JK Auto 21 desak segera laksana daftar pengundi automatik

SALMIYAH HARUN | 30 Oktober 2014

IMAGE

INISIATIF tersebut dilihat akan mengurangkan perbelanjaan negara dalam proses pendaftaran pengundi kerana ia berlaku secara automatik sekaligus menjimatkan tenaga kerja dan masa.

PERISTIWA

Please update your Flash Player to view content.

ENGLISH SECTION

Please update your Flash Player to view content.

Of Dogs and Knowledge

Harakahdaily | 30 Oktober 2014

There have been several new issues that have surfaced over the past few weeks but possibly most glaring were the Oktoberfest and “touch a dog” issues that stole the limelight. As for the...

Politik dan hubungannya dengan para Rasul

Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang .

Al-Quran menegaskan kejadian manusia pertama menjadi khalifah di muka bumi. Firman Allah Taala:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (surah al-Baqarah : ayat 30)

Al-Quran mengesahkan bahawa cabaran yang dihadapi oleh para Rasul sejak Nabi Nuh AS sehinggalah Rasul akhir zaman Muhammad SAW menghadapi penyelewengan akidah dan politik. Dalam aspek agama berlakunya syirik dalam perkara akidah dan ibadah. Dalam aspek politik lahirnya ketua negara yang berlagak tuhan serta golongan al-mala’ yang berkuasa mutlak, menolak syariat Allah dan mencipta undang-undang dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah Taala.

Mereka mereka-reka undang-undang yang di luar kemampuan akal manusia yang terhad, lalu dihanyut oleh hawa nafsu. Kesemua penyelewengan tersebut mencetuskan kezaliman yang menindas, kerana mengabdikan manusia kepada makhluk, bukan kepada khaliq. Pertelingkahan ini dinyatakan oleh firman Allah Taala:

“Manusia itu adalah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para Rasul sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah sesekali berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.” (Surah al-Baqarah : ayat 213)

Ibnu 'Abbas RA menafsirkan ayat ini dengan penjelasannya: Bahawa manusia pada masa hayat Nabi Adam AS sehingga sepuluh abad selepas wafatnya dalam keadaan menganut Islam sahaja yang dipercayai sebagai akidah dan syariat tidak ajaran yang lain. Selepasnya berlaku penyelewengan syirik dalam akidah yang merosakkan cara hidup, maka Allah mengutuskan Rasul-Nya Nuh AS.

Dalam kisah Nabi Nuh AS dan Rasul selepasnya berlaku pertembungan dalam aspek ibadah dengan penyelewengan yang dilakukan oleh para paderi, pendeta dan sami. Para Rasul itu juga menghadapi pemimpin negara dan golongan al mala’ pada zaman masing-masing.

Ada pula kalangan Rasul yang memimpin negara seperti Adam, Yusuf, Sulaiman dan Daud A.S. Akhirnya Rasulullah SAW, Nabi akhir zaman menegakkan negara di Madinah. Ramai para Rasul AS yang menjadi ketua pembangkang kerana mereka menentang kerajaan pada zaman masing-masing sehingga wafat sebelum negara ditegakkan, kerana Rasul juga memimpin gerakan menentang kerajaan zalim yang memerintah di zaman masing-masing, ada yang mati dibunuh syahid saperti Nabi Zakaria dan Yahya AS, ada yang dipenjara, yang mati dalam tahanan, dibuang negeri dan lain-lain, tetapi ajarannya tetap didokong oleh semua pemimpin dan kerajaan yang adil.

Ini bermakna para Rasul itu menjadi pemimpin agama dan politik secara serentak, berdakwah membetulkan akidah dan cara hidup  rakyat dan menbetulkan pemerintahan negara.

Nas-Nas Politik Daripada al-Quran dan Sunnah

Firman Allah Taala:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (surah al-Baqarah : ayat 30)


Para ulama Tafsir menjelaskan apabila menafsirkan ayat ini dengan menegaskan wajibnya menegakkan pemerintahan yang mentadbir umat yang bersifat negara. Hukumnya wajib dengan nas al-Quran dan al-Sunnah serta secara ijmak para ulama dalam kalangan sahabat dan tabi'en dan menyesatkan pendapat yang menolaknya.

