PAS cukup berpengalaman sebagai pembangkang

Nasional
Typography
SHAH ALAM: Belum pernah berlaku dalam sejarah politik apabila pembangkang menyerang sesama pembangkang melainkan hanya di Malaysia, demikian sindir Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.
 
Katanya, PAS yang turut berada di posis pembangkang telah diserang daripada pelbagai sudut oleh pihak lawan politik termasuk juga daripada kalangan pembangkang lain.
 
Beliau berucap demikian dalam perasmiannya pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Selangor, Fastaqim 2.4 di Kompleks Sukan Seksyen 17, di sini pagi ini.
 
Pun begitu, tegas Ahli Parlimen Bukit Gantang tersebut, PAS sebenarnya telah begitu matang dalam mendepani pertarungan pilihan raya sepanjang 67 tahun parti Islam itu ditubuhkan.
 
"(Sudah) 13 kali pilihan raya (lawan Umno), cuma sekali sahaja kita tak lawan Umno iaitu pada tahun 1974, PAS terlibat dalam Kerajaan Campuran.
 
"Waktu dia (Tun Dr Mahathir Mohamad) memimpin selama 22 tahun pun kita lawan, dia jadi pembangkang baru dua, tiga hari tak kan kita tak lawan.
 
"Sebab itu ada orang nak mengajar PAS menjadi pembangkang lawan Umno, padahal dia itu baru sehari dua keluar daripada Umno.
 
"Nak belajar lawan Umno, kena belajar dengan PAS," katanya merujuk serangan Pengerusi Pakatan Harapan yang saban hari menyerang PAS.
 
Sempena himpunan tersebut juga, beliau telah melancarkan Infaq Pilihan Raya Fastaqim 2.4 ke arah mengukuhkan dana PAS memasuki gerbang PRU14. - HARAKAHDAILY 21/1/2018