Kesian baca komen mengenai vaksin tifoid

Gaya Hidup
Typography

SAYA sungguh kesian baca satu perbualan komen laman sosial facebook mengenai suntikan vaksin Tifoid. Punca saya kesian kerana soalan yang dikemukakan itu jujur, tetapi respons komen yang diberikan pula tidak betul, malah terdapat unsur menghasut. Inilah beberapa contoh keburukan menggunakan laman sosial dan terjebak dalam kumpulan orang-orang yang negatif. Mereka cuba berlagak pandai, tetapi boleh merosakkan masyarakat yang ingin tahu. Mereka sebenarnya anti kepada perubatan moden, anti vaksin dan anti hospital. Pemikiran sudah didoktrinkan sedemikian. Malah mereka juga bukan mahir dalam sesuatu persoalan yang dikemukakan.

Vaksin untuk para pengendali makanan adalah Thypim (suntikan) atau Vivotif (pil). Vaksin ini bertujuan mencegah jangkitan kuman kepialu (Salmonella Thypi). Vaksin ini sama ada kaedah suntikan atau pil, bebas dari DNA kinzir. Ianya selamat digunakan. Kapsul gelatin bagi vaksin pil Vivotif itu bersumberkan dari lembu bukannya babi.

Pemberian vaksin ini tertakluk kepada akta makanan dan akta penyakit berjangkit. Semua pengendali makanan di Malaysia wajib patuh kepada Akta Makanan 1983 (Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009) dan Akta Kawalan Penyakit 1988:[1] Akta ini memperuntukkan kepada setiap pengendali makanan di semua premis yang melibatkan orang awam menjalani pemeriksaan kesihatan serta suntikan wajib vaksin.

Klausa 31 menyebut;
(1) Semua pengendali makanan hendaklah diperiksa dari segi kesihatan dan diberi vaksin oleh pengamal perubatan berdaftar.
(2) Mana-mana pengendali makanan yang menghidap, atau merupakan pembawa penyakit bawaan makanan atau yang disyaki menghidap, atau merupakan pembawa penyakit bawaan makanan hendaklah—
(a) tidak dibenarkan untuk memasuki premis makanan atau mengendalikan makanan;
(b) melaporkan dengan segera kepada pihak pengurusan premis makanan berkenaan dengan keadaan kesihatannya; dan
(c) digantung daripada bekerja di premis makanan sehingga dia disahkan sembuh daripada penyakit dan sihat dari segi perubatan untuk bekerja oleh pengamal perubatan berdaftar sebelum dia dibenarkan untuk memasuki premis makanan itu atau mengendalikan makanan.
(3) Mana-mana pengendali makanan yang tidak mematuhi subperaturan (1) atau (2) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun.

Kenapa vaksin ini penting? Adakah nak kayakan syarikat vaksin ke? Tidak! Penyakit bawaan makanan dan minuman amat kerap berlaku. Ianya boleh mendatangkan kesengsaraan kepada pesakit malah boleh membawa maut. Demam kepialu adalah penyakit bawaan makanan dan minuman yang paling ditakuti. Statistik dari WHO mendapati 21 juta kes (tahun 2014) berlaku seluruh dunia. Manakala lebih 222,000 kematian berlaku akibat kepialu.[2] Jika seseorang dijangkiti, risiko maut mencecah 10-30%.

Setakat ini negara kita masih terkawal kes kepialu hasil dari vaksinasi yang diwajibkan mengikut perutukan undang-undang. Namun, sebelum era vaksin, negara kita bergelut dengan penularan kes dan kematian. Demam kepialu adalah bukannya penyakit baru dalam dunia. Ianya sudah wujud sejak sekitar tahun ke 430-424 sebelum Masihi lagi. Pada masa itu demam kepialu yang telah mengorbankan hampir satu pertiga daripada penduduk Athens termasuk pemimpin mereka iaitu Pericles. Ahli sejarah kuno Thucydides juga tidak terkecuali dari jangkitan ini namun dia terselamat daripada penyakit tersebut dan menulis mengenainya.

Pada tahun 1897, Edward Wright Almorth telah menemui vaksin yang berkesan dalam menangani penyakit ini. Pada tahun 1909 pula, Frederick F. Russell, seorang doktor tentera Amerika Syarikat membangunkan vaksin Typhoid dan selepas dua tahun program suntikan vaksin anti-typhoid menjadi yang pertama di mana suntikan tersebut diberikan kepada semua anggota tentera Amerika Syarikat. Satu kejayaan yang menjadi titik tolak kepada sejarah perubatan pencegahan dalam masyarakat.

Sebagai makluman para pembaca, vaksin kepialu (Tifoid) ini terdiri dari dua kaedah. Iaitu melalui pil dan suntikan.[3,4]
(1) Vaksin tifoid pil:
* Vaksin diberikan dalam bentuk kapsul. Diberikan 3 kapsul yang dimakan pada hari ke 1, 3 dan 5.
* vaksin diberikan kepada individu yang berumur lebih dari 6 tahun ke atas.
* Imunisasi diberikan setiap 3 tahun bagi pengendali makanan.
(2) Vaksin Tifoid suntikan:
* Vaksin disuntikkan di lengan atau paha.
* vaksin diberikan kepada individu yang berumur lebih dari 2 tahun ke atas.
* Imunisasi diberikan setiap 3 tahun bagi pengendali makanan.

Negara kita menyediakan kedua-dua kaedah tersebut. Mana-mana pengendali makanan dikehendaki melakukan pemeriksaan kesihatan di klinik swasta yang terpilih, kemudian vaksin akan diberikan sebelum kelulusan menjalankan aktiviti penyediaan makanan oleh pihak berkuasa majlis tempatan.

Survey ringkas kami mendapati, vaksin secara pil tidak dipatuhi oleh para pengendali makanan. Mereka tidak mengambilnya. Malah tiada pemantauan khusus diberikan. Lebih memalukan masyarakat, apabila segelintir mereka mendapat hasutan dari golongan antivaksin. Maklumat yang diberikan tidak benar dan menakut-nakutkan masyarakat berkaitan perubatan moden. Mereka hanya mementingkan diri sendiri tanpa melihat kepunahan yang akan berlaku jika wabak kepialu merebak.

Sekian pesanan dari suhazeli.com
Fb.Com/drsuhazeli
25.12.2017
Kuala Berang

Pautan
[1] Akta pengendali makanan. http://kursuspengendalianmakanan.com/peraturan-peraturan-kebersihan-makanan-2009/
[2] Statistik kes Thypoid. http://www.who.int/immunization/diseases/typhoid/en/
[3] Vaksin Vivotif. https://www.rxlist.com/vivotif-drug.htm#description
[4] Kandungan vaksin. http://www.mydr.com.au/medicines/cmis/vivotif-oral-capsules