Adakah vaksin menolak tawakal?

Gaya Hidup
Typography

SEORANG ibu mengemukakan pendapat kepada saya bahawa pengambilan vaksin itu menolak konsep tawakkal kepada Allah.

Sekali imbas ada benarnya. Ditambah lagi bahawa proses tahnik bayi, susu ibu dan pemakanan sunnah seperti habbatussauda dan sebagainya, sudah cukup sebagai 'vaksin' mencegah penyakit.

drsuhazeliSaya hormati pegangan sedemikian. Saya pun muslim dan mengamalkan sunnah tanpa ingkar. Malah dalam setiap konsultasi pesakit, perkara awal yang disebut adalah Therapeutic Life Changes (TLC). Bersenam, menjaga pemakanan, kurangkan berat badan dan jauhi stres sudah menjadi isi dan kulit dalam nasihat kami secara kolektif. Disusuli dengan ubat atau prosedur, kemudian bertawakallah. Tawakal tidak berdiri sendirian tanpa ikhtiar. Sebagai orang awam, kita tidak dikurniakan mukjizat, karamah atau irhasy. Sesuatu yang di luar dari lingkungan keistimewaan tersebut bagi orang awam adalah menyalahi adat.

Rasulullah SAW menegur secara bijaksana terhadap seorang badwi yang memahami konsep tawakal dengan hanya berserah sahaja kepada Allah SWT tanpa sebarang ikhtiar. Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Anas bin Malik: Suatu ketika seorang lelaki datang berjumpa Rasulullah SAW sambil meninggalkan unta tunggangannya, seraya berkata, "Aku lepaskan untaku dan aku bertawakal." Maka Nabi menjawab,
"Ikatlah untamu dan bertawakallah kau."

Ikat unta itu mestilah dengan tali sengkang unta yang kukuh, bukannya tali pelepah pisang! Tidak kuat dan senang rapuh. Sedangkan sebelum bertawakal perlulah dijalankan ikhtiar sekukuhnya. Kaedah fekah menyebut, yang lemah/tidak kuat hujah/keraguan fakta itu terhapus setelah datangnya sesuatu yang lebih yakin/sahih.

Adakah kita masih kurang keyakinan akan manfaat yang diperolehi melalui ikhtiar vaksin ini? Kesihatan seseorang bukan bergantung kepada pemberian vaksin semata-mata, ianya dipengaruhi oleh persekitaran, pemakanan dan kesihatan spiritual. Hidup mati pun Allah yang tentukan. Cuma Islam memberi ruang berikhtiar bagi menjamin kehidupan yang lebih sempurna dan sihat. Semasa negara merdeka, jangka hayat penduduk negara kita adalah 55.8 tahun. Setelah kita menjalani kehidupan yang lebih sihat dan mengamalkan penjagan kesihatan yang optimum sesuai dengan kecanggihan sains dan teknologi, jangka hayat rakyat malaysia sekarang (data 2014) sudah meningkat kepada 74.2 tahun.

Jika kaji secara khusus, jumlah kematian akibat dari penyakit berjangkit turun secara mendadak setelah pemberian vaksin-vaksin yang spesifik seperti Pertusis, Difteria dan sebagainya (10 jenis vaksin spesik yang diwajibkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia).

Berikut adalah beberapa fakta kejayaan penjagaan kesihatan optimum melalui vaksin:

1. Pada tahun 1990, seramai 45 juta kanak-kanak menghidap campak dan penyakit ini menyebabkan sejuta kematian. Sebelum adanya vaksin MMR, beguk merupakan sebab utama jangkitan virus di selaput otak (meningitis) dan cacat pendengaran pada kanak-kanak.

2. Sebelum vaksin rubela diperkenalkan di Amerika Syarikat (AS), setiap tahun seramai 20,000 kanak-kanak telah dilahirkan dengan Sindrom Kongenital Rubela yang menyebabkan kecacatan jantung, cacat pendengaran dan kecacatan mental pada bayi yang baru dilahirkan.

3. Negara Jepun telah berhenti menggunakannya vaksin Pertusis pada tahun 1975. Akibatnya, terdapat 13,000 kes batuk kokol serta 113 kematian. Sebelum tahun 1975, hanya terdapat 400 kes dan tiada seorang pun kanak-kanak yang mati akibat vaksin pertusis!

Saya kesian kepada segelintir dari pembaca ruang maya kerana mereka termakan dengan pemikiran beberapa golongan yang tidak bertanggungjawab dengan membesarkan isu keselamatan vaksin ini. Sesungguhnya pemikiran ini boleh membuahkan pegangan yang mungkin akan memunahkan zuriat kita sendiri. Mereka terlalu mementingkan diri sendiri tanpa melihat kemashlahatan orang ramai. Pemikiran yang sedemikian boleh membuka ruang merebaknya penyakit jika liputan imunisasi tidak optimum.

Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga - HARAKAHDAILY 24/10/2017