Tanggungjawab

Gaya Hidup
Typography

TERDAPAT beberapa isu yang dibangkitkan oleh saudara (rujuk gambar). Bagi orang awam yang tidak terlibat dalam bidang perubatan akan menaruh sangsi kepada kecanggihan ubat moden termasuk kejayaan yang dicapai oleh vaksinasi. Benarlah seperti yang disebut dalam Al Quran, jika kita tidak tahu sesuatu, maka bertanyalah kepada ahlinya. Terima kasih saudara yang bertanya.

check1) Tanggungjawab yang diberikan oleh kerajaan ke atas penjawat awam yang menguruskan pembelian ubat-ubatan dalam negara diuruskan dengan penuh dedikasi. Rasa tanggungjawab ini disertai dengan nilai-nilai mulia para penjawat awam. Kemasukan sesuatu ubat termasuk vaksin diteliti dengan penuh cermat. Keputusan untuk meluluskan sesuatu ubat dibuat oleh beberapa peringkat di Kementerian Kesihatan Malaysia. Ianya berdasarkan konsep transpiransi dalam pemilihan ubat-ubatan. Para ahli yang pakar dalam bidang masing-masing akan berbincang dari pelbagai sudut sebelum meluluskannya. Jika terdapat kandungan yang diragui dari sudut agama, pakar-pakar hukum dari JAKIM akan dipanggil untuk duduk sama berbincang mengenai keharusan atau keharaman ubat-ubatan tersebut.

Memang benar, tiada satu pun vaksin dibuat dalam negara kita. Ianya dibuat oleh negara-negara maju yang mempunyai kapasiti makmal yang cukup berkualiti. Doakan satu hari nanti kita mampu membuat vaksin sendiri. Tugas ini penting kepada para saintis dalam negara untuk membuat vaksin atau ubat-ubatan sendiri. Di samping sokongan padu dari kerajaan yang memerintah. Dana yang banyak perlu dilaburkan bagi menghasilkan ubat-ubatan moden.

2) Majoriti para ibu bapa yang menolak pemberian vaksin kepada anak mereka adalah di kalangan yang menolak perubatan moden. Walaupun mereka tidak menolak secara total, tetapi kebanyakannya mereka banyak alasan apabila pihak hospital memberikan rawatan. Keadaan ini sudah jadi suatu fenomena dan membudaya di kalangan mereka. Teori konspirasi yahudi, bigpharma kaut keuntungan, ubat alternatif sebagai ikhtiar dan seumpamanya menjadi pemangkin zikir mereka apabila berdepan dengan nurse atau doktor. Terdapat juga di kalangan kami menerima makian, cemuhan, cacian, malah ugutan fizikal semasa memberikan rawatan. Justeru mungkin menjadi reaksi balas anggota kesihatan akan bersifat defensif. Kami juga manusia, bukan robot. KPI dibuat bagi menjamin kualiti perkhidmatan bukannya ingin membunuh rakyat. Jika sekiranya terdapat reaksi yang agak negatif di kalangan kami, mungkin akibat letupan tekanan emosi yang tertanggung akibat sikap dari segelintir pesakit juga. Namun jika ianya dirasakan keterlaluan, saudara boleh membuat aduan secara rasmi. Kami telus, terbuka dan berlapang dada dalam isu sebegini.

3) Sehingga kini negara kita belum lagi membuat akta "No Jab No Play" sepertimana akta baru dari beberapa buah negara seperti Australia, Singapura dan lain-lain. Kanak-kanak yang tidak divaksinkan masih lagi bebas bergaul dengan semua orang, sama ada di tempat awam atau institusi pendidikan. Klinik-klinik dan hospital pun tidak membezakan antara kanak-kanak yang diberikan vaksin atau tidak. Kami masih menerimanya tanpa prejudis. Jika ibu bapa yang tidak mevaksinkan anak mereka perasan bahawa mereka dianaktirikan, bukan berpunca dari kami. Tetapi ia berpunca dari sikap fobia diri sendiri terhadap institusi kesihatan. Adalah menjadi fitnah besar, jika mereka sendiri beranggapan anak-anak mereka dinafikan hak untuk memasuki pusat asuhan atau sekolah jika tidak divaksinkan. Selagi mana akta belum digubal, anda bebas mendatangi risiko penyakit berjangkit ke atas zuriat anda berharga itu. Kekadang boleh dianggap zalim membuat keputusan sedemikian!

Semoga anda memahaminya.

Suhazeli.com
Fb.com/drsuhazeli
28.11.2017
Istanbul, Turkey