Nature politik yang dilalui pemimpin kita

Gaya Hidup
Typography

KENDURI kahwin, minum air kedai kopi, kenduri tahlil, kenduri aqiqah, kenduri maulud, kenduri naik rumah, majlis buka puasa, rumah terbuka hari raya, makan malam kumpul dana dan aneka lagi yang semuanya ada satu persamaan iaitu makan.

Pimpinan pula makan minum, tidur, bangun dan rehat yang tak menentu. Orang kata kalau nak sihat kena tidur awal sekitar jam 9.30 malam dan bangun awal. Kita pula 9.30 malam baru nak Al-Fatihah buka majlis. Pukul 12.00 malam baru tutup majlis. Hampir jam 2.00 pagi baru sampai rumah. Kadang-kadang sampai subuh.

Orang kata kena kawal makan untuk jaga kesihatan. Tapi pimpinan kita ada 5 kenduri sehari yang perlu hadir. Tak hadir maka risiko hilang undi. Hahaha...antara kesihatan dan undi mana yang lebih utama? Tepuk perut tanya hati.

Sebenarnya yang paling utama ialah meraikan jemputan, bukan kerana undi. Bila dah hadir, maka kena makan nak jaga hati tuan rumah.

Dalam situasi ini, pimpinan perlu mempunyai kreativiti sendiri untuk jaga kesihatan. Saya ada dua cara. Basikal dan jogging. Ada masa saya kayuh saja basikal sejauh yang boleh. Kompleks Sukan Jabatan Belia dan Sukan Kelantan selalu saya kunjungi. Tak banyak pun sekadar jogging 10 keliling trek olahraga. Dapatlah dalam 4 km.

Apa yang penting ialah jantung perlu diaktifkan dan kadar metabolisma tubuh perlu ditingkatkan.

Medan jihad ini perlukan tubuh yang kuat. Beban yang kita pikul amat berat. Maka jaga kesihatan diri amat penting. Jagalah sebelum terlambat. Penyakit 4 serangkai selalu menyerang. Darah tinggi, kencing manis, masalah jantung dan gout. Bila kena gout maka terpaksa kita go out untuk sementara waktu. – HARAKAHDAILY 11/12/2017