Kiddie pack: Takkan demi undi, gadai nyawa rakyat?

Gaya Hidup
Typography

KETAGIHAN tembakau berakar umbi dalam masyarakat sejak sebelum merdeka lagi. Sejak awal pengambilan tembakau ini sebagai makanan yang sedap serta menyeronokkan. Namun segala kesedapan dan keseronokan itu bertukar menjadi mimpi ngeri setelah banyak bukti mudarat kepada kesihatan manusia ditemui. Sehinggalah seluruh premis kesihatan bertungkus lumus memerangi ketagihan tembakau bagi menghindari masyarakat dari terus dicengkam penyakit bawaan rokok. Sememangnya terlalu amat sukar untuk dihapuskan ketagihan tembakau dalam jangka masa singkat. Ianya memerlukan pasukan mantap, dedikasi dan tega menerima tohmahan.

drsuhazeli4Dalam masa yang sama syarikat besar tembakau juga berhempas pulas menyelamatkan industri mereka yang sudah bertapak sejak sekian lama di hati rakyat. Promosi jualan, tajaan program, promosi produk hiliran dan sebagainya digiatkan oleh mereka dengan jumlah pelaburan yang besar.

Kementerian Kesihatan Malaysia secara khususnya meletakkan ikrar untuk menjadikan generasi bangsa Malaysia bebas rokok menjelang 2045. Polisi, pelan tindakan dan pelaksanaan ke arah itu sudah berjalan sekian lama. Perjanjian demi perjanjian sama ada peringkat tempatan dan antarabangsa dimeterai bagi melangsungkan matlamat bebas asap rokok ini dalam negara.

Terima kasih kepada para mufti yang meletakkan kayu pacak dengan meluluskan fatwa haram rokok pada 25 Mac 1995. Terima kasih juga kepada Kementerian Pendidikan yang membenarkan modul khas pendidikan kepada anak-anak di bangku sekolah agar hindari najis rokok. Tidak kurang juga peranan yang besar oleh Kementerian Kewangan yang setiap tahun terus menaikkan cukai rokok. Hasil usaha semua pihak ini, parlimen juga berjaya meluluskan akta pengharaman jualan rokok secara pakej kecil (Kiddie Pack) sejak 2010. Ini adalah satu kejayaan para pejuang kesihatan yang ingin melihat Malaysia bebas rokok.

Kerajaan tidak seharusnya mengikut telunjuk sebahagian kecil pengusaha industri tembakau dalam negara yang ingin membatalkan kembali larangan jualan kiddie pack. Persetujuan mana-mana ahli parlimen atau menteri bagi membatalkan akta yang sudah cukup tegas itu. Penarikan semula akan dikira sebagai berpusing ke zaman lapuk, malah tidak menjunjung usaha-usaha murni majoriti rakyat. Jangan biarkan segelintir kecil para pendesak yang melihat ancaman jualan mereka terhakis. Lihatlah kembali nasib yang akan dipertaruhkan ke atas lebih 25 juta rakyat Malaysia yang tidak merokok.

Takkanlah demi satu undi, sanggup para pemegang polisi menggadai satu nyawa rakyat yang tidak bersalah?

Sama-sama kita fikirkan.

Kempen khas dari suhazeli.com
Fb.Com/drsuhazeli – HARAKAHDAILY 21/12/2017