Banyaknya ayat-ayat hukum yang wajib, dinaskan dalam al- Quran, khususnya yang berkait dengan perlembagaan, kawalan muamalat, undang-undang jenayah, keselamatan negara dan hubungan antarabangsa mensyaratkan pelaksanaannya kepada kuasa pemerintahan yang bercirikan politik. Firman Allah Taala:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah an-Nisa’ : ayat 58-59)

Ayat-ayat ini pula menjelaskan kewajipan menegakkan negara yang bercirikan politik Islam:

1. Berlaku adil dengan perintah Allah dan hukumnya terhadap seluruh manusia tanpa batas agama, bangsa, negara dan keadaan.
2. Wajib diadakan pemimpin yang dinamakan Ulu al Aimi (kepimpinan negara yang beriman).
3. Ketaatan yang rakyat kepada pemimpin selepas ketaatan kepada Allah dan Rasul.
4. Perlembagaan yang meletakkan al-Quran dan Sunnah adalah hukum tertinggi.
5. Kaitan politik dengan beriman kepada Allah dan hari akhirat yang menjadi tunggal penting kepada rukun iman.

Firman Allah Taala:

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (Surah an- Nur : ayat 55)

Ayat ini memberi maksud yang jelas kepada perkara:

1. Menegakkan khilafah dengan maksud politik, wajib menegakkan kerajaan Islam.
2. Islam adalah agama yang berdaulat dengan kuasa pemerintahan (tamkin) bukan hanya beribadah dan Islam tidak berkuasa dalam negara.
3. Syariat Islam berjaya menukarkan keadaan daripada ketakutan kepada keamanan. Dengan hilangnya kezaliman dan kejahatan jenayah serta berbagai kemungkaran, kerana kedaulatannya masuk ke dalam diri manusia.
4. Tidak ada pemisahan di antara cara hidup dan aqidah tauhid yang menolak syirik.

Firman Allah Taala:

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah Hajj : ayat 41)

Ayat ini menegaskan bahawa ciri-ciri negara Islam itu:

1. Menegakkan ibadah (solat) bukan sahaja mendirikan masjid sekadar menjadi simbol tarikan pemerhati seni bina, tetapi masjid menjadi kilang membina insan.
2. Ekonomi Islam (zakat) dengan makna konsep negara kebajikan secara agama.
3. Kedaulatan undang-undang (amar makruf dan nahu mungkar).
4. Wawasan akhirat.

Nas-Nas Daripada Hadis

Rasulullah SAW telah menafsirkan ayat ini secara amalan dan sabda sehingga menjadi dalil al-Sunnah yang sangat nyata dan kuat. Apabila menolak tawaran menjadi Raja atau pemimpin dengan segala kekayaannya, sebaliknya berhijrah ke Madinah setelah kalangan penduduk Madinah melakukan bai’ah yang terkenal, melibatkan pemimpin lelaki dan wanita, seterusnya diikuti dengan hijrah yang membawa perisytiharan negara yang sah mengikut hukum politik dan undang-undang antarabangsa, yang meletakkan lima syarat negara.

1. Tanah air (Madinah).
2. Pemimpin (Rasulullah S.A.W).
3. Rakyat masyarakat majmuk (penganut Islam dan bukan Islam).
4. Piagam.
5. Kedaulatan negara.

Di antara yang menarik ialah piagam Madinah yan bersifat kontrak sosial yang merupakan muamalah politik yang nyata. Antara perkara yang dimeterai dalam piagam tersebut berbunyi;

“...Dan sesungguhnya apa-apa perkara yang berlaku dalam kalangan pihak yang terlibat dalam perjanjian ini yang dibimbangi boleh merosakkannya maka hendaklah yang menjadi rujukan utama ialah Allah SAW (al-Quran) dan Muhammad Rasulullah SAW (hadis).”

Menunjukkan bahawa hukum yang tertinggi bagi negara ialah al-Quran dan hadis. Rasulullah SAW  menafsirkan politik adalah amanah yang besar, sebarang kesilapan menyerahkan tanggungjawab kepada orang tidak mampu, menjadi sebab berlakunya kiamat.

