Dakyah antivaksin

Gaya Hidup
Typography

KAMI memandang serius sebaran maklumat dari seorang netizen yang mendakwa bayi mati akibat suntikan vaksin Meninggococal (vaksin umrah). Melalui posting yang dihantar, beliau menyalahkan akibat pemberian vaksin tersebut, bayi berumur 9 bulan mati di nurserI. Jika benar, kejadian kematian bayi ini berlaku, sepatutnya sudah mendapat perhatian serius di pihak Kawalan Penyakit KKM dan NPRA secara khususnya.

Namun hasil siasatan yang dijalankan bahawa tiada satu kes pun seumpamanya. Maklumat dari NPRA menyatakan bahawa: Bagi vaccine meninggococcal, tiada laporan kes kematian yang pernah diterima. Total AEFI untuk vaksin meninggococcal dari tahun 2006 hingga bulan Oktober 2017 adalah 21 laporan.

Kesemuanya telah dikenal pasti sebagai reaksi biasa kecuali satu kes serius di mana pesakit dimasukkan ke wad. Pesakit kembali sihat setelah rawatan diberikan.

Vaksin Meninggococal adalah selamat digunakan seawal umur 2 bulan (bergantung kepada jenis vaksin). Ianya adalah vaksin wajib sebelum seseorang menunaikan haji atau umrah. Jangkitan kuman Meninggococal ini serius, sehingga boleh membawa maut. Kadar kematian akibat jangkitan Meninggococal mencecah 40% jika tidak dirawat segera.[1] Setelah era pemberian vaksin Meninggococal, jumlah kematian dan serangan penyakit turun secara mendadak. Kes jangkitan kuman Meninggococal sebanyak 1.2 juta dengan kematian 135,000 telah dikurangkan. Boleh lihat laporan dari insiden kes UK setelah lebih 25 tahun pemberian vaksin Meninggococal, kes turun dari 0.55/100,000 populasi ke 0.02/100,000 populasi (96% berkesan menurunkan kes).[2]

Kumpulan anti vaksin tegar tidak serik dengan kejadian yang menimpa ummat satu ketika dahulu. Mereka sanggup mereka-reka cerita supaya masyarakat takut untuk mengambil vaksin. Kononnya mereka mahu mendidik masyarakat mengenai vaksin, tetapi sebenarnya merekalah membawa dakyah sesat, menggunakan teknik menakut-nakutkan orang awam yang tidak tahu dan akhirnya berlepas diri setelah hujah mereka dipatahkan. Mereka juga tidak segan silu menuduh para doktor sebagai manusia yang tidak berhati perut. Malah ada antara mereka sanggup menuduh para mufti dan ulamak berfatwa tidak mengikut landasan yang benar. Serangan demi serangan yang mereka lakukan ke atas pejuang kebenaran ini sebenarnya memakan diri mereka sendiri. Masyarakat akan mula sedar mentaliti pemikiran jumud yang cuba mereka terapkan.

Pautan
[1] Meninggococcal meninggitis. https://www.cdc.gov/vaccines/pubs/pinkbook/mening.html
[2] Incidence of Meninggococal Meningitis. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4083163/