Fobia dengan perkataan kolesterol

Gaya Hidup
Typography

ORANG kita cukup fobia dengan perkataan kolesterol. Sebabnya, semua media menyalahkan kolesterol punca kematian akibat penyakit terutamanya sakit jantung. Justeru bermulalah timbul dalam masyarakat kita pelbagai produk untuk menurunkan paras kolesterol dalam badan. Membaca testimoni mereka boleh membuatkan doktor pakar jantung pun terkejut. Seratus peratus kolesterol terhapus dalam badan seolah-olah mati hidup semula.

drsuhazeliMalah terdapat juga kempen produk yang mereka lariskan itu menggunakan nama-nama doktor tertentu. Bagi mengukuhkan lagi teknik jualan, doktor pakar jantung bernama si anu bin si anu mencadangkan ambil produk tertentu berjenama sekian-sekian. Tular satu tulisan seorang doktor bernama Dr Ashraf Ahmad. Kononnya beliau adalah Pengarah Jabatan Kardiologi Kementerian Kesihatan MY (ringkasan MY ini saya anggap merujuk kepada Malaysia). Setelah pihak kami selidiki, nama doktor berkenaan tidak pun wujud di Malaysia. Sementelah tiada pun satu jabatan khusus yang bernama jabatan kardiologi KKM. Kemungkinan jika ada, beliau sudah pencen kerana dengan pengalaman 35 tahun itu beliau sudah pun mencecah 60 tahun pada ketika ini. Biasanya doktor kardiologi yang senior dan hebat sebegini, ramai dikenali oleh rakan-rakan kardiologi lain. Tetapi rata-riti kardiologis di Malaysia tidak mengenali beliau.

Garis panduan rasmi sama ada dalam negara kita atau badan berautoriti luar negara tidak menetapkan secara khusus pengambilan suplemen sebagai kaedah menurunkan paras kolesterol dalam darah. Pemberian ubat kolesterol seperti statin dan sebagainya mesti melalui penyaringan dan stratifikasi kes yang berisiko. Doktor yang merawat tidak semudah melihat paras kolesterol dalam darah sahaja, terus memberikan ubat kolesterol. Tetapi perlu memeriksa pesakit dan meneliti faktor-faktor risiko. Antara risiko pesakit yang perlu diambil pertimbangan adalah umur, jantina, status merokok, mempunyai sejarah sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis. Setelah melebihi skala risiko yang ditetapkan, kemudian konsultasi rawatan diberi. Selain dari ubat, doktor akan menasihati pesakit agar mengubah gaya hidup seperti penurunan berat badan kepada berat badan ideal, khidmat nasihat pemakanan (secara terperinci akan diberikan oleh pakar pemakanan) dan tingkatkan aktiviti bersukan.[1] Kombinasi rawatan ubah gaya hidup dan ubatan inilah membolehkan para pesakit dihindari penyakit serangan jantung, strok dan lain-lain. Statin itu sendiri boleh menurunkan paras Trigliseride sebanyak 7.3%, LDL (kolesterol jahat) sebanyak 18.55% dan menaikkan HDL (kolesterol baik) sebanyak 5% - 15%.

Adalah bohong jika ada suplemen mendakwa bahawa produk mereka melebihi rawatan seperti yang disebutkan di atas. Jika benar terdapat kajian yang menyangkal tulisan ini, sila bawakan hasil kajian tersebut untuk pihak berkuasa ubatan (NPRA) membuat penilaian, seterusnya meluluskan penggunaanya dalam premis kementerian kesihatan. Saya pun nak berikan kepada para pesakit saya jika sudah terdapat kajian tuntas yang melepasi tahap kualiti, keberkesanan dan keselamatan penggunaannya.

Nasihat ikhlas dari suhazeli.com
Fb.com/drsuhazeli
10.12.2017
Kg Telaga Batin

Pautan
[1] Panduan Ringkas rawatan Kolesterol. https://www.nhlbi.nih.gov/…/chol…/quick-desk-reference-html…