“Daripada Abu Hurairah RA katanya: Sedang kami bersama Nabi SAW dalam satu majlis tiba-tiba datang seorang dari kawasan pedalaman, dia terus bertanya: Bilakah berlakunya hari kiamat? Rasulullah SAW meneruskan ucapannya (tanpa mempedulikan soalannya). Ada kalangan mereka yang berada dalam majlis itu berkata: Rasulullah mendengar soalannya tetapi tidak senang dengannya". Ada juga kalangan yang berkata: Rasulullah SAW tidak mendengar soalannya, maka dia meneruskan ucapannya. Tiba-tiba Rasulullah SAW bersabda: Di mana orang yang bertanya bila berlakunya kiamat?. Orang itu menjawab: Ini dia! Sayalah orangnya wahai Rasulullah. Sabdanya: Apabila dihilangkan amanah, maka tunggulah berlaku kiamat bila-bila masa sahaja. Orang itu bertanya lagi: Bagaimanakah cara kehilangannya? Sabdanya: Bila diserahkan urusan amanah kepada orang yang bukan ahlinya.”

Al Quran menyebut Uli al-Amri secara khusus kepada mereka yang mengendalikan urusan umat. Inilah amanah yang paling besar iaitu amanah politik yang menjadi sebab selamat atau binasanya umat.

Apabila berlaku kewafatan Rasulullah SAW para sahabat RA, bersepakat menyatakan wajib melantik ketua negara. Mereka bermesyuarat di Saqifah Bani Sa’idah. Hanya sebahagian kecil yang berada di tempat jasad Rasulullah SAW yang mulia itu disemadikan ke dalam bumi yang diberkati itu, menunjukkan betapa besarnya kewajiban politik negara dalam ajaran Islam. Ijmak para sahabat merupakan sumber yang mengatasi ijmak para ulama kalangan generasi yang kemudian.

Mereka berkhilaf (bertelingkah dan berbeza pendapat) pada awalnya, berhubung dengan cara pemilihan dan orang yang layak dipilih. Seterusnya mereka berjihad bersama-sama menentang golongan murtad dan kuasa negara-negara besar dan kecil yang berusaha menjatuhkan kerajaan Islam. Mereka memerangi kumpulan yang masih bersembahyang, tetapi menafikan kewajipan negara dengan membatalkan hukum ketaatan kepada pemerintah Islam dengan menafikan hukum zakat.

Perkara politik Islam tetap menjadi pengisian ilmu dalam kitab-kitab yang muktabar dalam segala cabang ilmu Islam yang berkaitan dengannya ilmu al-Quran, hadis, akidah, syariat dan tasawwuf. Ada juga yang menulis kitab yang khusus dalam bidang politik seperti Al-Mawardi daripada Mazhab Syafi’i yang mengarang Al-Ahkam al-Sultaniyyah, Adab al-Wazir dan lain-lain. Abu Yusuf daripada Mazhab Hanafi mengarang Al-Kharaj, Abu Yaala Al-Farra daripada Mazhab Hambali mengarang Al- Ahkam al-Sultaniyyah, Ibnu Taimiyyah mengarang kitab Al- Siyasah al-Syar’iyyah dan lain-lain.

Kitab-kitab ini telah diterjemah ke dalam beberapa bahasa dan ilmu politik Islam telah banyak mempengaruhi demokrasi moden dan pentadbiran negara dunia, tetapi malangnya mereka mengambil bidang politik yang dipisahkan daripada mata rantai ilmu yang lain daripada ajaran Islam.

Penyelewengan Ahli Kitab


Di sini dinyatakan penyelewengan golongan agama samawi yang berasal daripada Islam yang diwahyukan kepada para Rasul SAW khususnya Pembesar Rasul daripada Bani Israel, iaitu Nabi Musa dan Isa AS yang dikurniakan kitab yang wajib kita beriman kepadanya.

Allah mendedahkan penyelewengan para ulama ahli kitab dengan kenyataan ayat-ayat yang banyak daripada al-Quran, di antaranya firman Allah:

“Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu. Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Baqarah : ayat 85)

“Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan.” (Surah al-Baqarah : ayat 86)


Firman Allah Taala lagi:

“Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami. kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat.”

“Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.”

