Jadilah pejuang yang berani

Gaya Hidup
Typography

MEDAN perjuangan Islam ini terlalu mencabar. Tribulasinya tidak sedikit. Halangannya getir, risikonya tinggi.

Justeru, pejuang Islam mesti berani. Ia menjadi sifat wajib bagi seorang pejuang. Itulah sifat orang yang beriman terutama detik berdepan dengan pakatan musuh di medan perjuangan.

Firman Allah SWT:

وَلَمَّا رَأَى الْمُؤْمِنُونَ الْأَحْزَابَ قَالُوا هَٰذَا مَا وَعَدَنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَصَدَقَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَمَا زَادَهُمْ إِلَّا إِيمَانًا وَتَسْلِيمًا

Tatkala orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka:" Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan telah benarlah janji Allah dan RasulNya", dan tidaklah bertambah (rasa takut/bimbang) kepada mereka melainkan bertambah iman dan penyerahan diri kepada Allah.

Surah Al Ahzaab : Ayat 22

• Berani Menghadapi Musuh

Pejuang Islam tidak akan mengalah. Tidak akan undur kebelakang meninggalkan perjuangan walau setapak. Mereka tidak akan pernah rela perjuangan ini dibeli dengan mata dunia biar berjuta nilainya.

Asal saja untuk menegakkan Islam ! Sang pejuang sedia mencagarkan seluruh kepentingan hidup dan mengorbankannya demi Islam. Mereka senantiasa siap mendepani siapa jua yang memusuhi Islam biarpun sebesar mana pakatan mereka.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً فَاثْبُتُوا وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Wahai orang yang beriman! Apabila kamu berdepan dengan pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan ingatlah Allah (dengan doa) banyak-banyak, semoga kamu mencapai kemenangan.

Surah Al Anfaal : 45

• Berani Bersama Jamaah Islam

Perjuangan Islam sering berdepan dengan fitnah musuh. Memang perit bersama jamaah ini. Tapi kita tahu bahawa jamaah ini adalah salah satu wadah atau platform untuk memperjuangkan Islam di bumi bertuah ini.

Kita kena berani untuk istiqamah bersama jamaah yang memperjuangkan Islam. Musuh melemparkan fitnah dan berusaha 1001 tipudaya adalah untuk melemahkan kita dan akhirnya bermaksud supaya kita meninggalkan jamaah ini.

Sejujurnya, musuh panasaran apabila kita istiqamah dengan perjuangan Islam. Mereka akan “mengamuk” jika kita tidak hiraukan propaganda mereka. Lantaran itu, beranilah menghadapi  “ugutan” dan aneka provokasi musuh. Ia akan membuat musuh “demam kepialu” dan payah kebah.

• Berani Berubah Sikap

Sudah tentu perjuangan suci dan mulia  ini digerakkan secara  strategik dan sistematika rencana yang teliti. Senantiasa menilai suasana dan mengkaji keberkesanan pendekatan. Maka, jamaah yang cemerlang ialah bijak menyesuaikan pendekatan dengan realiti semasa.

Namun pejuang kena berani berubah sikap. Kita faham, tidak mudah untuk keluar dari “kebiasaan lama” meskipun mereka tahu, “bahawa untuk mencapai hasil dan keputusan yang berbeza maka perlu kepada pendekatan dan cara yang berbeza.”

Namun tiada pilihan. Demi mencipta keputusan berbeza dari sebelumnya dan mengharapkan kejayaan yang lebih gemilang, pejuang kena berani berubah ! Jangan degil dengan sikap lama dan jangan ego dengan pendirian peribadi. Kita berjuang secara jamaei.

Selama mana pendekatan dan tindakan itu berpaksikan prinsip Islam dan keputusan syura jamaah, maka pejuang mesti berani untuk berubah sikap dan berani mematuhi keputusan jamaei yang diputuskan. Ini adalah akhlak pejuang sementara pejuang yang berani pula mesti berakhlak.

Qudwah (tauladan) pejuang Islam ialah Rasulullah SAW. Ternyata Baginda SAW adalah pemberani.

Anas ibn Malik Rha pernah menyifatkan keperibadian Nabi saw dengan katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْسَنَ النَّاسِ وَأَشْجَعَ النَّاسِ وَأَجْوَدَ النَّاسِ وَلَقَدْ فَزِعَ أَهْلُ الْمَدِينَةِ فَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَبَقَهُمْ عَلَى فَرَسٍ وَقَالَ وَجَدْنَاهُ بَحْرًا

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam adalah orang yang paling baik, paling berani dan paling dermawan. Sungguh pernah terjadi gempa bumi menimpa penduduk Madinah dan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam orang yang mendahului mereka (mencari sumber gempa) dengan menunggang kuda kemudian berkata: "Kami temui (gempa itu) hanyalah lautan".

Riwayat Imam Bukhari dan Muslim. – HARAKAHDAILY 16/1/2018