan sunnah? Tidak nafi bahawa makanan sunnah (jika terma itu boleh digunapakai) mempunyai khasiat tertentu seperti antioksida dan sebagainya. Tetapi sehingga kini tiada lagi bukti pemakanan sunnah itu secara spesifik bertindak sepertimana ubatan yang saya sebutkan di atas. Pemakanan yang halal serta baik itu boleh membantu secara umum dan doktor sendiri mengesyorkan. Namun ianya bukan gantian kepada ubatan yang sedia ada.

Ada sesetengah pihak yang mendakwa jus sunah mereka boleh menyembuhkan kencing manis dengan beberapa testimoni tertentu. Saya pernah mengesyorkan kepada mereka yang membuat dakwaan itu agar buat kumpulan data.

Senang sahaja. Hasil dari jualan yang mereka buat itu, kumpulkan 100 orang contohnya yang diberi jus dan buat kiraan statistik ringkas. Berapa peratus yang berjaya menurunkan kandungan gula dalam tempoh tertentu. Kaedah kajian ini agak terkeluar dari etika kajian saintifik, tetapi setidak-tidaknya kita mempunyai data sokongan yang boleh mendakwa bahawa jus tersebut berkesan, berkualiti dan tiada kesan sampingan (selamat).

Perlu diingat rawatan kencing manis ini bukan setakat paras gula semata-mata, tetapi beberapa indikator lain yang perlu diambil seperti paras HBA1c, paras kolesterol, tekanan darah dan pengesanan komplikasi sama ada serangan jantung, buah pinggang, saraf dan banyak lagi. Tidak semudah kita melihat satu bacaan gula cantik di pagi hari, terus mendakwa bahawa kencing manis sudah sembuh.

Kencing manis adalah penyakit yang progresif. Keseriusan dan keterukan akan berkadar dengan masa. Semakin lama kencing manis, penurunan fungsi badan juga akan berkurangan. Lambat laun komplikasi akan menjengah jua. Sama ada cepat atau lambat, itu bergantung kepada kawalan paras gula kita setiap jam. – HARAKAHDAILY 19/8/2018