Muktamar PAS lulus usul mansuh Akta Hasutan

HARAKAHDAILY | 19 September 2014

IMAGE

MUKTAMAR Tahunan PAS Pusat kali ke-60 yang berlangsung di Parit Haji Salleh Ros hari ini meluluskan usul memansuhkan Akta Hasutan 1948.

PERISTIWA

Please update your Flash Player to view content.

ENGLISH SECTION

Please update your Flash Player to view content.

PAS reiterates commitment to Pakatan Rakyat, as long as it is not against Islam

Harakahdaily-TS | 18 September 2014

Delivering his policy speech at the PAS’ 60th Muktamar in Batu Pahat today, PAS president Tuan Guru Abdul Hadi Awang reiterates the Islamic party’s commitment to continue its political...

Pemimpin adil dan amanah disukai Allah dan manusia

Mohammad Suffian Fauzi .

Artikel ini merupakan pemenang sagu hati pertandingan menulis esei berdasarkan ayat al-Quran Surah an-Nisa ayat 58.

Firman ALLAH bermaksud:

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.” (Surah an-Nisa : ayat 58).

Pengenalan surah

Menurut  Ibnu Kathir, beliau telah menjelaskan bahawa selepas pembukaan kota Makkah pada tahun 8 Hijrah, Rasulullah SAW telah meminta kunci Kaabah daripada Usman bin Thalhah. Baginda membuka serta memasuki Kaabah. Setelah keluar daripadanya, Rasulullah SAW membaca ayat daripada petikan surah an-Nisa ini yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikannya”.

Baginda memanggil Usman bin Thalhah dan menyerahkan kunci Kaabah kepada beliau sambil bersabda yang bermaksud, “Ambillah kunci ini wahai Bani Thalhah dan akan kekal selama-lamanya di tangan kamu, tidak ada orang yang mengambilnya daripada kamu kecuali orang zalim”.

Menurut Ibnu Kathir, ramai ulama tafsir mengatakan bahawa ayat ini telah diturunkan kepada Usman bin Thalhah. Disebabkan itu, Rasulullah SAW menyerahkan kunci tersebut kepadanya.

Selepas kewafatan Usman pada pada tahun 42 Hijrah, beliau tidak mempunyai anak lalu kunci Kaabah telah diberikan kepada sepupunya iaitu Syaibah bin Usman bin Abi Thalhah. Kemudian anak-anak Syaibah mewarisi kunci itu secara turun-temurun sehingga hari ini dan sampailah pada Hari Kiamat. Malah, mereka dikenali sebagai dengan nama ‘As-Syaibiyyin’.

Sebagaimana yang tersebut dalam hadis, “Kekal selama-lamanya di tangan kamu” menunjukkan bahawa keturunan Abu Thalhah akan kekal sehingga Hari Kiamat dan penjagaan Kaabah berada dalam tangan mereka. Hal ini merupakan salah satu daripada mukjizat Rasulullah SAW.

Pengajaran daripada cerita di sebalik turunnya ayat ini adalah sifat amanah dalam keluarga dan keturunan Abu Thalhah yang menjaga kunci Kaabah yang panjangnya 40 sentimeter itu secara turun-temurun dan kekal ke hari ini. Maka inilah sifat amanah yang dianjurkan oleh Islam kepada umatnya kerana menjaga amanah merupakan sifat yang tergolong dalam sifat mahmudah dan barangsiapa yang tidak menjaga amanah, maka tunggulah pembalasan Allah yang setimpal sebagaimana sabda Nabi yang bermaksud:

“Empat perkara sekiranya kamu memilikinya kamu tidak akan ditimpa (balasan) terhadap apa yang kamu tidak buat di dunia: jaga amanah, bercakap benar, berakhlak baik dan mengawal permakanan (halal dan haram).”


Tafsir surah An-Nisa Ayat ke-58

Ayat yang ke-58 daripada petikan surah An-Nisa ini menerangkan konsep amanah. Amanah adalah perkataan yang berasal daripada perkataan Bahasa Arab “Al-Amanah” dan diambil daripada kata dasar “Alif di atasnya hamzah, mim, nun” disebut “Amina”. Selanjutnya, daripada perkataan ini terbitlah perkataan “amaanun” yang juga diserap ke dalam Bahasa Melayu, membawa erti aman, dan daripada perkataan ini jugalah, terbit pula perkataan “Al-amiin”. Perkataan ini memberi dua maksud yang berbeza iaitu satu daripadanya ialah yang bermaksud orang yang sangat jujur dan amanah dan satu gelaran pergi kepada gelaran masyarakat Arab Jahiliyyah Quraisy kepada Nabi Muhammad SAW sebelum baginda diutus menjadi Rasul.

