Aluminium

Gaya Hidup
Typography

SAYA tertarik dengan kebimbangan para ibu bapa yang menghalang suntikan vitamin K kepada anak-anak mereka. Antara hujah yang mereka mengatakan bahwa Vit K itu mengandungi logam berat aluminium. Seratus mikrogram aluminium yang dimasukkan sebagai bahan pengukuh Vit K digembar-gemburkan oleh golongan penentang vaksin sebagai merbahaya. Boleh membawa kecacatan bayi dan kematian. Ibu bapa yang bersetuju dengan suntikan Vit K dituduh oleh mereka sebagai bod*h dan buta.

Nasihat saya kepada mereka yang menentang perubatan moden ini agar belajarlah untuk memahami sains. Jika sukar untuk mereka belajar dan hadam bab ilmu sains perubatan, dengarlah pandangan dari orang yang ahli dalam perubatan. Cukuplah mengambil ilmu serong dari para penghasut yang fobia atas diri mereka sendiri. Buat sekian kalinya saya dapati golongan yang anti-perubatan ini tidak berpijak di alam nyata. Mereka menjadi paranoid dengan dunia ciptaan sendiri. Artikel yang disalin-tampal dari google itu pun mereka sendiri tidak faham, cerna, hadam dan tidak interpretasi sebaiknya. Kemudian kekeliruan mereka itu disebar-sebarkan dalam media maya sehingga menampakkan sendiri kedangkalan ilmu yang mereka sendiri persepsikan. Itulah doktrin sempit yang mereka reka.

Seluruh dunia mewajibkan pemberian suntikan Vit K sebaik sahaja bayi dilahirkan. Vit K ini penting bagi mengelakkan perdarahan dalaman yang berlaku terhadap bayi. Secara fisiologi semasa hamil, Vit K amat sukar disalurkan melalui plasenta dari ibu.[1] Justeru majoriti bayi akan kekuranga Vit K ini. Kandungan susu ibu juga tidak dapat menampung keperluan Vit K ini kepada bayi semasa awal tumbesaran, kecuali setelah diberi makanan pelengkap. Vit K boleh dibekalkan melalui pemakanan. Kekurangan ini akan menambahkan lagi risiko pendarahan dalaman yang mungkin berlaku terhadap anak kita yang masih mentah itu.[2]

Kejadian perdarahan dalaman boleh berlaku tanpa jangkaan kita. Laporan mendapati insiden perdarahan 0.25%–1.7% seawal minggu pertama kehidupan bayi. Selalunya perdarahan berlaku di dalam saraf otak yang boleh membawa kecacatan kekal atau maut. Tempoh berjaga-jaga sehingga 12 minggu umur bayi. Kajian dari bayi-bayi Eropah dan Asia telah berjaya mengurangkan kejadian perdarahan saraf otak dari 4.4-7.2 per 100,000 kelahiran ke 1.4-6.4 per 100,000 kelahiran.[3] Pemberian satu suntikan Vit K ini telah menyelamatkan lebih ramai lagi jiwa menjadi mangsa perdarahan.

Vit K ini diperbuat dengan penuh teliti dan mempunyai data keselamatan yang tinggi. Salah satu bahan penimbal (adjuvant) yang dimasukkan adalah garam aluminium. Garam aluminium dalam vaksin/Vit K berbeza dengan alumium dalam pesekitaran. Rantaian Aluminium akan menjadi berbeza apabila dikombinasikan dengan oksigen, natrium dan lain-lain. Isu sebatian berbeza inilah yang boleh mengelirukan orang awam yang bukan ahlinya.

Kelulusan penggunaan vaksin/Vit K ini menggunakan akta FDA, kerana logamnya dalam bentuk garam (alluminum salt).[4] Oleh yang demikian unit bacaanya dalam bentuk mg/L atau mmol. Ianya jauh berbeza dengan aluminium oksida yang menggunakan sukatan isipadu (mg/m3) seperti mana akta DOSH (Kesihatan Persekitaran). Aluminium oksida adalah 'karat Aluminium' yang boleh menjadi toksid di persekitaran apabila melebihi paras tertentu. Untuk mudah faham. Ibu mengandung kkm bekalkan zat besi (ferous fumarate atau lactate). Kita tidak berikan ferous oxide (besi karat) kerana ferous oxide itu bahaya.

Pembuatan vaksin bukan dibuat cara tumbuk dan uli macam tepung gandum. Tetapi ianya melalui proses yang ketat, terjamin serta seliaan kualiti. Setiap batch vaccine yang dikeluarkan sudah melepasi tahap keselamatan. Lebih dari setengah juta dos Vit K dan 6.9 juta dos vaksin diberikan kepada bayi seluruh negara setiap tahun, semuanya selamat membesar menjadi warganegara. Termasuklah diri anda yang sedang membaca tulisan ini.

Pautan
[1] Bekalan Vitamin K dari Plasenta. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/3187946
[2] Vitamin K untuk bayi. https://scienceofmom.com/…/are-the-ingredients-in-the-newb…/
[3] Controversies Concerning Vitamin K and the Newborn Committee on Fetus and Newborn. Pediatrics Jul 2003, 112 (1) 191-192. http://pediatrics.aappublications.org/content/112/1/191
[4] Aluminium safety. https://www.atsdr.cdc.gov/phs/phs.asp?id=1076&tid=34