Cari dalang di sebalik video hina Agong

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS Kuala Krau, Pahang bimbang ada dalang di sebalik tindakan seorang pemuda yang memuat naik video mempersendakan Yang di-Pertuan Agong berkaitan isu Covid-19.

Ahli Jawatankuasa PAS kawasan berkenaan Abdul Rahman Mohd Dahan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan wujud dalang di sebalik video yang tular tersebut.

Katanya pihak polis perlu menyiasat dan mencari dalang di sebalik pembikinan video terbabit kemungkinan ada unsur-unsur luar yang berselindung di sebaliknya.

- Advertisement -

“Dalam video itu jelas pemuda terbabit menghasut dan merancuni orang ramai supaya benci kepada institusi beraja di negara ini.

“Jika dia orang Melayu dan juga rakyat Malaysia, sudah tentu dia tak akan membuat video seperti itu,” katanya dihubungi di sini.

Sebelum itu beliau membuat laporan polis terhadap Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak Iswardy Morni kerana dianggap menghina Yang di-Pertuan Agong dengan anggapan baginda tidak melakukan apa-apa langkah mendepani Covid-19.

Pada Jumaat lepas Iswardy memuat naik video secara ‘live’ berhubung Total Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun ini di Youtube rasmi miliknya.

Dalam video tersebut, Iswardy mendakwa Sultan Abdullah seolah-olah tidak melakukan sebarang tindakan terhadap peningkatan kes Covid-19.

Oleh itu Abdul Rahman berharap Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menyiasat kemungkinan terdapat unsur luaran penghasilan video penghinaan terbabit.

“Pembikinan video tersebut secara tidak langsung menunjukkan sikap pemimpin parti pembangkang yang tidak menghormati institusi yang tertinggi di negara ini.

“PAS sentiasa mendukung dan mempertahankan institusi raja-raja Melayu di negara ini. Saya menyeru lebih ramai lagi pihak membuat laporan polis ke atas mereka yang biadap seperti itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/5/2021

- Advertisement -