Depa tak hadam

Gaya Hidup
Typography

SEDAP juga depa duk kutuk doktor tak update knowledge pasal kanser dan pemakanan. Kononnya banyak pantang larang dalam pemakanan ini boleh menyebabkan kanser. Kononnya juga sudah banyak seminar, kajian, persidangan yang membicarakan pantang larang ini.

Kami memberikan info berdasarkan ilmu dan pengalaman. Sepanjang karier kedoktoran yang beratus-ratus kali masuk seminar atau persidangan sama ada dalam negeri atau luar negeri, tiada lagi penceramah bentangkan pantang larang ini. Kami hadir dalam seminar profesional dan dibentangkan oleh pakar-pakar. Pakar darah tinggi, pakar kencing manis, pakar merawat kanser, pakar jantung dan pelbagai lagi. Kesemuanya memberi penerangan dan solusi sama dengan buku teks yang dibaca. Malah mereka juga membentangkan penemuan-penemuan baru dalam dunia perubatan. Satu pun tidak disebut pasal pantang larang seperti memakai coli ketat, bahaya buat mamogram, gula penyebab kanser, pil perancang penyebab kanser, pakai bedak punca kanser dan sebagainya lagi.

Entah-entah seminar yang mereka hadir itu dibentangkan oleh bukan pakar yang mengaku pakar.

Begitu juga rawatan kanser. Pembedahan, kimoterapi dan radioterapi adalah terbaik setakat ini. Jika dikesan dari awal, dan rawatan segera dijalankan, pesakit akan selamat lebih ramai. Biasanya kes hadir ke klinik pada tahap yang teruk sehingga sukar perawatan optimum dilakukan.

Kami tidak pula mengesyorkan produk-produk kesihatan yang kononnya penawar kepada kanser. Harapan palsu diberikan kepada pesakit kanser yang sudah murung memikulnya. Produk B17 adalah tidak terbukti, malah pelopor kepada produk kesihatan B17 itupun bukan pakar perubatan. Durian belanda yang katanya lebih hebat dari 10,000 kali kimoterapi pun menyimpang jauh dari realiti sebenar perawatan. Matilah pesakit jika beri 10,000 lebih kuasa. Hatta tak pernah ada data konkrit pun durian belanda ganti kepada kimoterapi. Begitu juga dengan daun belalai gajah, daun rama-rama, daun lidah buaya dan macam-macam lagi dakwaan. Tidak pun pernah menghasilkan kejayaan ke atas manusia.

Semuanya mereka cuba momokkan doktor tak pandai sebab nak lariskan jualan. Jangan tertipu weih.

Nasihat ikhlas tanpa bayaran dan jualan produk daripada...

suhazeli.com
Fb.com/drsuhazeli
18.11.2017
Kangar, Perlis