Minyak naik: Apa makna 'Di sini Lahirnya Sebuah Cinta'

HARAKAHDAILY | 02 Oktober 2014

IMAGE

APA maknanya slogan '1Malaysia' dan 'Di sini Lahirnya Sebuah Cinta' apabila rakyat hidup dicengkam derita.

PERISTIWA

Please update your Flash Player to view content.

ENGLISH SECTION

Please update your Flash Player to view content.

“Help me ensure no one starves in M’sia”

Harakahdaily | 30 September 2014

A man came out from his car and took out two large plastic bags. He and his colleague brought the three of us from Harakah to a flat in Puchong. He called out a name several times and woman’s voice...

Kepentingan kerajaan yang beramanah dan adil

Ahmad Safuan Bin Zakaria .

Artikel ini merupakan pemenang sagu hati pertandingan menulis esei berdasarkan ayat al-Quran Surah an-Nisa ayat 58.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran:

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.” (Surah an-Nisa : ayat 58)


Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT memerintahkan kepada seluruh umatnya agar melakukan amanah dalam setiap perkara. Selain itu, ayat ini juga menekankan tentang betapa pentingnya berlaku adil. Secara keseluruhannya ia berkaitan dengan sistem pemerintahan yang mengikut syariat Allah SWT. Dalam pembentukan sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan Islam, kedua-dua eleman ini cukup-cukup penting dalam memastikan keharmonian dan kedamaian dapat dicapai. Penulisan saya akan berkisarkan tentang dua perkara ini iaitu mengenai Amanah dan Adil.

Kepentingan amanah dalam pemerintahan sebuah negara

Apakah yang dimaksudkan dengan Amanah? Maksud amanah dari segi perkataan ialah tenteram, aman, selamat dan harmoni. Manakala dari segi istilah pula ialah menghargai kepercayaan orang lain terhadap diri seseorang dengan melakukan tanggungjawab yang diberikan berdasarkan kepercayaan yang dipikul dibahunya. Secara tuntasnya dapatlah disimpulkan bahawa amanah ialah satu sistem kepercayaan yang diberikan kepada seseorang yang dipercayai dan diyakini bahawa ia dapat melaksanakan segala tuntutan sebagaimana yang dituntut. Terdapat tiga jenis amanah iaitu:

1. Amanah kepada Allah dan Rasul
2. Amanah kepada diri sendiri.
3. Amanah kepada masyarakat dan perkhidmatan.

Dalam pembentukan sebuah kerajaan yang beramanah dan adil, perlu ada pemimpin yang memenuhi ketiga-tiga jenis amanah ini. Hal ini kerana ketiga-tiga jenis amanah ini dapat menjadikan seseorang individu yang tawaduk serta taat terhadap segala perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Dalam sebuah hadis, Nabi ada meriwayatkan tentang sifat amanah ini iaitu:

“Daripada Abu Hurairah RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, Tanda-tanda orang munafik ada tiga, apabila bercakap ia berbohong, apabila berjanji ia mungkir janji dan apabila diberi amanah ia khianat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


1. Amanah kepada Allah dan Rasul
Sebagai hamba dan khalifah di muka bumi ini, manusia perlu melakukan segala perintah-Nya. Sebagai hamba, tanggungjawab yang wajib dilaksanakan ialah untuk patuh ,taat dan tunduk kepada-Nya. Segala perintah-Nya wajib dilaksanakan dan segala larangan-Nya wajib juga untuk dihindari. Jika ia dapat dilaksanakan, maka lengkaplah tanggungjawab kita selaku hamba-Nya. Manakala sebagai khalifah pula, kita bertanggungjawab untuk membangunkan dan mentadbir muka bumi ini berdasarkan syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Sehubungan dengan itu, amanah manusia terhadap Allah SWT ini perlulah untuk dilaksanakan terlebih dahulu bagi setiap insan amnya dan khususnya para pemimpin.

Manakala amanah kepada Rasul pula ialah melaksanakan segala tanggungjawab berpandukan sunnah Rasulullah SAW. Segala perkataan, perbuatan dan pengakuan Rasulullah SAW perlulah dicontohi dan dijadikan panduan dalam sistem pemerintahan.

2. Amanah kepada diri sendiri.
Amanah kepada diri sendiri merangkumi amanah terhadap setiap anggota tubuh badan yang dimiliki. Segala anggota tubuh badan yang dikurniakan oleh Allah SWT ini merupakan amanah yang wajib bagi kita setiap hamba untuk jaganya dengan penuh amanah.

