Isu Pengangguran: Cadangan PAS (03)

Gaya Hidup
Typography

LONTARAN PRESIDEN PAS

Dalam membahaskan isu pengangguran, sekurang-kurangnya tiga konsep utama telah dilontarkan oleh  Tuan Guru Presiden dalam artikel beliau yang bertajuk Peluang Pekerjaan Atasi Pengangguran. Antara perkara yang ditekankan adalah;

a)Kefahaman rakyat dan juga pimpinan terhadap konsep pendapatan melalui pembahagian rezeki menurut Islam

b)Pembahagian kerja yang wajib disaksamakan

c)Melaksanakan keperluan yang wajib dimajukan tanpa melampau.

KEPERLUAN YANG WAJIB DIMAJUKAN

Dalam konteks isu pengangguran, isu pokoknya adalah masalah kekurangan peluang pekerjaan.

Selain daripada terlalu fokus kepada kegawatan ekonomi dan revolusi industri, apa yang perlu dilihat adalah adakah segala keperluan rakyat dari sudut survival seperti penyediaan makanan asasi pakaian, kenderaan dan sebagainya telah dikembangkan sebagai peluang pekerjaan kepada mereka?

Saban tahun isu kekurangan sumber makanan berlaku, ini bermakna permintaan begitu banyak lebih dari pengeluaran. Persoalannya mengapa masih lagi tiada peluang pekerjaan? Adakah rakyat tidak mahu bekerja atau ruang belum benar-benar dikembangkan?

Perkara ini sepatutnya membuat kita berfikir semula tentang acuan dan orientasi pendidikan hari ini, adakah pendidikan hari ini menghasilkan tenaga mengikut keperluan industri dan pelabur atau mengikut bidang dan aspek yang diperlukan oleh rakyat?

Dalam data yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi tahun 2016, jumlah pelajar Kursus Kejuruteraan, Pembuatan dan Pembinaan di Universiti Awam adalah seramai 121,354 orang berbanding pelajar Kursus Pertanian dan Veterinar hanya 12,639 orang.

Jumlah graduan jurutera jauh meninggalkan graduan pertanian, mereka ini dilahirkan untuk memenuhi kehendak pemain industri atau keperluan sektor-sektor penting?

Tidak dinafikan, para pemain industri banyak menghasilkan peluang pekerjaan kepada rakyat, namun kebergantungan kepada industri semata-mata tanpa perkiraaan yang tepat dan tanpa pemfokusan pada sektor-sektor penting, menjurus kepada krisis dan ketidak seimbangan yang berlaku hari ini.

Hakikatnya pelabur-pelabur ini tidak mampu memberi peluang pekerjaan yang cukup. Akhirnya, graduan menganggur ramai, dalam keadaan keperluan asasi rakyat masih lagi belum mencukupi.

Inilah yang dimaskudkan dengan penghasilan peluang pekerjaan berorentasikan keperluan rakyat. Secara asasinya manusia akan memerlukan beberapa perkara asas bagi kesejahteraan hidup.

Kerajaan juga memerlukan “rezeki” bagi mentadbir rakyat dengan mengambil manfaat daripada hasil bumi. Justeru atas keperluan inilah dikembangkan ilmu dan bakat manusia bagi memenuhi keperluan-keperluan ini.

Antara langkah awal yang boleh diambil adalah dengan pelaksanaan kajian stratergik terhadap keperluan rakyat yang boleh dikembangkan sebagai peluang pekerjaan buat rakyat.

Dari sini pendidikan perlu diarah bagi memenuhi keperluan ini dengan suntikan motivasi bagi mencebur bidang-bidang seperti ini.

Doktrin "mesti aliran sains" mesti dihapuskan, dan penerapan minat pelajar pada "kerja kampung" perlu dipertingkatkan untuk memaju industri asasi.

Selain itu, pemusatan biasiswa dan geran kajian juga boleh difokuskan kepada aspek-aspek keperluan rakyat dalam mengembangkan industri yang tidak akan mati dek keperluan rakyat terhadapnya. – HARAKAHDAILY 14/1/2018