“Amatlah buruknya bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan mereka pula berlaku zalim kepada diri merela sendiri.” (Surah al-A’raf : ayat 175-177)

Ayat-ayat ini adalah contoh penyelewengan ulama Bani Israil yang menyeleweng daripada kitab Taurat, kerana mereka menjadi khadam kepada raja-raja dan pembesar yang zalim lalu mereka meminda hukum Allah atau meninggalkannya dengan ciptaan undang-undang baru mengikut kehendak orang yang zalim dan menamakannya dengan hukum Allah. Para ulama yang jahat ini bertindak dengan suruhan atau mengampu golongan atasan yang banyak melakukan maksiat, supaya mereka bebas mengerjakan dosa mengikut hawa nafsu.

Ahli sejarah politik moden mendedahkan kelahiran fahaman sekularisme, yang memisahkan urusan dunia daripada agama, khususnya bidang politik. Fahaman ini mula dicipta di Eropah bagi menyelesaikan pertembungan sengit di antara pihak istana dan gereja, manakala di satu pihak lain ialah pertembungan ahli sains dengan paderi.

Keadaan ini berlaku kerana ajaran Injil yang diwahyukan kepada Rasul Allah Isa AS bertujuan untuk membetulkan segala penyelewengan kaum Yahudi Bani Israil, bukannya bangsa lain yang tidak ada kena mengena dengan mereka. Firman Allah:

“Dan Allah akan mengajarnya (Nabi Isa AS) ilmu menulis, dan hukum-hukum aturan agama, dan juga kandungan kitab-kitab Taurat dan Injil.”

“Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani Israil, (dengan menegaskan kepada mereka): Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) dari tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu. Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman.”

“Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (dari perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu; dan juga aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu. Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.” (Surah Ali-Imran:48-50)


Setelah Nabi Isa AS. diselamatkan oleh Allah dengan diangkat ke langit (sebenarnya mereka tidak dapat menangkap, membunuh dan mensalibnya). Datang seorang yahudi bernama Paul telah memesongkan ajaran injil yang sebenar. Ada para sahabat Nabi Isa yang taat setia dinamakan hawariyyin menjadi buruan dan dibunuh. Ajaran yang menyeleweng inilah yang telah dibawa ke Eropah oleh raja Rom, seterusnya mengubah kandungan sebenar ajaran ini dengan fahaman keberhalaannya.

Keseluruhan ajarannya tidak ada aspek politik. Dalam masa yang sama para paderi telah memperalatkan agama untuk mempengaruhi masyarakat, termasuklah mengumpulkan harta kekayaan di atas nama mengampun dosa dan sebagainya. Akhirnya berlaku perselisihan di antara istana dan gereja. Apabila pihak istana lebih kuat, mereka membuat keputusan bahawa pihak gereja dan para paderinya tidak dibenarkan mencampuri urusan pemerintah (politik).

Banyak kitab injil yang diharamkan, hanya empat sahaja diizinkan. Injil Matthew adalah salah satu yang diizinkan itu dengan jelas menyatakan secara nas:

“Perkara yang berkait dengan Tuhan terserah kepada Tuhan dan apa perkara yang berkait dengan Raja terserah kepada Raja.”


Hal ini bermaksud agama tidak ada kaitan dengan politik. Dari segi perkara yang lain ialah pertembungan tamadun kebendaan (material) barat hasil daripada pengaruh tamadun Islam yang menghasilkan revolusi industri. Apabila ramai kalangan ilmuwan barat yang mempelajari ilmu duniawi di negara-negara umat Islam yang lebih maju daripada mereka.

Mereka hanya menimba ilmu duniawi tanpa mengambil Islamnya, pengajian ilmu berlaku sebanyak-banyaknya sehingga berlaku gerakan penterjemahan ke dalam bahasa barat daripada bahasa arab daripada berbagai-bagai sudut ilmu. Agama kristian yang tidak mampu menghadapi perkembangan tamadun Islam yang hebat menjadi sebab berlaku pertembungan di antara ahli sains dan tokoh-tokoh paderi, berakhir juga dengan pemisahan di antara kepaderian dan sains.

Gejala tersebut di atas menyebabkan lahirnya berbagai-bagai teori dan ideologi dalam ilmu kemasyarakatan dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain. Kecelaruan yang berlaku dalam dunia hari ini, bermula daripada gejala sosial, kecelaruan politik, penyelewengan pentadbiran, sehinggalah ancaman keselamatan dan perubahan cuaca adalah tanda kemusnahan daripadanya.

Firman Allah:

“Telah zahir dengan nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya (Allah) merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah ar-Rum : ayat 41)



http://www.tarbawi.my