Telur kurangkan strok

Gaya Hidup
Typography

TERSEBAR tulisan yang popular dan menjanjikan harapan tinggi kepada penggemar telur.
"Sebiji telur sehari boleh mengurangkan kematian akibat stroke sebanyak 12% - Bukti kajian ke atas 300,000 orang." ~Epidstat Institute, Washington (2015)

Laporan kajian berkenaan adalah hasil dari analisa Meta yang mengumpulkan beberapa kajian yang tertentu berkaitan telur dan risiko strok / sakit jantung. Ianya salah satu teknik penulisan yang baik kerana membuat kesimpulan secara kolektif atas beberapa kajian yang telah dijalankan. Cuma kaedah pengambilan kajian kohort dalam analisa meta ini, agak terkongkong dengan penemuan satu jalur, tanpa melihat sisi jalur yang lain. Bagi pengkaji yang mahir statistik faham apa yang saya maksudkan ini.

drsuhazeli1Mari kita lihat kajian tersebut secara ulasan statistik. Pengumpulan data responden kajian yang mencecah kepada 300,000 ini, mencari hubung kait antara pesakit yang mengalami sama ada strok atau serangan jantung. Dari sejumlah kedua-dua lorong penyakit tersebut, mereka melihat berapa ramai yang memakan telur sebiji sehari dan dua biji seminggu. Hanya dua lorong cerapan sahaja. Mereka dapati pengambilan telur 1 biji/sehari berbanding 2 biji/seminggu boleh mengurangkan kematian strok (fatal stroke) sebanyak 12%. Manakala kajian yang dipetik itu tidak menunjukkan hubungkait antara pengambilan telur dengan kejadian sakit jantung, sama ada 1 biji/sehari atau 2 biji/seminggu.[1]

Kesimpulan pengkaji yang dibuat dalam kajian meta analisa tersebut adalah:

1) Pengkaji bersetuju dan menyokong bahawa telur adalah satu makanan yang berzat dan sihat. Walau bagaimanapun para pengkaji tidak melihat kepada keseluruhan menu makanan lain yang diambil oleh subjek kajian. Begitu juga kaedah sajian telur tidak disebutkan, goreng ke, rebus ke, masak lemak ke atau sebagainya. Mereka hanya mengkaji sama ada sebiji telur sehari atau 2 biji seminggu sahaja. Justeru tidak diketahui status responden yang memakan 2 biji sehari, atau lapan biji sehari, masak separuh atau masak penuh atau jumlah-jumlah yang lain. Sama ada mengurangkan risiko strok juga atau tidak.

2) Para pengkaji juga tidak dapat menemui bukti berapa jumlah yang sepatutnya telur dimakan oleh setiap individu bagi mengurangkan risiko kematian atau penyakit. Ini kerana kajian yang dijalankan itu tidak boleh membuktikan hubungkait sebenar berdasarkan faktor-faktor lain yang boleh menjadi risiko sampingan (confounding factors), seperti merokok, gemuk, jantina, umur dan aktiviti sukan setiap responden.

3) Telur adalah sumber yang bagus untuk protein, vitamin, garam galian. Mengambilnya dalam menu seharian anda boleh memberi kesan positif dalam kehidupan.

Jika diteliti lanjut, kajian yang dijalankan itu telah mendapat tajaan besar dari Pusat Nutrisi Telur Amerika. Berlaku konflik kepentingan antara kaedah kajian dan keputusan kajian yang ditulis. Sudah tentu ianya akan menyokong pusat berkenaan bagi melariskan jualan.

Akhirnya kajian tersebut seolah-olah tidak signifikan.

Untuk pengetahuan bersama, kaitan telur dengan kandungan kolesterol menjadi perdebatan hangat sejak sekian lama. Ini kerana tekstur kuningnya memberi persepsi bahawa ianya adalah kolesterol atau lemak. Pemikiran kita selama ini telur adalah makanan yang banyak kolesterol, sebenarnya tidak. Sedangkan kajian terkini mendapati kandungan kolesterol di dalam makanan tidak memberikan kesan negatif kepada tubuh kerana kebanyakan kolesterol terbentuk di hati (liver). Boleh baca tulisan lanjut oleh laman Root of Science.[2]

Boleh simpulkan di sini, jumlah telur semata-mata tidak menjamin anda berisko dihinggapi penyakit. Faktor-faktor lain boleh mempengaruhi. Makanlah dengan sederhana, jangan berlebihan. Kekalkan gaya hidup sihat senantiasa. Katakan tidak kepada rokok. Nyatakan kebencian anda kepada perangai peminum arak atau golongan yang menganjurkan arak berleluasa. Kerana ianya merosakkan diri anda sebagai aset berguna negara.

Sekian Semoga Bermanfaat

Suhazeli Abdullah
Fb.com/drsuhazeli
15.10.2017
Kuala Berang

Pautan
[1] Alexander DD, Miller PE, Vargas AJ, et al. Meta-analysis of Egg Consumption and Risk of Coronary Heart Disease and Stroke. Journal of the American College of Nutrition. Published online October 6 2016.
[2] Root of Science. Kolesterol dalam makanan tidak akan meningkatkan kolesterol dalam badan http://rootofscience.com/…/kolesterol-dalam-makanan-tidak-…/
[2] Review from NHS UK. https://www.nhs.uk/…/eating-one-egg-a-day-may-lower-risk-o…/