Penyakit: Istilah perubatan sukar difahami orang awam

Gaya Hidup
Typography

BEBERAPA istilah perubatan yang sukar difahami oleh orang awam, iaitu berkaitan dengan penyakit sama ada penyakit turun temurun, penyakit berjangkit, bawaan baka atau genetik. 

Untuk mudah faham, saya sebut satu persatu dalam bahasa mudah:

1) Penyakit keturunan

Penyakit yang boleh diperolehi oleh sesorang akibat keturunan dia sudah ada sesatu penyakit itu. Ia juga disebut sebagai penyakit baka. Bahasa perubatan disebut sebagai penyakit genetik.

Terdapat beberapa penyakit genetik ini diketahui dari awal dengan dilakukan ujian darah. Contohnya penyakit Talasemia, boleh diketahui dengan ujian darah analisis hemoglobin. Jika ibu dan bapa adalah pembawa baka talasemia, maka keberangkalian anak akan memperolehi talasemia adalah 25%, anak yang normal 25% dan pembawa baka 50%. Penyakit-penyakit lain adalah seperti hemophilia, sistik fibrosis, sickle-cell anemia, balar dan beberapa lagi boleh diuji dipremis kesihatan.

Ada juga penyakit baka ini timbul apabila terdapat risiko yang mengujanya. Contohnya kencing manis, sama ada jenis 1 atau 2. Faktor gaya hidup yang tidak sihat akan mempercepatkan penyakit kencing manis menghinggapi seseorang yang sudah ada baka keluarga yang juga kencing manis. Antara faktornya adalah kegemukan, hisap rokok, tiada aktiviti fizikal dan tidak makan makanan seimbang.

Kanser tertentu juga dikaitkan dengan penyakit keturunan.

2) Penyakit berjangkit

Penyakit berjangkit ini pula melibatkan punca yang spesifik. Organisma atau kuman tertentu boleh menyebabkan ia berjangkit dari individu ke individu lain. Contohnya penyakit tuberkulosis, disebabkan sejenis kuman bernama mikobakterium tuberkulosis. Ianya menyerang individu dan boleh berjangkit melalui pernafasan.

Penyakit berjangkit boleh juga merebak dari ibu kepada anak. Contohnya jika ibu HIV positif, risiko kuman HIV akan turun kepada anak dalam kandungan adalah tinggi. Jika tidak dirawat, anak yang dilahirkan nanti kemungkinan dijangkiti juga virus HIV dari si ibu. Oleh yang demikian saringan HIV wajib dilakukan ke atas pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan atau semasa hamil.

3) Penyakit kongenital

Biasa kita dengar bayi yang dilahirkan mempunyai penyakit istimewa. Ia dikesan sama ada dalam kandungan atau setelah lahir. Sedangkan seluruh keturunan mereka tidak ada pun penyakit sedemikian. Jenis penyakit ini diberi nama kongenital atau sangkutan genetik. Hikmah Tuhan menjadikan beliau sedemikian. Contohnya sindrom down, di mana bayi yang dilahirkan akan kelihatan montel, bermuka bulat, mata sepet dan beberapa ciri lain lagi. Faktor genetik yang berlaku mutasi pada kromosom tertentu mengakibatkan berlakunya penyakit kongenital ini. Sindrom down ini juga dikaitkan dengan faktor usia pasangan terutama si ibu. Dicatatkan dalam dunia perubatan bahawa ibu yang berusia 35 tahun semasa hamil keberangkalian untuk anak dilahirkan sindrom down adalah 1 dalam 350 individu. Manakala umur ibu 40 tahun berkeberangkalian anak dilahirkan sindrom down 1 dalam 100 individu. Bagi ibu hamil yang berumur 45 tahun pula 1 dalam 30 individu.

Sekian tutorial ringkas dari suhazeli.com

Fb.com/drsuhazeli
16.12.2017
Rusila, Marang – HARAKAHDAILY 16/12/2017