Manakala, perkataan yang menjadi lawan kepada perkataan amanah ini ialah “Khianat” yang juga berasal daripada perkataan “Al-Khianah” yang sering kita dengar diberi makna sebagai “pecah amanah” atau “tidak jujur” atau “curang” dalam Bahasa Melayu. Orang yang memegang amanah biasanya dinilai oleh pemberinya agar dapat memelihara dengan baik apa yang diberikannya itu. Sebagai contoh, seseorang yang bakal memimpin sekelompok masyarakat dalam kawasan itu akan dinilai akhlaknya terlebih dahulu oleh masyarakat sebelum orang itu diangkat menjadi seorang pemimpin rakyat kerana kebaikan seorang pemimpin adalah lebih baik daripada kebaikan zaman. Tambahan lagi, ayat daripada petikan surah ini berbentuk jamak daripada perkataan amanat. Hal ini sudah pasti jelas menunjukkan, amanat bukan sekadar bersifat kebendaan, bahkan juga bersifat bukan kebendaan.

Ketika Allah memerintahkan dan menetapkan hukum dengan adil, ayat ini dimulai dengan mengatakan, “Apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia”. Tetapi sebelum itu, kita dihidangkan dengan maksud ayat yang memerintahkan untuk menunaikan amanat. Hal ini menjelaskan akan syariat bahawa setiap manusia telahpun menerima amanah secara potensial sebelum kelahirannya dan apabila dia mencapai tahap umur akil baligh. Menetapkan sesuatu hukum tidak semudah yang kita sangkakan. Terdapat syarat-syarat yang seharusnya kita ikut dalam melaksanakan amanah. Tamsilnya, kita seharusnya penuh dengan ilmu pengetahuan tentang hukum-hakam dan tata cara menetapkannya serta masalah yang harus dihadapinya ketika melaksanakan amanah. Bagi memenuhi syarat-syarat inilah, maka diturunkan petikan ayat daripada surah an-Nisa ini dan ditujukan perintah  dengan kamu harus menetapkan untuk berlaku adil.

Ayat daripada petikan ini juga memerintahkan kepada kita semua untuk menunaikan amanat, ditekankan bahawa amanat tersebut harus ditunaikan kepada ahlinya yakni pemiliknya, dan ketika memerintahkan menetapkan hukum dengan adil, dinyatakan pula apabila menetapkan hukum kepada manusia. Hal ini bermaksud bahawa perintah berlaku adil itu ditujukan terhadap manusia secara menyeluruh. Dengan itu, sama ada amanat mahupun keadilan harus ditunaikan dan ditegakkan tanpa membezakan keturunan dan ras. Hal inilah yang menyebabkan keadilan dikatakan sebagai timbangan kebenaran.

Kategori Pembahagian Amanah

Berpandukan kepada firman Allah dalam surah An-Nisa ayat ke-58 ini, kita dapat mengklasifikasikan bahawa amanah yang melibatkan diri manusia terbahagi kepada tiga bentuk. Pertamanya adalah hubungan amanah antara manusia dengan Allah. Hal ini memberi erti kepada memelihara hukum Allah dengan berusaha untuk menjadi seorang khalifah yang baik di bumi Allah ini melalui pelaksanaan amanah yang berkaitan dengan hak Allah meliputi kewajipan mematuhi perintah yang diperintahkan kepada kita dan menghindari larangan-larangan-Nya.

Keduanya adalah amanah manusia dengan manusia. Seseorang yang diberikan amanah harus mengembalikannya kepada sang pemilik tanpa ditambah dan dikurangi. Hal ini meliputi perkara-perkara seperti memberikan hak kepada orang yang berhak, menepati janji, bersifat adil dan saksama, bercakap benar, dan melakukan ihsan kepada masyarakat sekeliling. Hiduplah kita seperti lilin yang menerangi orang lain dan janganlah kita hidup seperti duri mencucuk diri dan menyakiti orang lain.

Ketiga, amanah yang ada pada diri manusia itu sendiri seperti usia, kekuasaan, kemampuan jasmani dan mental. Jika dipandang dari sudut agama, semua itu adalah amanah Tuhan yang ada dalam tangan kita. Hal ini menjelaskan kepada kita tentang kewajipan menggunakan tubuh badan dan segala kurniaan Tuhan kepada kita demi menghampirkan diri (taqarrub) kepada-Nya. Pelaksanaan amanah yang berkaitan dengan diri peribadi meliputi kewajipan menunaikan hak diri menepati pesan Nabawi, “Sesungguhnya bagi dirimu ada hak yang wajib kamu tunaikan”. Oleh itu, seorang Muslim sejati yang amanah tidak melakukan sesuatu selain yang bermanfaat dari segi agama dan kehidupan dunia-akhiratnya. Tambahan lagi, kita dituntut untuk tidak melakukan sesuatu yang memudaratkan dirinya sama ada di dalam dunia mahupun akhirat, dan tidak mendedahkan dirinya kepada serangan penyakit dengan mengamalkan gaya hidup sihat.


