Ubat herba dan rawatan kanser

Gaya Hidup
Typography

KESENGSARAAN dan kesakitan pesakit kanser akibat kanser itu sendiri atau kesan sampingan rawatan boleh mendesak mereka untuk mengambil apa sahaja bahan untuk mengurangkan kepedihan hidup. Walaupun rawatan susulan secara paliatif (rawatan untuk kurangkan sakit fizikal dan mental) ditawarkan kepada mangsa kanser, namun mereka tidak mengikuti program sepenuhnya. Ramai juga antara mereka yang cuba mencari jalan alternatif bagi mengurangkan kesakitan termasuk suplimen dan herba. Janji manis dari para penjual produk amat mengujakan sehingga para pesakit sanggup bergadai ribuan ringgit.

Adakah selamat mencampurkan dua rawatan (kimoterapi dan herba) dalam satu masa? Persoalan itu selalu ditanya oleh pesakit.

drsuhazeli2Artikel ini saya petik dari Institut Kanser Kebangsaan Amerika yang telah membuat kajian kepada hubung kait penggunaan rawatan alternatif dan rawatan kanser.

Mereka dapati ramai di kalangan pesakit yang mengambil suplimen kesihatan secara sembunyi, tanpa mendapat khidmat nasihat doktor yang merawat mereka. Mereka beralasan, rawatan tersebut juga di war-warkan sebagai antikanser. Anggapan mereka, rawatan alternatif seperti vitamin tertentu, ramuan herba dan seumpamanya adalah semula jadi (natural, tanpa bahan kimia), maka tidak perlu mendapat nasihat lanjut dari pakar yang merawat. Sedangkan mereka tidak sedar bahawa bahan tersebut juga terdiri dari kimia aktif secara biologi dan boleh memberikan interaksi negatif ke atas ubatan moden.

Tambahan pula, herba berkenaan juga telah dibuktikan secara kajian mempunyai kesan yang bahaya kepada pesakit sama ada kesan secara langsung ataupun tindak balas kimia ke atas kimoterapi dan radioterapi. Mungkin juga berpotensi membawa maut.

Ubatan herba, vitamin, mineral yang digunakan boleh menyebabkan ubat kimoterapi kurang berkesan kerana perebutan semasa penyerapan dan gangguan enzim yang berkaitan. Ianya juga boleh menyebabkan interaksi kimoterapi berlebihan apabila ubatan herba tadi mengganggu proses perkumuhan. Jika kimoterapi tidak dikumuh melalui buah pinggang dalam satu tempoh tertentu, ia akan menyebab berlaku dos kimoterapi yang tinggi mengalir dalam darah (overdose). Kesan dos tinggi ini akan menambahkan lagi kesengsaraan pesakit.

Kebanyakan herba mempunyai khasiat antioksida. Ianya boleh dimakan oleh manusia normal yang belum berpenyakit bagi menghalang pembebasan radikal bebas. Di mana, radikal bebas inilah boleh mencetus kerosakan sel badan sehingga berisiko terjadinya penyakit termasuk kanser. Tetapi perlu diingat, antioksida bukan anti kanser.

Terdapat kimoterapi dan radioterapi, melalui teknologi yang dibangunkan akan membebaskan radikal bebas bagi membunuh sel kanser. Tetapi dengan kehadiran antioksidan dari produk kesihatan, ianya mengganggu proses perawatan yang dijalankan oleh kimoterapi dan radioterapi. Justeru penggunaan herba amat tidak digalakkan kerana ianya akan menghalang sel tumor terus hancur dan seterusnya memendekkan jangka hayat pesakit.

Walau bagaiamanapun, kajian lanjut sedang dijalankan bagi menjadikan ramuan herba mempunyai interaksi positif ke atas ubatan moden. Buat masa ini masih belum tercapai. Tunggulah hasil kajian terperinci pada satu masa nanti.

Sekian ulasan dari suhazeli.com
Fb.Com/drsuhazeli
20.1.2018
Temerloh

Pautan
https://www.cancer.gov/about-cancer/treatment/research/dietary-supplements