Guru patut awasi murid ‘bergura bewok’

Gaya Hidup
Typography

BERGURAU keterlaluan mengundang banyak bahaya. Jika berada di tempat tinggi, tolak menolak sambil bergurau boleh menyebabkan jatuh. Risiko cedera dan maut adalah tinggi. Begitu juga main acah-acah pensil ke muka kawan, boleh tertusuk ke dalam mata atau hidung. Tarik kerusi kawan di depan juga salah satu bergurau yang melampau. Bahasa paling mudah orang Pantai Timur sebut ‘bergura bewok’. Sememangnya ‘bergura bewok’ ini patut diawasi oleh pihak guru, sama ada membuat teguran kepada anak-anak murid atau mengenakan amaran denda. Implikasi bergurau cara ini boleh mendatangkan kecederaan.

dr suhazeliPagi tadi saya menerima satu mesej wasap yang menyatakan peristiwa ‘bergura bewok’ ini berlaku di salah satu sekolah sekitar Kuala Lumpur. Kononnya pelajar berkenaan jatuh akibat kerusinya ditarik oleh rakan. Akhirnya beliau jatuh atas tulang ekor sehingga mengakibatkan beliau lumpuh, tidak bercakap serta merana hidup. Setelah saya selidiki, mesej berkenaan telah tular beberapa tahun lalu. Malah kejadian seumpamanya itu tidak berlaku pun di sekolah berkenaan. Walaupun benar bergura bewok tarik kerusi ini boleh membahayakan tetapi tidak sampai teruk kecederaan itu sehingga lumpuh dan tidak boleh bercakap.

Mungkin orang ramai percaya berita sedemikian, tetapi bagi saya di bidang perubatan ini, merasakan berita itu cuba direka-reka. Beberapa pernyataan dalam mesej wasap itu tidak kena dengan ilmu perubatan:

1) Tulang ekor tiada saraf yang keluar melaluinya. Jika ianya patah, badan tidak akan lumpuh. Mangsa hanya akan rasa sakit.

2) Pun begitu terlalu amat jarang kes berlaku jatuh atas punggung atau kena tulang ekor menyebabkan lumpuh. Malah tak pernah dijumpai ke sedemikian, kecuali tulang ekor itu lari dari tapak asal dan tekan saraf yang berhampiran keluar. Ataupun mangsa patah tulang belakang, patah tulang belakang lumbar atau sacral boleh menyebabkan lumpuh separuh badan jika tidak dirawat dengan segera. Itupun jika mangsa jatuh dari tempat yang tinggi. Jika 50 cm tinggi, sukar juga berlaku patah atas kanak-kanak.

3) Jika tulang belakang patah, percakapan tidak sepatutnya terlibat. Sebab percakapan melibatkan saraf otak. Saraf bahagian pinggul tidak ada kena mengena dengan saraf percakapan.

4) Jika tulang belakang patah, lumpuhnya adalah separuh badan. Dari pusat ke bawah. Bukannya seluruh badan lumpuh.

Walaupun begitu, bergurau terlampau tarik kerusi boleh mendatangkan bahaya. Amaran perlu diberikan kepada anak murid sekolah. Jangan buat begitu. Jika jatuh boleh menyebabkan sakit atau terhantuk kepala ke bucu meja.

Sekian coretan petang dari suhazeli.com
Fb.Com/drsuhazeli
18.1.2018
Kuala Berang – HARAKAHDAILY 18/1/2018

bewok1

bewok2