Sidebar

Nabi Ibrahim ikon semangat cekal dan sabar

Fikrah
Typography

SESUNGGUNYA selawat ialah memohon rahmat yang begitu banyak dimiliki oleh Nabi SAW sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud : "Dan tidak Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam." (Surah al-Anbiya ayat 107).

Nabi SAW menjadi punca rahmat kepada semesta alam, kemudian orang beriman diajar supaya mohon agar perbanyakkan lagi rahmat kepada Nabi SAW Tidak memadakah rahmat yang ada pada Rasulullah SAW itu?. Justeru tiada manusia yang merasa cukup bahkan jika ditanya Nabi SAW sendiri pun tidak merasa cukup dengan rahmat yang Allah SWT kurniakan.{mprestriction ids="1,2,3,4,5"}

Jika ada juga yang merasa cukup dengan rahmat yang diterimanya, nyatalah akal fikiran manusia itu kurang waras. Bagi Nabi s.a.w. seorang Nabi yang benar-benar arif dan mendalam makrifatnya mengenai Allah SWT, sebanyak mana rahmat yang dikurniakan padanya maka sebanyak itu pula beliau menghendaki berlipat kali ganda.

Dan dia berharap umatnya berdoa, agar dikurniakan rahmat Allah SWT lagi. Anjuran berselawat bertujuan supaya umatnya sentiasa sayang kepadanya. Apa ertinya berdoa agar Nabi s.a.w. dikurniakan rahmat lagi jika Nabi s.a.w. itu bukan dari orang yang disayangi? Jika tidak sayang kepada Nabi s.a.w. nyatalah dia bukan umat Nabi berkenaan.

Bukti sayang ialah sentiasa berselawat agar Allah SWT tambah lagi rahmat kepada Nabi yang disayangi, malah Nabi menganjurkan dirinya lebih disayangi sebagaimana sabdanya yang bermaksud: "Kamu tidak menjadi mukmin sehingga aku lebih disayangi berbanding ibu bapamu, anakmu dan sayang kepada barang lain sepenuh dunia."

Selagi benda lain lebih disayangi dari Nabi s.a.w. bererti tidak beriman, mereka yang merasa diri mukmin itu hanya perasan sahaja, pada hakikatnya tidak mukmin. Berselawat kepada Nabi s.a.w. adalah tanda sayang kepadanya. Diminta lebih sayang kepada Nabi berbanding ibu bapa, kerana ibu bapa hanya tolong pelihara setakat di dunia sahaja. Kehidupan manusia berterusan hingga ke alam kubur dan seterusnya akhirat.

Yang boleh menolong ketika itu hanya Nabi Muhammad s.a.w. Tetapi untuk mendapat pertolongannya sesaorang itu mesti patuh kepada ajarannya ketika hidup di dunia. Jika di dunia derhaka kepadanya. Setelah berada di alam barzakh tidak mungkin boleh berkira dengannya, kerana alam barzakh sudah termasuk alam pembalasan.

Keselamatan manusia di alam barzakh dan juga di padang Mahsyar, bergantung bulat-bulat kepada syafaat Nabi s.a.w., di sini lebihnya Nabi Muhammad s.a.w. berbanding dengan ibu bapa kita. Ibu bapa hanya boleh mengiringi kita setakat ke kubur sahaja, lepas itu mereka pulang ke rumah dalam keadaan kita terbaring seorang diri dalam kubur.

Nabi Muhammad s.a.w. ajar umatnya di dunia ini tentang akidah dan syariat Islam, kesan dari ajaran itu akan sejahtera di alam kubur dan seterusnya di akhirat. Manakala di akhirat Allah SWT beri seperkara lagi yang dinamakan 'syafaat', sesungguhnya syafaat Nabi s.a.w. akan sampai kepada kita sekiranya di dunia benar-benar mentaati ajaran syariatnya.

Kemudian kita mohon supaya Allah SWT beri rahmat kepada Nabi s.a.w. dan ahli keluarganya sama seperti rahmat yang Allah SWT kurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s. Apakah kaitannya hingga Nabi Ibrahim dijadikan sandaran dan ukuran dari segi rahmat Allah SWT.

Nabi Ibrahim a.s. terkehadapan dari segi kecekalan dan kesabaran dalam kalangan para nabi,  misalnya syariat qurban yang berpunca kecekalan Ibrahim yang diperintahkan supaya menyembelih satu-satunya putera kesayangannya. Hanya berdasarkan arahan dari sebuah mimpi. Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud : "Tatkalah keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya).

"Dan Kami panggillah dia: "Hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu," sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang berbuat baik. "Sesungguhnya ini benar benar suatu ujian yang nyata," (Surah As-Soffat ayat 103 hingga 106.

Berdasarkan ayat di atas itu ternyata Nabi Ibrahim bersungguh melaksanakan arahan Allah SWT yang sangat berat itu, walaupun ia arahan Tuhan sekadar melalui mimpi. Tetapi Nabi Ibrahim yakin bahawa mimpi itu adalah perintah Allah SWT yang diimaninya, dengan kesungguhan itu Nabi Ibrahim melepasi ujian yang berat itu. Hingga sembelihan telah diganti oleh Allah SWT dengan seekor haiwan.

Ibadah kurban bersumberkan peristiwa kecekalan Nabi Ibrahim yang menjadi syariat Nabi Muhammad s.a.w. Oleh yang demikian apabila melakukan ibadah kurban, jangan semata mata hanya melihat darah yang tumpah dari sembelihan haiwan kurban itu. Sebaliknya peri hidup kembali ke sejarah Nabi Ibrahim a.s. sebagai insan yang paling setia, cekal dan sabar menghadapi ujian Allah SWT.

Mudah-mudahan kesetiaan dan kecekalan Nabi Ibrahim a.s. akan menjangkit kepada diri kita sebagai umat Muhammad s.a.w. Sekurang-kurangnya pada setiap tibanya hari raya kurban. Mengingati peristiwa hebat itu setiap kali kita melakukan korban, atau ketika menikmati hidangan daging yang dikurbankan orang lain. Perturunkan semangat kecekalan dan kesabaran menghadapi ujian Allah SWT, yang ada pada datuk kita Nabi Ibrahim a.s.{/mprestriction}