Pemimpin kerajaan yang amanah dan bertanggungjawab

Pemimpin sering dikaitkan dengan amanah dan tanggungjawab dalam melaksanakan tugas sebagai seorang pemimpin. Adapun, kerajaan merupakan suatu badan atau organisasi yang sah dalam suatu kawasan tertentu yang mempunyai bidang kuasa tunggal bagi memegang jawatan dan kuasa tertentu. Kuasa yang diberikan rakyat kepada para pemimpin kerajaan haruslah digunakan sebaik mungkin bagi menegakkan dan melaksanakan hukum Allah serta sentiasa berlaku adil dalam memimpin negara.

Manakala,  perkataan tanggungjawab membawa maksud suatu beban atau tugas yang perlu dipikul, atau bebanan tugas yang dipikulkan kepada seseorang untuk dilaksanakan dengan penuh perhatian, prihatin serta ketelitian sehingga sesuatu kerja itu dapat disempurnakan tanpa cacat celanya dengan berdasarkan prinsip “minima masa, maksima usaha”. Terdapat banyak nas daripada ayat-ayat al-Quran dan al-Hadis yang memperkatakan tentang sifat amanah yang membuktikan betapa sifat ini merupakan sifat yang paling mulia dan wajib dimiliki oleh manusia sejagat, khasnya mereka yang mengaku beriman kepada Allah SWT, Rasul-Nya SAW dan hari akhirat.

Malah, berpandukan mafhum daripada  Surah an-Nisa ayat ke-58 tadi, ayat ini pada zahirnya memfokuskan kepada golongan pemerintah kerana mereka banyak terlibat dengan menjatuhkan sesuatu keputusan yang berkaitan dengan kebajikan rakyat marhaen. Keadilan dalam konteks ini bermaksud bahawa para pemerintah mestilah menjalankan segala tanggungjawab yang mereka pikul dengan penuh amanah dan tanggungjawab sekali gus keadilan mestilah sampai kepada setiap rakyat jelata tanpa mengira kedudukan mereka. Janganlah kita berlaku tidak adil terhadap rakyat kerana sekiranya itu terjadi, maka hilanglah kepercayaan dan kehormatan rakyat kepada kerajaan yang boleh membawa 1001 keburukan kepada perlembagaan negara.

Aplikasi surah An-Nisa ayat 58

Melalui petikan surah ini, kerajaan mestilah mengambil semua iktibar daripada apa tuntutan yang Allah tegaskan terhadap pemimpin dalam membentuk kerajaan yang adil dan saksama. Hal ini diperkukuhkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Kepemimpinan itu satu amanah yang berat yang pada hari kiamat nanti, ia adalah satu penyesalan dan kehinaan melainkan seorang pemimpin yang melaksanakan dengan amanah dan adil kepada rakyat bawahannya.” (Riwayat Abu Hanifah).

Justeru, kuasa kepemimpinan bukanlah sesuatu yang boleh dibeli atau seumpama barangan mainan yang boleh bertukar tangan. Sebaliknya, kuasa itu wajib diberikan kepada orang yang benar-benar berkelayakan dan berkarisma dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

Oleh itu, seorang pemimpin yang adil tidak akan mengamalkan dasar kronisme, rasuah atau politik wang, pilih kasih dan penyelewengan lain dalam pemerintahannya. Sebaliknya, pemimpin haruslah sentiasa berfikir ke hadapan dalam memikirkan masalah rakyatnya, di samping merencana pelan strategi untuk menjaga kepentingan dan kebajikan masyarakatnya. Pemimpin tidak seharusnya menggadaikan prinsip dan amalan dalam membina kerajaan yang adil dan berkebajikan seperti pemimpin kerajaan yang membolot hasil perbendaharaan negara (duit rakyat) demi kepentingan diri yang mengiurkan itu sahaja. Maslahat negaranya mengatasi kepentingan dirinya dan keluarganya. Kerajaan haruslah peka dengan kehendak rakyat yang mahukan keadilan demi kehidupan rakyat yang aman dan selesa bak kata peribahasa pujangga Arab berbunyi, “Janganlah kita abaikan permintaan orang (rakyat), kalau tidak mahu permintaan kamu (kerajaan) diabaikan orang”.

