Vaksin vs konspirasi Yahudi

Gaya Hidup
Typography

SETIAP kali isu vaksin dibincangkan oleh pakar-pakar perubatan, ada sahaja netizen yang melontarkan persoalan bahawa vaksin itu agenda Yahudi. Mereka terus salin dari sumber yang tidak berwibawa, bahawa wujudnya korelasi vaksin dengan agenda jahat Yahudi. Tetapi jika diperhatikan betul-betul, pernyataan laman yang dipetik itupun hanya berandaian akan hubungkait antara vaksin dan zionis.

dr suhazeliMereka juga mendakwa sudah ramai doctor barat yang juga menentang pemberian vaksin. Tanpa mereka sedari bahawa para penentang vaksin negara barat itu sendiri sebahagiannya berideologi Yahudi. Apabila ditanya kepada mereka, berikan nama doktor di Malaysia yang menentang vaksin. Tiada siapa pun boleh memberikan nama. Sejumlah 46,461 orang doktor berdaftar di bawah Majlis Perubatan Malaysia, majoriti menyokong vaksin. Jikalau ada yang menentang, hanyalah doktor yang pelik serta sukar bergaul dengan kebanyakan orang awam. Hanya percaya kepada pendapat peribadi sendiri. Pentingkan diri tanpa melihat kepentingan orang awam.

Dengan pelbagai alasan yang rapuh, mereka terus memutar-mutar helah yang sama. Sedangkan kesemua kegusaran mereka itu sudah pun dijawab oleh pakar-pakar yang lebih berwibawa bahawa andaian-andaian mereka hanya berpunca dari takut pada diri sendiri dan juga takut dengan merosot jualan produk kesihatan yang mereka jual. Sebahagian besar dari penentang tegar vaksin adalah penjual produk kesihatan.

Allah beri kita akal untuk berfikir. Ilmu perubatan ini adalah ilmu alat untuk kebaikan manusia. Ianya sesuatu yang baik dan sudah hilang dari orang Islam. Sebagaimana disebut oleh Rasulullah SAW:
"Al hikmah (kebijaksanaan/ilmu) itu adalah barang yang hilang dari orang mukmin, maka dimana sahaja ia dapati, dialah yang berhak terhadapnya" [Maksud hadis riwayat Imam Tirmizi]

Kita terdoktrin dengan yahudi, yahudi, yahudi atau Barat! Segala apa yang datang dari barat perlu ditolak? Sedangkan sebahagian besar penulisan ilmu perubatan ditulis oleh orang Islam jua. Mereka cedok dan kembangkan ilmu itu dari cendekiawan muslim juga. Banyak alatan pembedahan adalah direka oleh saintis muslim, barat yang menirunya dan mendakwa mereka buat. Kitab Tibb Nabawi karangan Ibnu Sina yang tebal berjilid itu masih wujud dan bongkar oleh barat satu persatu. Barat bukan bermakna yahudi, walau sebahagian mereka adalah yahudi! Facebook pun dari yahudi! Telefon samsung pun yahudi! Jika begitu, kita sudah menjadi yahudi? Menggunakan ilmu alat ini tidak menjadikan kita Yahudi atau zionis. Nauzubillahi min zaalik.

Ilmu imunologi yang sebahgiannya membicarakan mengenai vaksin juga dipelopori oleh saintis ulung Islam bernama Al Razi. Penemuan dan permulaan pembangunan ilmu imunisasi dimulakan oleh saintis Islam yang hebat sekitar abad ke-15 dahulu. Malah penemuan konsep imunisasi bagi penyakit measles (campak) dan smallpox (cacar) adalah dari Al Razi. Konsep yang sama, cuma barat mengembangkan ilmu itu.

Saya ke Gaza 2012 melihat Hospital Central Gaza, mereka menggunakan sepenuhnya ubatan (termasuk vaksin) dan teknologi perubatan barat! Takkanlah mereka menolak kebaikan (perubatan moden) ini walaupn Gaza dibantai oleh israhell laknatullah setiap hari.

Saya melihat sendiri sistem perubatan dan kesihatan Arab Saudi sepanjang 3 kali penglibatan rombongan perubatan haji, mereka juga menggunakan sepenuhnya perubatan 'barat' yang kononnya Yahudi itu. Malah mereka mewajibkan semua jemaah haji disuntik vaksin meningococcal! Adakah mereka bebal atau turut dipengaruhi Yahudi? Adakah mereka tidak melihat ini agenda Yahudi Freemason? Dek kerana vaksin tidak dibuat dalam negara-negara Islam?

Saya tahu isu Rockfeller dan vaksin, tetapi mana bukti mereka membunuh umat? Tetapi kita sendiri melihat bukti atas kapasiti penjagaan kesihatan yang semakin maju termasuk penggunaan vaksin, kematian bayi semakin menurun. Sebahagian ulasan isu ini telah saya masukkan dalam wall saya atau www.suhazeli.com.

Wallahuaklam

Dr Suhazeli Abdullah
Fb.com/drsuhazeli