Mulut yang dikurniakan perlulah dijaganya dengan tujuan yang baik dan tidak menggunakannya untuk mengumpat atau memfitnah orang lain. Mata juga perlulah dijaga daripada melihat benda-benda yang diharamkannya. Begitu juga dengan tangan, kaki dan anggota badan yang lain. Kesemua amanah ini wajib bagi kita untuk menjaganya.

3. Amanah kepada masyarakat dan perkhidmatan.
Kehidupan manusia di muka bumi ini adalah bermasyarakat. Apabila bermasyarakat, maka manusia berkehendakkan kepada saling bergantung di antara satu sama lain. Seorang pesakit bergantung kepada doktor untuk merawat dan mengubati penyakit yang dihadapi, seorang murid bergantung kepada guru untuk mendidik dan menyampaikan ilmu kepada dirinya dan seorang rakyat bergantung kepada pemimpinnya untuk mentadbir sebuah negara agar kebajikan rakyat dapat dibela dengan seadil-adilnya.

Apabila pergantungan itu dikaitkan dengan perkhidmatan, setiap orang diwajibkan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua orang. Perkhidmatan yang baik adalah yang dilaksanakan dengan jujur dan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang pujian atau ganjaran. Apabila perkhidmatan yang diberikan adalah beramanah, maka sebarang perbuatan khianat mahupun penyelewengan dapat dihindarkan.

Kesimpulannya, dalam pembentukan sebuah kerajaan yang beramanah dan adil, sifat amanah ini perlulah ditanam dalam diri semua orang terutamanya para pemimpin kerana merekalah yang akan mentadbir negara. Jika sifat amanah ini tiada dalam diri para pemimpin, maka negara akan menjadi tidak terurus dan rasuah akan mudah berlaku.

Mari kita renung bersama dan menyorot kembali kisah Khalifah Umar Bin Abdul Aziz yang sangat beramanah ketika memerintah negara. Pada suatu malam ketika beliau sedang tekun menyiapkan kerja rasminya dalam bilik istana, tiba-tiba salah seorang puteranya telah masuk untuk membincangkan suatu hal yang berhubung dengan urusan keluarga. Setelah puteranya duduk, beliau pun memadamkan lampu yang berada di atas mejanya, yang digunakan ketika bekerja pada malam itu. Puteranya merasa hairan lalu bertanya.

"Kenapa ayahanda padamkan lampu ini? Bukankah lebih baik kita berbincang di bawah cahaya lampu yang terang?"

Khalifah Umar menjawab, "Benar katamu wahai anakkku, tetapi engkau harus ingat, lampu yang sedang ayahanda gunakan untuk bekerja sebentar tadi adalah kepunyaan Kerajaan, minyak yang digunakan itu dibeli dengan wang Kerajaan, sedangkan perkara yang hendak kita bincangkan ini adalah urusan keluarga."

Kemudian beliau menyuruh seorang pelayan supaya membawa lampu yang lain dari dalam biliknya. Setelah lampu itu dinyalakan maka ia pun berkata kepada puteranya:

“Sekarang lampu yang baru kita nyalakan ini adalah kepunyaan keluarga kita, minyaknya pun kita beli dengan wang kita sendiri. Sila kemukan apa yang anakanda hendak bincangkan dengan ayahanda”.

Kepentingan berlaku adil dalam pemerintahan sebuah negara

Apakah itu adil? Adil dari segi bahasa ialah sama rata di antara dua perkara. Manakala menurut istilah ialah meletakkan sesuatu itu pada tempatnya. Ia bermakna segala apa yang kita lakukan sama ada terhadap orang mahupun barangan atau sesuatu perkara jika diletakkan pada tempat yang betul, maka ia adalah adil.

Seperti contoh pihak kerajaan mahu memberi bantuan kepada dua buah keluarga. Keluarga pertama hanya mempunyai seorang anak, manakala keluarga yang kedua mempunyai empat orang anak. Jika kerajaan atau pemerintah mahu memberi bantuan kewangan, jumlah yang diberikan perlulah sesuai dengan jumlah ahli dalam sesebuah keluarga itu. Jika pihak kerajaan memberikan RM300 pada keluarga pertama, maka keluarga kedua perlulah mendapat bantuan yang lebih banyak daripada RM300 tersebut. Hal ini kerana tanggungan yang perlu ditanggung oleh keluarga kedua adalah lebih besar berbanding dengan keluarga pertama. Jika kedua-dua keluarga mendapat jumlah yang sama, maka ketidakadilan telah berlaku.

Terdapat banyak perintah yang telah Allah SWT turunkan melalui ayat al-Quran mengenai kepentingan berlaku adil ini, antaranya ialah di dalam surah An-Nisaa’ ayat ke 58 di atas.

