Kembangkan potensi Terengganu Bike Week

Gaya Hidup
Typography
TAHNIAH kepada penganjur dan kerajaan negeri kerana telah berjaya menganjurkan Terengganu Bike Week 2019. Satu acara yang baik dan mendapat sambutan dari pelbagai pihak khususnya dari peminat-peminat motosikal dari pelbagai kategori yang datang dari seluruh negara dan dari negara negara jiran, antaranya Honda Gold Wing Club Singapore. Lebih 300 motosikal berkuasa tinggi dari pelbagai jenis telah hadir di Kuala Terengganu dengan setiap satu antaranya saya difahamkan berharga lebih RM260,000 sebuah.
 
Kebanyakan kelab-kelab motosikal berkuasa tinggi yang datang berhimpun di Dataran Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu dianggotai oleh tokoh-tokoh korporat yang berpengaruh dan telah menyumbang kepada ekonomi setempat di kawasan mereka. Ucapan tahniah saya rakamkan atas keperihatinan dan sumbangan mereka kepada masyarakat setempat. 
 
Melihat kepada perjalanan program, saya kira ada penambahbaikan yang perlu dilakukan dalam memperelokkan lagi program ini. 
 
Antara yang menarik perhatian saya adalah kesesuaian lokasi atau tapak program ini dijalankan. Dataran Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu yang merupakan tapak Terengganu Bike Week 2019 ini terletak berdekatan dengan Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu telah menimbulkan rungutan dari keluarga pesakit yang di tempatkan di HSNZ khususnya dari pesakit kronik yang perlu kepada ketenangan dan keselesaan. Saya kira ini perlukan perhatian. Rungutan timbul ekoran masalah bunyi bising yang sedikit mengganggu keselesaan pesakit. Umum mengetahui kebanyakan motosikal berkuasa tinggi mengeluarkan bunyi yang agak kuat apatah lagi bagi yang telah melakukan modifikasi bunyi.
 
Saya mengambil berat pandangan-pandangan yang disuarakan oleh banyak pihak yang memberi pelbagai pandangan dan cadangan berkenaan dengan program tersebut. 
 
Susulan itu saya telah segera berhubung dengan pelbagai pihak antaranya Dato' Seri Ismail Ahmad, Pengerusi Kelab Motor Muda JPJ (mantan Ketua Pengarah JPJ Malaysia) yang mempunyai hubungan rapat dengan pelbagai kelab permotoran di seluruh negara bagi membincangkan solusi untuk permasalahan ini. Beliau juga sangat perihatin tentang kebajikan pengadu khususnya ahli keluarga dan pesakit sendiri yang di tempatkan di HSNZ. 
 
Beliau juga percaya yang para peserta Terengganu Bike Week 2019 juga terbuka tentang permasalahan ini kerana sebahagian besar peserta terdiri daripada mereka-mereka yang telah berjaya, sangat matang serta memahami aspirasi dan datang dengan tujuan yang baik. Beliau memahami keadaan ini serta potensi yang ada pada program Terengganu Bike Week 2019. Ia bukan sekadar untuk berhimpun malah dapat dikembangkan lagi dengan mengatur pelbagai agenda untuk kebaikan bersama. 
 
Dalam menjayakan agenda ini, Dataran Pantai Batu Burok dilihat agak kurang sesuai kerana keterbatasan ruang, fasiliti dan kesesuaiannya sendiri sebagai tempat berhimpun untuk program-program sebegini dan mungkin perlu ditimbangkan lokasi-lokasi yang baru untuk mengatasi kekurangan yang ada. 
 
Antara potensi yang dilihat untuk memberi nilai tambah kepada penganjuran program ini adalah seperti mewujudkan acara-acara atau program yang boleh membantu ekonomi warga Kuala Terengganu, mewujudkan peluang perniagaan serta memberi pendedahan kepada masyarakat berkenaan bidang permotoran. 
 
