MRT2 : Implikasi keputusan Kementerian Kewangan

Nasional
Typography

KEMENTERIAN Kewangan telah membuat keputusan untuk membuka semula tender terbuka di peringkat antarabangsa bagi kerja-kerja bawah tanah MRT2 yang belum disiapkan.

Keputusan tersebut didedahkan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan bertarikh 7 Oktober 2018 (Ahad) yang lalu. Semua kerja bawah tanah telah ditamatkan ekoran kegagalan untuk mencapai persetujuan dan penyelesaian kos antara Kerajaan Persekutuan dan MMC-Gamuda.

Terdahulu, pihak Kementerian Kewangan telah menerima tawaran daripada MMC-Gamuda untuk mengurangkan kos kerja-kerja pembinaan MRT2 atas tanah daripada kos asal bernilai RM22.64 bilion kepada RM17.42 bilion.

Pengurangan sebanyak RM5.22 bilion atau 23% berjaya dicapai setelah merasionalisasi skop kerja dan menukar model kerja daripada Rakan Pelaksana Projek (PDP) kepada turnkey contract tunggal.

Menurut jawapan balas daripada pihak MMC-Gamuda, pihaknya telah menawarkan pengurangan sebanyak RM2.3 bilion atau 24% bagi kerja-kerja pembinaan MRT2 bawah tanah. Perbincangan awal telah dilakukan dengan Kementerian Kewangan sejak dua bulan lalu.

Namun, Kementerian Kewangan hanya bersetuju dengan tawaran pembinaan kerja-kerja atas tanah dan sistem sahaja. Kerja-kerja bawah tanah yang telah disiapkan menjangkau 40%, manakala baki yang masih belum diselesaikan adalah bernilai RM 9.6 bilion lagi.

Akibat daripada penamatan kontrak kerja-kerja bawah tanah ini, seramai lebih 20,000 tenaga kerja daripada 600 syarikat pembekalan di Malaysia telah kehilangan kerja. Kira-kira 60% daripada 3,000 pekerja tersebut adalah kakitangan bumiputera MMC-Gamuda sendiri.

Sementara itu, pihak MMC-Gamuda juga turut akan terdedah dengan tindakan undang-undang daripada pelbagai pihak disebabkan oleh penamatan kontrak yang bukan kerana kesalahan mereka sendiri.

Pihak MMC-Gamuda juga layak untuk menuntut sejumlah pampasan yang wajar daripada Kementerian Kewangan merangkumi pampasan penamatan kerja-kerja yang telah disiapkan, kos-kos pembinaan, pra tempahan input-input pembinaan, penyelenggaraan pembinaan dan beberapa fi yang lain.

MRT2 adalah projek strategik pengangkutan rel awam di kawasan berkepadatan tinggi di Lembah Klang yang menghubungkan jajaran Sungai Buloh, Serdang dan Putrajaya. Projek ini telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 26 Februari 2014 dan MRT Corporation yang merupakan syarikat milik penuh Kementerian Kewangan dilantik sebagai pemilik dan pengurus.

Jemaah Menteri juga bersetuju untuk melantik MMC-Gamuda sebagai project delivery partner (PDP) untuk melaksanakan projek ini dengan jumlah keseluruhan kos bernilai RM56.39 bilion. – HARAKAHDAILY 9/10/2018