Selain itu, Allah SWT berfirman, bermaksud:

“Maka jika salah satu keduanya teraniaya kepada yang lain, hendaklah kamu perangi (golongan) yang aniaya, hingga kembali kepada perintah Allah dan hendaklah perdamaikan antara keduanya dengan keadilan dan hendaklah kamu berlaku adil.” (Surah Al-Hujurat : ayat 9)

Melalui kedua-dua firman Allah SWT ini dapatlah kita fahami bahawa kepentingan berlaku adil sama ada dalam pemerintahan mahupun dalam kehidupan seharian amatlah ditekankan oleh Islam. Hal ini membuktikan bahawa setiap manusia wajib untuk berlaku adil terutamanya para pemimpin dalam sesebuah negara. Selain itu,Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda, bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang berlaku adil di sisi Allah akan menduduki beberapa mimbar yang diperbuat daripada cahaya. Mereka ialah orang-orang yang berlaku adil di dalam pemerintahan, ke atas keluarga dan apa-apa yang ditadbir oleh mereka.”


Tambahan pula, kedudukan sifat adil di dalam Islam adalah diletakkan di tempat yang tinggi. Pertama, sifat adil adalah salah satu sifat mahmudah atau sifat terpuji yang wajib diusahakan dan diperjuangkan agar setiap orang memilikinya. Seterusnya, sifat adil ini juga adalah salah satu akhlak yang mulia yang bersifat sejagat iaitu semua manusia berkehendak kepada keadilan atau suasana yang adil. Sifat adil itu juga lebih hampir kepada sifat takwa seperti yang difirmankan oleh Allah SWT, bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maidah : ayat 8)

Jelas disini bahawa sifat adil itu sangatlah penting bagi setiap manusia. Namun, sifat adil ini lebih diberatkan kepada pemimpin. Hal ini kerana merekalah yang akan memimpin, mentadbir dan mengurus manusia, ekonomi, sosial dan banyak lagi. Bagaimana jika pemimpin yang dilantik tidak berlaku adil? Sudah tentu negara akan menjadi huru hara dan berbagai masalah akan timbul. Sebaliknya juga akan berlaku sekiranya pemimpin yang dipilih adalah adil. Sudah tentu negara akan menjadi lebih maju, aman, damai serta bebas daripada gejala rasuah dan penyelewengan dalam pentadbiran negara.

Jika pemimpin sesebuah negara itu mengamalkan sifat adil ini, maka rakyat serta negara akan mendapat berkat dan rahmat daripada Allah SWT. Hal ini kerana pemimpin yang adil telah digolongkan dalam kalangan manusia yang akan mendapat perlindungan Allah SWT di padang mahsyar kelak. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Ada tujuh golongan yang Allah memberi perlindungan-Nya pada hari yang tiada perlindungan selain perlindungan-Nya. Mereka ialah pemimpin yang adil, pemuda yang sentiasa beribadah untuk Tuhannya, lelaki yang hatinya sentiasa berpaut dengan masjid, dua orang lelaki yang saling berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah pun kerana-Nya dan lelaki yang digoda oleh perempuan yang ada kedudukan dan kecantikan lalu dia berkata, `Aku takut kepada Allah, Tuhan sekalian alam` dan lelaki yang bersedekah secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya. Dan lelaki yang mengingati Allah sewaktu sunyi, lalu mengalir air matanya.” (Riwayat Bukhari)


Kesemua dalil serta hujah ini membuktikan kepada kita bahawa konsep keadilan itu sangat dituntut dalm Islam. Jika pemimpin itu adil, maka kesejahteraan sesebuah negara itu dapat diwujudkan. Hal ini kerana jika pemimpin itu adil,maka sudah tentu dirinya tidak akan terlibat dengan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT seperti rasuah, pecah amanah dan khianat.

Kesimpulan

Secara keselurahannya, berdasarkan ayat 58 dalam surah An-Nisaa’ ini dapatlah kita simpulkan bahawa sifat amanah serta adil sangat dititikberatkan dalam pembentukan sesebuah negara Islam. Jika kedua-dua sifat ini dapat diamalkan, Insya-Allah negara tersebut akan bertambah maju, makmur serta mendapat berkat serta rahmat daripada-Nya. Sesungguhnya kerahmatan yang diberikan oleh Allah SWT amat diperlukan oleh seluruh umat manusia bagi mendapat bekalan untuk dibawa ke dunia akhirat yang kekal abadi.


*Ahmad Safuan bin Zakaria, berasal dari Kampung Tengah, Parit, Perak Darul Ridzuan dan masih menuntut.