Konspirasi vaksin pembunuh

Gaya Hidup
Typography

KITA mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan dua orang sukarelawan kesihatan yang menjadi petugas pemberian vaksin di Pakistan.[1] Pembunuhan terbaharu ini adalah salah satu siri pembunuhan akibat doktrinasi dan teori konspirasi yang diterap di kalangan masyarakat sana. Mereka menuduh pemberian vaksin itu sebagai agenda barat, Freemason dan kejahatan zionis dalam menghapuskan musuh mereka.

Pakistan adalah salah satu dari tiga buah negara (negara lain adalah Afghanistan dan Nigeria) di dunia yang masih belum terhapus wabak polio. Walaupun jumlah wabak polio menurun hasil liputan vaksinasi yang melebihi 90%, tetapi wabak polio tetap menjadi mimpi ngeri setiap rakyatnya. Kes positif polio sejak 2014 mendapati tren yang menurun. Di mana, 306 kes tahun 2014, 54 kes tahun 2015, 20 kes tahun 2016 dan hanya 2 kes tahun 2017.[2] Namun liputan terhadap 37 juta kanak-kanak seluruh Pakistan masih belum memuaskan terutama beberapa wilayah bergolak seperti pesisir Khyber-Peshawar, Karachi dan Blok Quetta. Lokaliti berkenaan masih lagi rendah liputan vaksin. Ini kerana wilayah tersebut masih bergolak dengan perang dan dikuasai oleh Taliban. Penolakan vaksin di wilayah tersebut mencecah ratusan ribu. Sekarang-kurangnya 100,000 kanak-kanak masih dinafikan hak untuk diberi vaksin. Keengganan ibu bapa mereka memberikan vaksin tersebut berpunca dari kefahaman konspirasi yang mula diterap oleh segolongan dari mereka bahawa vaksin itu pembunuh.

Sejak 2012 hingga kini lebih dari 70 pekerja kesihatan dibunuh akibat percaya kepada teori konspirasi ini.[3] Kejadian seperti ini memalukan dan memandulkan pemikiran umat Islam. Usaha semua pihak perlu bagi menghalang kefahaman ini terus berakar umbi. Kefahaman ini juga telah mula merebak ke beberapa negara umat Islam termasuk Malaysia dan Indonesia. Amat menyedihkan lagi, usaha doktrinasi teori konspirasi ini dipelopori oleh penceramah agama. Sedangkan ulama muktabar, para mufti telah pun menjelaskan secara tuntas kepentingan vaksinasi ini.

Hasil dari peristiwa pembunuhan yang melibatkan tujuh petugas kesihatan di sempadan Pakistan 2012, Federation of Islamic Medical Association (FIMA) telah membuat satu deklarasi khas. Gabungan persatuan perubatan Islam sedunia ini menegaskan:[4]

1) Semua agama dan pemimpin-pemimpin masyarakat Islam untuk memberikan mesej yang padu, sokongan untuk aktiviti pembasmian polio dan keperluan untuk memastikan semua kanak-kanak yang menerima sepenuhnya terhadap vaksin polio dan semua penyakit yang boleh dicegah (melalui vaksinasi) yang lain;

2) Semua lapisan masyarakat termasuk ahli politik, agama dan orang awam di negara-negara Islam untuk mengatasi apa-apa budaya, agama, politik dan keselamatan yang masih menghalang semua anak-anak daripada dicapai dan diimunisasi terhadap polio dan semua penyakit yang boleh dicegah yang lain;

3) Semua ahli politik, agamawan dan pemimpin masyarakat untuk memastikan keselamatan (safety) dan jaminan keselamatan (security) pekerja kesihatan barisan hadapan, untuk membolehkan mereka melaksanakan tugas-tugas hakiki mereka;

4) Semua kerajaan di negara-negara Islam perlu mengutamakan dan menggerakkan sumber kewangan yang diperlukan untuk membolehkan pelaksanaan sepenuhnya semua strategi pembasmian polio;

5) Semua gabungan FIMA di negara masing-masing untuk menjadi rakan kongsi aktif Inisiatif Pembasmian Polio Global ini, menyediakan kepimpinan ke arah mewujudkan dunia yang bebas daripada polio bagi semua anak-anak kita.

Semoga dengan tercetusnya pembunuhan ibu dan anak di Pakistan ini tidak menjadi wabak baru dalam masyarakat dunia- doktrin konspirasi. Semoga pihak berwajib dan individu berpengaruh dalam masyarakat juga membuka mata agar “virus” doktrin konspirasi ini tidak menular.

Sekian ulasan dari suhazeli.com
Fb.Com/drsuhazeli
19.1.2018
Kuala Berang

Pautan
[1] 2 lagi Petugas Kesihatan Di bunuh. https://www.nst.com.my/world/2018/01/326512/mother-daughter-polio-team-shot-dead-pakistan-police
[2] Program pembasmian Polio. http://www.endpolio.com.pk/polioin-pakistan
[3] Cabaran vaksinasi di Pakistan. https://reliefweb.int/report/pakistan/challenges-polio-vaccination
[4] FIMA Declaration. http://fimaweb.net/cms/index.php/template-articles/messages/37-news-a-announcements/fima-news/349-cairo-declaration-for-polio-eradication-