Tambahan lagi, dari segi kepimpinan dalam kerajaan pula, kerajaan yang adil meletakkan kedudukan hukum Islam dalam sistem perundangan pada tahap tertinggi sekali dan tidak ada sesiapa yang mampu melepasinya. Meletakkan hukum Islam di tempat yang paling tinggi ini tidak ubah seperti peribahasa Latin yang berbunyi, “Biarpun langit runtuh, hukum harus tetap ditegakkan”. Keadilan kerajaan terjelma ketika memberikan kesaksamaan ruang dan peluang dalam segenap bidang meliputi sosial, perekonomian dan politik kepada seluruh rakyatnya. Menurut Khalifah Abdul Malik bin Marwan, katanya “Semulia-mulia manusia (pemimpin kerajaan) ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya, membalas dan bersikap adil ketika kuat”.

Kebajikan kerajaan yang tercerna dalam sikap tegas dasar yang digubal bagi memastikan peluang pekerjaan yang mencukupi, sumber makanan yang meluas dan murah serta kemudahan penginapan yang mampu dimiliki. Mengikut fakta cerdik pandai ekonomi, rakyat yang berada dalam kepimpinan kerajaan yang berteraskan negara berkebajikan sentiasa berada dalam keadaan yang tenteram, damai dan aman kerana keyakinan terhadap kemurahan dan sikap berkepedulian kerajaan yang menaunginya. Hal ini yang menjadi antara ciri-ciri kerajaan yang memperjuangkan keadilan tanpa mengira dan melihat kepada keturunan, warna kulit, bangsa, kedudukan, miskin, kaya atau perbezaan agama kerana seandainya kerajaan tidak mampu untuk mengutuskan secebis kesenangan kepada rakyat,maka berusahalah supaya pihak kerajaan untuk tidak mengirimkan walau sezarah kesusahan kepada rakyat jelata.

Firman Allah dalam surah An-Nisa ayat ke-58 ini berhujung dengan peringatan bahawa Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat. Segala yang terjadi, terbuka atau tertutup, terdedah atau tersembunyi, termasuk hal-hal yang berkaitan dengan pelaksanaan amanah dan penegakkan keadilan tidak akan ada yang terlepas daripada pendengaran dan penglihatan Allah yang bersifat sami‘ an basiran. Segalanya akan dihisab dan seterusnya diberikan balasan berasaskan Keadilan Illahi yang Maha Mutlak.

Berdasarkan kepada keterangan maksud penghujung ayat dari surah An-Nisa ayat ke-58 ini, jelaslah sesiapa yang melakukan kezaliman kepada rakyat dan tidak berlaku adil akan disoal oleh Allah di akhirat kelak tentang apa yang mereka telah lakukan. Hal ini kerana, prinsip keadilan dalam Islam menjamin kesemua yang berhak mendapat haknya, tidak ada orang yang lemah yang tertindas, dan tidak ada orang yang kuat yang memeras. Kerajaan haruslah berlaku adil dalam setiap aspek walaupun berlaku adil itu merupakan tugas yang amat berat dan memerlukan pengorbanan komitmen yang tinggi.

Pengajaran surah An-Nisa ayat 58


Daripada ayat petikan surah An-Nisa ayat ke-58 ini, kita dapat mengutip beberapa pengajaran yang berguna untuk pedoman diri sebagai seorang pemimpin dalam membentuk kerajaan yang adil yang menjadi tuntutan utama dalam petikan ayat ini.

Antara pengajarannya ialah setiap amanah memiliki pemiliknya yang harus diserahkan kepada yang berhak. Penyerahan amanah sosial seperti pemerintahan dan pengadilan kepada orang-orang yang bukan ahlinya adalah bertentangan dengan tuntutan iman. Sebagai tambahannya pula, amanah harus diserahkan kepada pemiliknya sama ada pemiliknya itu kafir atau musyrik sekalipun. Dalam menunaikan amanah kemukminan ini, si pemilik tidak disyariatkan.

Tambahan lagi, sebagai khalifah di bumi Allah ini, manusia tidak terlepas daripada memerlukan nasihat dalam kehidupan mereka sendiri dan nasihat yang terbaik datang daripada Allah (Al-Quran) dan Rasulullah (Al-Sunnah).

Jelas terbukti bahawa akidah yang suci mampu membina sifat amanah yang mulia. Orang yang amanah dikasihi Allah SWT dan disukai oleh manusia.

*Mohammad Suffian bin Fauzi berasal dari Kampung Che Lijah, Dungun, Terengganu dan masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa