Saringan penyakit

Gaya Hidup
Typography

KISAH semalam masih lekat sampai hari ni. Satu keluarga yang dijemput datang klinik bagi laksanakan saringan hubung-kait (contact tracing) penyakit. Saringan ini wajib dilakukan jika salah seorang dari waris terdekat menghidapi penyakit berjangkit seperti tuberkulosis, difteria, denggi dan lain-lain penyakit berbahaya. Bertujuan mengenal pasti tanda-tanda ahli keluarga lain sama ada dijangkiti sama atau tidak. Jika positif, rawatan segera akan dijalankan.

Kefahaman, gaya hidup, sikap (health seeking behaviour) dan bagaimana mendapatkan akses kesihatan memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan individu serta masyarakat. Jika health seeking behavior itu rendah, terlalu sukar para petugas kesihatan untuk memberi penerangan, kaunseling serta rawatan yang sepatutnya.

Keluarga Ahmad (bukan nama sebenar) ini bukannya dari golongan tidak berkemampuan atau tidak berpelajaran. Malah Ahmad dan isterinya sendiri bekerja sebagai jurutera syarikat besar negara. Tetapi dek kerana sikap mereka yang menolak seratus peratus perubatan moden dan segalanya mengharap penyembuhan alami, mereka agak keberatan untuk dijalankan contact tracing ini.

Anak bongsu mereka (10 tahun) disahkan pengidap TB kahak positif. Besar kemungkinan berjangkit dari atuk yang pernah dirawat penyakit TB setahun lepas. Rekod perubatan mendapati kesemua lima anak Ahmad tidak divaksinkan lengkap. Hatta BCG (vaksin cegah TB) pun tidak diberikan.

Bermula dari pendaftaran contact tracing, buka kad, jumpa doktor hingga ujian mantoux, kesemuanya merumitkan kami. Bahasa mudah agak fussy.

Setiap langkah ujian ‘disoal' walaupun penerangan panjang lebar telah diberikan. Bahagian paling tragis adalah ujian mantoux. Kami dituduh agen Yahudi kerana ingin cucuk tuberkulin (mantoux test). Katanya tuberkulin itu sejenis vaksin yang diagendakan oleh barat. Semuanya arahan zionis Yahudi.

Kami kaget dan terkedu.

Suhazeli Abdullah
Fb.com/drsuhazeli
13.10.2017
Foto Dr Suhazeli Abdullah