Antara lokasi yang telah disebut adalah Kompleks Sukan Sultan Zainal Abidin, Gong Badak yang mempunyai pelbagai fasiliti yang sesuai seperti kawasan yang luas, trek untuk perlumbaan dan sebagainya. Lokasi ini amat sesuai untuk diadakan pameran, ekspo dan pelbagai aktiviti outdoor lain. Booth dapat dibuka dengan pelbagai konsep,  antaranya dengan menjemput pengeluar motosikal berkuasa tinggi untuk mempamerkan teknologi permotoran mereka dan pelbagai lagi. Aktiviti outdoor pula mungkin boleh diadakan sprint  test dan pertunjukan berkait sukan permotoran dengan menjemput ikon ikon sukan permotoran negara sekali gus memberi pendedahan kepada anak muda tentang potensi sukan permotoran ini. Pendidikan keselamatan permotoran dan kempen pencegahan rempit dan pelbagai pengisian rohani boleh diaturkan dengan kreatif sehingga menarik anak-anak muda.
 
Antara lokasi lain yang boleh dipertimbangkan adalah di Pulau Warisan, Kuala Terengganu. Juga mempunyai kawasan yang amat luas sehingga ke Pesisir Payang dan mempunyai panorama yang agak indah untuk dilakukan aktiviti sebegini. Keluasan yang ada amatlah sesuai untuk dibina booth, gerai jualan dan tapak aktiviti lain. Ditambah dengan kawasan yang berlatarkan 'Drawbridge' yang telah menelan belanja wang rakyat yang cukup besar yg perlu dimanfaatkan , yang bakal siap dan menjadi mercu tanda bandaraya Kuala Terengganu. Ini sedikit sebanyak dapat memberi tarikan kepada pengunjung untuk menceritakan keindahan Kuala Terengganu sekali gus merancakkan industri perlancongan negeri. 
 
Jika program ini dianjurkan disini, ia sudah pasti dapat menjana pendapatan para peniaga Pasar Payang, para peniaga di Pulau Warisan dan pengusaha-pengusaha hotel serta homestay di Kuala Terengganu. 
 
Saya selaku Ahli Parlimen Kuala Terengganu sudah tentulah amat mengharapkan program ini dikekalkan di Parlimen Kuala Terengganu. Insya-Allah kita akan memanjangkan perbincangan ini bersama YB Ustaz Hj Arifin Deraman, Exco Pelancongan Negeri Terengganu. Semoga ianya dapat menambah baik program Kuala Terengganu Bike Week ini. 
 
Saya menyokong agar diteruskan program ini pada masa akan datang dengan usaha berterusan penambahbaikan agar ia menjadi program yang berkuali mempunyai kesan limpahan dan nilai tambah yang besar untuk negeri dan rakyat.
 
Kuala Terengganu yang telah terpilih sebagai ‘Kawasan Paling Gembira di Malaysia ‘ menurut Kajian Indeks Kebahagiaan Kebangsaan 2018 akan terus dipromosikan sebagai Bandaraya yang Bersih, Ceria dan Selamat.
 
Saya telah sempat bersama bikers ini di dalam program keraian berasingan yang melibatkan kelab motorsikal dari Kuala Lumpur, Pahang dan Singapura di kediaman Dato' Seri Ismail Ahmad, Pengerusi Kelab Motorsikal JPJ (mantan Ketua Pengarah JPJ Malaysia) di kediaman beliau di Kg Tok Jamal, Kuala Terengganu. Dalam pemerhatian saya, mereka yang hadir bukanlah seperti gambaran umum masyarakat terhadap mat mat motor yang suka enjoy semata-mata. Malah mereka amat ramah dan merendah diri. Malah ada juga para ustaz dikalangan mereka dan majlis dimulakan dengan doa dan sedikit tazkirah di kalangan mereka. Persepsi bahawa golongan mat motor hanya suka enjoy semata mata perlu diperbetulkan dan mereka juga mempunyai sisi positif yang mungkin kita terlepas pandang. Sebagai contoh, mereka berkonvoi beramai-ramai dan melakukan khidmat sosial mereka dengan menghulurkan sumbangan dan khidmat sosial di persinggahan mereka. Mereka juga merupakan yang telah dianugerahkan oleh Allah S.W.T kemurahan rezeki dan kejayaan serta kelebihan untuk dikongsi bersama masyarakat.
 
HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen
Kuala Terenggganu 
5 April 2019 - HARAKAHDAILY 5/4/2019
IMG 20190405 WA0017
 
IMG 20190405 WA0016
 
IMG 20190405 WA0015
 
IMG 20190405 WA0006