Kita tak cukup zat makanan ke?

Foto hiasan.

Gaya Hidup
Typography

"DOKTOR, kita ni tak cukup zat makanan ke? Sebab selalu sahaja letih dan mengantuk. Kekadang kita tak sempat untuk makan dengan waktu teratur."

"Kak tinggal di kampung mana?"

drsuhazeli6"Akak lihat dalam handphone ni satu video yang sebut, kita ni perlu makan suplemen. Dia sebut makanan kita zaman sekarang ini tidak sihat kerana banyak racun dan teknik GMO. Makanan tiada zat, ubat rosakkan buah pinggang. Jadi wajib ambil suplemen seperti yang dia jual tu."

"Kak, kita ni hidup dalam negara yang maju kak, bukannya Somalia atau Eritrea. Makanan kita banyak zat dan cukup dalam jizi makanan seharian. Kecualilah kita ini berpenyakit yang disarankan oleh doktor untuk ambil segala jenis vitamin itu."

"Tapi doktor yang jual tu doktor juga? Macam mana ni?"

Dari sudut perubatan, suplemen tidak diperlukan kecuali para pesakit yang disarankan oleh doktor yang berwibawa. Doktor yang tiada konflik kepentingan dalam memberikan suplemen. Sistem Kesihatan Kebangsaan United Kingdom menyarankan hanya terdapat kes-kes tertentu yang memerlukan suplemen.

Sistem kesihatan dalam negara kita pun begitu. Contohnya zat besi, asid folik diberikan kepada ibu hamil, vitamin D untuk pesakit buah pinggang dan beberapa lagi. Pendeknya hanya doktor yang menyarankan pengambilan suplemen berdasarkan indikasi khusus. Pemberian suplemen bukannya diberikan secara semberono tanpa keperluan yang mendesak.

Kita lihat negara kita adalah berlebihan dalam makan. Negara kita pun dikategorikan dalam 10 negara tertinggi dunia bermasalah gemuk. Bahkan Malaysia adalah negara tertinggi bilangan penduduk yang gemuk di Asia Tenggara.

Badan Kesihatan Sedunia menyatakan bahawa rakyat Malaysia gemuk sebanyak 50.2 peratus. Amat membimbangkan kita. Ini kerana gemuk adalah risiko utama kepada penyakit-penyakit gaya hidup seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung dan pelbagai lagi. Ini bermakna rakyat Malaysia sememangnya makan lebih dari mencukupi. Suplemen tidak diperlukan. Sudah berlebihan keperluan suplemen dalam bentuk makanan.

Setengah pihak mendakwa bahawa suplemen itu ubat untuk merawat penyakit. Kefahaman itu salah. Suplemen adalah makanan tambahan, bukannya ubat. Makanan tambahan hanya diberikan kepada individu yang memang memerlukan seperti arahan doktor. Bukan semua orang. Jangan cuba kelirukan masyarakat dengan teori bagai.

Keperluan zat suplemen yang terdapat dalam jizi pemakanan rakyat negara kita pun sudah mencukupi untuk masyarakat secara umum. Zat magnesium, kalsium, vitamin C, potasium, zink dan pelbagai lagi itu sudah mencukupi dalam resepi masakan pagi, tengah hari dan malam.

Andaikata kita sibuk sekalipun, tidak berkesempatan untuk makan secara teratur, masih lagi memadai zat-zat itu diambil semula ketika kita makan dalam sela waktu tertentu. Kita bukannya negara kebulur seperti Somalia, Sudan atau negara Afrika lain yang rakyatnya BMI cekeding.

Bayangkan, majlis kerajaan tempatan pernah mencatatkan setiap kali Ramadhan rakyat Malaysia membuang sisa makanan yang tidak terusik sebanyak 270,000 tan setiap tahun atau lebih kurang 9,000 tan sehari. Jika diagihkan kepada fakir miskin, seramai 180 juta orang fakir miskin boleh mendapat manfaat lebihan makanan tersebut. Betapa mewah dan perangai syaitan membazirnya kita.

Kalau kita mengatakan bahawa terdapat orang miskin dalam negara kita memerlukan suplemen sebab mereka kurang zat makanan setiap hari, saya cadangkan duit untuk beli suplemen itu didermakan kepada mereka. Pembelian suplemen hanya orang kaya. Kos sesatu pakej suplemen bukan seringgit dua, malah ada yang dijual ribu riban. – HARAKAHDAILY 2/5/2019