Hospital di Makkah sepi?

Gaya Hidup
Typography

REKAAN cerita dari penulis yang tidak diketahui sumber asal menjadi isu viral sehari dua ini. Tulisan itu mengambil "testimoni" sebuah klinik yang sepi kerana hebatnya penduduk di Makkah beramal dengan sunnah. Tajuk artikel itu menjadi tandatanya. Dengan meletakkan tajuk besar "DI MAKKAH HOSPITALNYA SEPI, BERBEZA DGN DI MALAYSIA. YANG MEMBEZAKAN ADALAH AQIDAH DAN SYARIATNYA.", seolah-olah negara kita jatuh sesat kerana berlainan "aqidah" dan "syariat". (Foto hiasan (atas): King Abdullah Medical City - Makkah)

Mungkin benar pengalaman yang diambil dari sebuah klinik tersebut, yang tidak dikenal pasti lokasinya sama ada strategik atau tidak. Kesepian klinik biasa berlaku bagi doktor yang tidak masyhur dan kedudukan klinik jauh dari kawasan tumpu. Saya pernah bertugas di klinik swasta sekitar Gong Badak pada 2002-2003 lalu. Kliniknya juga sepi, akhir nya klinik itu mati tanpa nesan. Adakah penduduk Gong Badak beramal dengan sunnah?

drsuhazeliSaya merasakan "testimoni" klinik sepi itu tidak manis untuk dipadukan dengan penjagaan kesihatan termasuk mengamalkan sunnah. Sudah tentu pengamalan sunnah yang dianjurkan itu mempunyai hikmah tersendiri tanpa merujuk kepada status kesihatan penduduk setempat. Amalan sunnah yang disarankan itu baik bagi penjagaan hidup sihat secara umum. Akan tetapi penyakit-penyakit yang melanda dewasa kini memerlukan pengamatan, pemeriksaan dan rawatan spesifik dari orang yang ahli seperti doktor perubatan. Dalam masa yang sama saya tidak nafikan bahawa cara hidup sihat seperti menjaga pemakanan (termasuk makanan sunnah), kurangkan berat badan, elakkan tekanan hidup (teknik solat dan bacaan quran salah satu terapi) boleh membantu-pulih lagi kesihatan manusia.

Saya pernah berkhidmat dengan rombongan perubatan Tabung Haji di dua Tanah Suci, menyaksikan kejadian penyakit di sana kurang lebih sama dengan negara kita. Hospital-hospital di sana senantiasa penuh dengan pesakit tempatan dan jemaah haji luar negara. Boleh kita buat rujukan sendiri dalam data Kementerian Kesihatan Arab Saudi, jumlah morbiditi (sakit akibat penyakit) dan mortaliti (kematian) tinggi saban tahun.[1] Sama jumlahnya dengan negara setara membangun lain seluruh dunia.

Sistem perubatan dan kesihatan di Jazirah Tanah Arab itu pun canggih. Mereka menggunakan teknologi terkini dalam perawatan pesakit. Ubat-ubatan juga adalah diimport dari negara-negara pengeluar yang mempunyai bukti keberkesanannya. Andainya ulama mereka rigid dengan meneruskan dakwaan hanya perubatan "sunnah" sahaja yang wajib diterima, sudah barang tentu mereka tidak menggunakan kaedah perubatan moden. Akan tetapi konsep perubatan yang dipegang oleh mereka amat signifikan, mana-mana kaedah perubatan yang mendatangkan manfaat kepada manusia dari sudut berkesan, berkualiti (evidence based medicine), mereka akan mengambilnya. Negara mereka juga bertungkus-lumus lumus memastikan kesihatan rakyat terjamin.

Saya amat teruja apabila melihat liputan vaksinasi negara mereka. Liputannya melebihi 98%. Ini sesuatu yang amat membuka mata kita semua. Di saat ramai penentang vaksin dalam negara kita melaungkan hak dan menuduh vaksin tidak halal, tetapi Arab Saudi sendiri lebih hebat liputan vaksinasi. Malah pemberian vaksin rotavirus (diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia 2008) diharuskan oleh ulama mereka sejak Januari 2013.[2]

Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga

Rujukan
[1] Mortality and Morbidity Saudi Arabia. https://www.quandl.com/…/saudi-arabia/saudi-arabia-mortalit…
[2] Asas vaksinasi Arab Saudi. http://www.moh.gov.sa/…/Educ…/HealthTips/Pages/Tips-005.aspx